berita

Boracay Island : 7 Aktiviti Anda Wajib Lakukan Bila Berada Di Pulau Indah Ini!

June 4th, 2014 | by Ai
Travelogue

Boracay Island 2014 2-9

Salah satu pemandangan yang ada di Boracay

Pulau Boracay. Saya pasti ada antara anda yang tidak pernah pun mendengar nama ini kan? Bagi yang masih belum tahu, Pulau Boracay merupakan sebuah pulau peranginan kecil yang terletak 315 km dari selatan Manila. Pulau yang terletak di dalam Wilayah Aklan, dibawah pentadbiran Malay ini merupakan pulau yang dipantau oleh Philippine Tourism Authority.

Tahukah anda, Boracay pernah beberapa kali disenaraikan sebagai pulau dan pantai yang wajib dikunjungi oleh pelancong seluruh dunia? Keindahan dan kejernihan air lautnya telah menarik ramai pelancong dari seluruh dunia untuk menghabiskan masa mereka disana.

Jika dulu, para pelancong dari Malaysia terpaksa mengambil penerbangan transit AirAsia ke Lapangan Terbang Clark. Kemudian, mereka perlu menaiki sebuah lagi kapal terbang menuju ke Lapangan Terbang Kalibo yang terletak lebih kurang 2 jam dari Pulau Boracay.

Boracay Island 2014-35

White Beach Boracay, sentiasa penuh dengan pelancong

Boracay Island 2014 2-11

Kini, syarikat penerbangan tambang murah itu menawarkan penerbangan terus ke Kalibo dan menjimatkan perbelanjaan serta masa bagi kita untuk menuju ke Boracay.

Pengalaman ini dirasai sendiri oleh saya apabila berpeluang ke Boracay sekitar pertengahan bulan Mei lepas. Menuju ke Pulau Boracay tidaklah menyusahkan seperti yang disangka. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kalibo hanya mengambil masa 3 jam 50 minit.

Sesampainya disana, ketika keluar sahaja dari lapangan terbang tersebut, berduyun-duyun penduduk tempatan berkumpul diluar menawarkan khidmat teksi dan van menuju ke jeti untuk ke Boracay (2 jam perjalanan darat).

Kepada anda yang kurang arif merancang percutian, tak perlu risau kerana mereka juga turut menawarkan pakej percutian beserta aktiviti yang menarik.

Boracay Island 2014-25

Keluar saja dari Hotel Henann Garden, terus nampak pantai yang cantik

Setibanya di jeti, anda sudah boleh menarik nafas lega kerana jarak antara jeti dari Kalibo menuju ke jeti Pulau Boracay hanya lebih kurang 5-10 minit. Dan, sampai!

Dari jauh anda sudah boleh melihat keindahan pulau tersebut. Bukan hendak membandingkan, tapi jika dilihat secara teliti, pulau yang sibuk dengan pelancong ini sangatlah bersih airnya dan pantai juga sangat terjaga tanpa sedikit pun sampah bertaburan.

Melalui temubual saya bersama salah seorang pegawai pelancongan di Boracay, saya dimaklumkan bahawa terdapat satu komuniti yang akan membersihkan kawasan pantai sepanjang 4 kilometer setiap pagi bagi mengekalkan kecantikan dan keselesaan pengunjung.

Bagi saya, kebersihan juga adalah salah satu faktor tarikan bagi mana-mana tempat pelancongan untuk kekal dikunjungi.

Boracay Island 2014-2

Tricycle, pengangkutan biasa di Boracay

Ketika menjejakkan kaki di Boracay, saya memilih untuk menaiki tricycle, sebuah kenderaan seperti Tuk-Tuk (yang terdapat di Thailand), untuk menuju ke Hotel Henann Garden. Sebelum ini, hotel ini dipanggil Boracay Garden Resort sebelum ditukar namanya kepada Henann Garden.

Hotel bertaraf 4 bintang ini sangat sesuai bagi anda yang mahukan percutian yang relax kerana lokasinya yang sangat dekat dengan pantai.

Bukan setakat itu, servis yang diberikan sangat memuaskan dan kolam renang juga sesuai dan selamat bagi mana-mana ibubapa untuk membiarkan anak mereka sendirian. Dengan cara ini, tiada masalah bagi anda yang mahu bawa anak-anak bercuti.

Boracay Island 2014-23

Setiap hotel di Boracay kebanyakannya dipenuhi pelancong dari Korea Selatan

Boracay Island 2014-20

Kolam renang di Hotel Henann Garden

Namun, kepada anda yang suka percutian gaya backpackers, di sepanjang 4 kilometer pantai Boracay ini terdapat banyak motel, hotel dan tempat penginapan yang menarik dengan harga berpatutan.

Bagi pelancong Muslim, anda tak perlu risau kerana di Boracay juga terdapat perkampungan Muslim dan jumlah orang Islam Filipina yang menetap disana adalah lebih kurang 2000 orang. Cukup untuk anda cari makanan halal, kan?

