berita

Artis Program Realiti ‘Mee Segera’, Di Manakah Majoriti Mereka Kini?

April 1st, 2014 | by Noraniza
Isu & Kontroversi

Realiti

Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Itulah diibaratkan dengan kebanjiran pelbagai program realiti televisyen dalam dunia hiburan Malaysia kini. Rasanya, sudah berkali-kali isu ini dibangkitkan dari dahulu, namun situasi yang berlaku tetap sama.

Umpama memasak ‘mee segera’, nama-nama artis yang dilahirkan oleh program-program sedemikian dilihat pantas melonjak dalam industri, sehinggakan ada antara mereka yang bergelar fenomena suatu masa dahulu.

Namun, entah di mana silapnya, tidak banyak antara mereka yang mampu bertahan dalam dunia seni tanah air dan lebih mendukacitakan, kebanyakan mereka bagaikan lenyap dibawa masa.

realiti 2

Antara bakat besar yang dilahirkan oleh program realiti televisyen Akademi Fantasia

Cuba anda sebutkan antara nama-nama bekas juara program realiti yang dikira masih aktif bergiat sebagai penyanyi kini? Tidak ramai bukan? Jika nama sang juara pun jarang didengari, apatahlagi dengan mereka yang terkandas di separuh jalan.

Mereka yang kebanyakannya diangkat sebagai juara melalui undian peminat ini dilihat bagaikan hilang ditelan oleh bakat-bakat baru yang nyata lebih menonjol.

Screen Shot 2014-03-31 at 11.47.55 PM

Hafiz Suip antara bakat program realiti yang menyerlah

Tidak berniat mahu merendahkan sesiapa, namun terlintas juga di benak ini tentang di manakah sebenarnya taraf dan kualiti artis hasil program realiti?

Sebagai contoh, nama Mila, Mawi, Faizal, Vince, dan beberapa orang lagi juara daripada program realiti seperti ‘Mentor’, ‘One In A Million’ (OIAM) juga sudah hampir tidak kedengaran.

Rasanya, tidak perlu dipersoalkan lagi tentang bakat kerana sudah terang lagi bersuluh nama-nama tersebut mempunyai pakej lengkap untuk bergelar penyanyi hebat.

Cuba berfikiran positif, mungkin dek kerana kurangnya promosi daripada pihak pengurusan atau faktor luaran tertentu telah menyebabkan fenomena ‘cepat sejuk’ terus melanda artis segera seperti mereka.

Screen Shot 2014-03-31 at 11.46.39 PM

Berbakat dalam nyanyian, Stacy juga mampu pukau peminat dengan tarian rancak

Namun, tidak dinafikan, beberapa nama seperti Stacy, Hafiz, Aizat Amdan dan Jaclyn Victor masih gagah meneruskan karier dan mampu mendapat tempat di hati peminat.

Menerusi program realiti, bakat mereka telah mula dikenalpasti dan diasah sehingga mampu tersenyum bangga dengan pencapaian karier mereka setakat ini.

Persoalannya, apakah sebenarnya ramuan rahsia yang diperlukan oleh seseorang artis untuk terus hidup dalam dunia hiburan dan sekaligus di hati para peminat?

Seharusnya, pihak bertanggungjawab perlu mencari solusi kepada persoalan ini supaya persada seni tanah air mampu berdiri sama tinggi dengan arena muzik antarabangsa, ataupun sekurang-kurangnya dalam industri hiburan Asia.

The following two tabs change content below.

Noraniza

Senior Head Of Sponsored Content, Malay Division at Rev Asia Berhad
People will hate you, rate you, shake you and break you. But how strong you stand is what makes you! :)

SKIP THIS AD ×