berita

Asmidar Ingin Fokus Pada Kerjaya Berbanding Soal Cinta

December 7th, 2012 | by Noraini Nasir | 2 comments
Kini Trending

Juara realiti TV, ‘Vokal’ musim pertama, Asmidar merupakan seorang yang berbakat besar dalam bidang seni suara. Sewaktu bertemu di rakaman album terbarunya semalam, penyanyi ini kelihatan begitu ceria dan bersemangt sekali untuk menjalankan proses rakaman meskipun waktu ketika itu sudah lewat malam.

Menurut Asmidar, ini merupakan pengalaman pertama dirinya merakamkan album dan banyak perkara yang harus dipelajari daripada ‘otai-otai’ dalam bidang nyanyian ini.

“Semua produser yang terlibat adalah orang-orang yang berpengalaman. Bayangkan mula-mula masuk industri ini saya bermula daripada kosong, tetapi setelah bekerjasama dengan mereka, banyak input-input yang saya perolehi  dan dari situ saya mula belajar untuk dapatkan ‘feel’ yang terbaik dalam sesebuah lagu.”

“Memandangkan ramai komposer yang terlibat dalam pembikinan album ini, jadi masing-masing mempunyai ‘approach’ tersendiri dan berbeza-beza. Oleh itu, ia dapat membantu diri saya untuk memperbaiki kelemahan diri sendiri,” ujar Asmidar sambil tersenyum manis.

Dalam pada itu, penyanyi ini turut akui pada awalnya dia merasa sedikit gentar untuk menjalankan proses pembikinan album sehingga perkara tersebut menjejaskan kualiti persembahan dirinya.

“Memandangkan ini adalah kali pertama saya masuk studio, jadi perasaan takut tu begitu kuat sampaikan malam sebelum rakaman saya langsung tak boleh tidur dan pada keesokan harinya saya tak boleh ‘deliver’ dengan baik.”

“Masa sesi rakaman tu, saya sepatutnya kena menyanyikan tiga buah lagu, tetapi bila dah nak masuk lagu yang ketiga suara saya dah mula berubah dan dah macam itik serati. Lepas daripada itu suara saya dah mula hilang dan tak keluar langsung.”

“Lepas insiden tersebut, saya terpaksa berehat selama 2-3 minggu dan tunda segala proses rakaman. Bermula dari situ, saya dapat pengajaran dan selepas ini saya akan pastikan diri saya lebih ‘relax’ serta jaga waktu tidur dengan baik.”

Mengulas lebih lanjut mengenai album terbarunya, penyanyi ini memaklumkan yang album tersebut bakal mengandungi enam buah lagu yang kesemuanya dicipta oleh komposer tertentu seperti Audi Mok – Kali Pertama, Ana Rafali – Pesona Cinta, Bayu Laluna – Sepenggal Kisah Lama, Awi Rafael – Sepasang Sudu, Acap – Bila Cinta Ada dan untuk lagu ciptaan Taja (Meet Uncle Hussain), tajuk belum ditentukan lagi.

Berkongsi mengenai cerita peribadi, Asmidar akui dirinya masih lagi ‘single’ dan ingin fokuskan kepada kerjaya nyanyian terlebih dahulu. Dalam pada itu, penyanyi ini turut akui dirinya seorang yang sukar untuk jatuh cinta.

“Buat masa sekarang memang tak ada sesiapa. Lagipun saya seorang yang susah nak jatuh hati dengan seseorang.”

“Kalau boleh sekarang ini saya nak fokus pada kerjaya dahulu.”

Oleh kerana Asmidar seorang yang sukar untuk jatuh cinta, jadi timbul juga persoalan dari OHBULAN! apakah agaknya ciri-ciri lelaki idaman gadis berusia 26 tahun ini ya?

Sambil tersenyum Asmidar menjawab, “Saya bukanlah seorang yang memilih sangat. Tapi biarlah dia seorang yang sejuk mata memandang dan saya lagi suka pandang dari segi dalaman berbanding luaran.”

“Kalau boleh, biarlah dia seorang yang dapat membimbing diri saya dan boleh memberikan nasihat yang berguna. Tapi kalau dapat yang ‘sekepala’ tu adalah satu bonus bagi diri saya,” komen Asmidar mengenai lelaki idamannya.

2 Comments

  1. miawiiiiok says:

    bosan lh nk baca

    (0)
  2. Elsa says:

    Meleret…

    (0)