berita

“Anugerah Blockbuster 2011”, Jadikan Penonton Sebagai Juri!

September 5th, 2012 | by Ai
Shout Out!

“Anugerah Blockbuster 2011” merupakan sebuah anugerah yang memberikan penonton kuasa untuk memilih dan menentukan siapakah yang layak menang tidak kira samada filem itu mengutip jumlah yang tinggi atau tidak. Dianjurkan oleh Penerbit Filem Malaysia (PFM), anugerah ini akan diadakan pada 6 Oktober 2012 pukul 9 malam bertempat di Stadium Melawati Shah Alam.

Sebanyak 13 kategori dan 40 pencalonan (purata) telah dipertandingkan untuk setiap kategori. Peminat berpeluang untuk mengundi secara online bermula 3 September pukul 12 tengahari -18 September 12 tengahari ini.

Antara filem-filem yang turut tersenarai adalah Khurafat, Hikayat Merong Mahawangsa, Karak, Kongsi, Hantu Bonceng, Nur Kasih The Movie, KL Gangster, Ombak Rindu, Songlap dan banyak lagi.

Caranya mudah saja, anda boleh layari laman rasmi, anugerahblockbuster.com.my dan berpeluang mengundi sekali untuk setiap kategori setiap hari. Top 10 pencalonan yang mendapat undian tertinggi dari undian online akan dipilih untuk ke peringkat seterusnya.

Fasa undian kedua pula akan menyenaraikan Top 10 pencalonan tertinggi dari setiap 13 kategori yang layak dari fasa undian pertama. Fasa kedua ini akan berlangsung dari 19 Sept – 6 Okt 2012 sampai pukul 6 petang dan anda boleh mengundi samada secara online ataupun SMS(setiap SMS akan dicas RM0.50). Keputusan berdasarkan 50% undian SMS and 50% undian online.

Filem Ombak Rindu yang telah menimbulkan fenomena sebelum ini juga turut tersenarai dan OHBULAN! pasti anda semua sudah tahu jalan cerita filem ini kan?

Filem ini mengisahkan tentang gadis yatim piatu yang kematian ibu dan ayah akibat kemalangan jalan raya. Justeru itu, ayah saudaranya, Taha, mengambil tugas memelihara Izzah. Isteri Taha cukup tidak senang dengan kehadiran Izzah dan menuduh Izzah membawa bala dalam keluarga mereka.

Pada masa yang sama, Pak Cik Taha banyak berhutang. Disebabkan kesempitan wang dia sanggup menjual Izzah kepada seorang tauke kelab malam. Izzah terpaksa mengikut kehendak ayah saudaranya walaupun hatinya meronta.

Di situlah dia berkenalan dengan seorang pelanggan bernama Hariz. Hariz sanggup ‘membeli’ Izzah dengan harga yang mahal dari tauke kelab itu dan mahu membawa dia keluar dari neraka jahanam itu.

Atas permintaan Izzah, akhirnya Hariz berkahwin dengan Izzah, tetapi dengan syarat semuanya mesti dirahsiakan.

Kehadiran Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan, model dan pelakon terkenal akhirnya menggugat kebahagiaan Izzah dan Hariz. Namun itu semua tidak menjadi penghalang bagi mereka membahagiakan diri yang lara.

Filem arahan Osman Ali ini menampilkan pelakon kacak Aaron Aziz sebagai Hariz, Lisa Surihani sebagai Mila dan juga Maya Karin sebagai Izzah.

Berikut adalah senarai kategori yang akan dipertandingkan di “Anugerah Blockbuster 2011”.

  1. Anugerah Filem Terhebat
  2. Anugerah Tuan Direktor Terhebat
  3. Aungerah Direktor Baru Terhebat
  4. Anugerah Filem Aksi Terhebat
  5. Anugerah Filem Kelakar Terhebat
  6. Anugerah Filem Takut Terhebat
  7. Anugerah Drama Muzikal Terhebat
  8. Anugerah Hero Terhebat
  9. Anugerah Heroin Terhebat
  10. Anugerah Watak Penyangak Terhebat
  11. Anugerah Lagu Filem Terhebat
  12. Anugerah Hero Baru Terhebat
  13. Anugerah Heroin Baru Terhebat

Sekali lagi, anda boleh layari laman rasmi, anugerahblockbuster.com.my untuk mengundi dan memilih siapakah yang layak untuk memenangi anugerah bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

SKIP THIS AD ×