Sekali lagi, tahukah anda, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh anda lakukan sepanjang anda berada di Boracay? Disini saya ingin berkongsi 7 aktiviti yang wajib dilakukan oleh anda sekiranya anda ke Pulau Boracay.

1. Snorkelling

Boracay Island 2014-59

Terdapat pelbagai jenis hidupan di terumbu karang Pulau Boracay

Disekitar Pulau Boracay terdapat beberapa lokasi yang menjadi tempat pembiakan terumbu karang. Tak dinafikan, hidupan yang terdapat di sekitar terumbu karang Boracay lebih cantik dari yang ada di sekitar Pulau Mabul, Sabah.

2. Ariel’s Point (Cliff Diving)

Disepanjang perjalanan ke Ariel’s Point, saya telah dibawa bersiar-siar sekitar pulau-pulau yang terdapat di Boracay. Tak perlu diberitahu betapa indahnya pemandangan yang dilihat kerana semuanya hampir dilupakan apabila saya dibawa ke Ariel’s Point, sebuah tempat yang terkenal dengan aktiviti Cliff Diving, atau bahasa mudahnya, terjun dari tebing ke dalam laut. Hahaha.

Boracay Island 2014-56

Aktiviti Cliff Diving yang sangat mencabar mental

Ada 3 tingkat berlainan iaitu 5 meter, 10 meter dan 15 meter. Anda percaya tak yang saya lakukan 5 dan 10 meter? Ya, itu saja sebab 15 meter hampir sama dengan bangunan 4 tingkat. Hurm.

3. Crystal Cove Island

Boracay Island 2014-70

Crystal Cove Island juga boleh ditempah untuk majlis perkahwinan yang romantik

Pulau ini merupakan pulau persendirian seluas 2.5 hektar dan ianya juga mempunyai pantai khas untuk pengunjung sahaja. Untuk pengetahuan anda, pulau ini telah dihias dan direka oleh seorang artis dengan seni kraf dari kulit dan cengkerang siput. Bukan setakat itu, terdapat juga galeri lukisan sensual yang kami kira, lain daripada yang lain.

Boracay Island 2014-74

Antara pondok-pondok yang direka dengan kreatif di Crystal Cove

Dari pulau kecil ini juga, saya dapat melihat pemandangan laut yang indah serta sebuah gua yang terhasil daripada hakisan air laut.

4. Fly Fish

Boracay Island 2014-85

Fly Fish, nampak mudah sehinggalah anda semua tercampak ke tengah laut. LOL

Siapa yang pernah menaiki Banana Boat? Kini anda boleh mula lupakan permainan itu selepas ini. Fly Fish, sejenis pelampung yang hampir menyerupai Banana Boat dan ditarik oleh sebuah bot berkuasa tinggi bakal memberikan anda keseronokan yang lebih nyata dan ekstrim.

Jujur saya katakan, perasaan menaiki Fly Fish tak ubah seperti anda menaiki sebuah roller-coaster tanpa penghadang keselamatan. Ya, ia menakutkan tapi sangat menyeronokkan.

5. Horseback Riding

Boracay Island 2014-106

Tak pernah menaiki kuda? Yup, di Boracay, orang tempatan juga menyediakan aktiviti bersiar-siar dengan kuda mendaki Gunung Luho. Tidaklah terlalu tinggi, tapi ia cukup bagi pelancong untuk melihat sekitar perkampungan yang ada di Boracay. Dan ya, anda boleh melihat keindahan Boracay dengan jelas sekali.

Boracay Island 2014-110

Kuda diberi berdasarkan karakter anda, menarik kan?

Bayangkan penduduk yang mendiami Boracay masih lagi membina rumah melalui tikar mengkuang dan bahan-bahan semulajadi seperti buluh. Bezanya, tapak mereka adalah simen. Tapi jangan risau, kerana boleh dikatakan mereka semua lebih maju dari kita.

6. Zipline

Boracay Island 2014-100

Lihatlah pemandangan di belakang mereka

Umpama menaiki Flying Fox, Zipline lebih menarik dan anda boleh menikmati keindahan pantai serta lanskap di sekitar Boracay tatkala menggelongsor melalui tali dari atas bukit. Pada awalnya, ia kelihatan sedikit menakutkan, namun percayalah, tidak sampai 5 saat anda akan menjerit kegembiraan.

7. ATV ke Gunung Luho

Boracay Island 2014-121

Anda pilih, naik ATV atau Buggy?

Jika sudah ke Boracay, rugi kalau tidak menyaksikan sendiri keindahan pulau itu dari puncak gunung Luho. Dengan menaiki ATV ataupun kenderaan Buggy, anda boleh bersiar-siar selama satu jam menaiki lereng-lereng bukit ke puncak Luho. Selepas itu, anda boleh melihat seluruh pulau Boracay dari viewpoint Luho.

Saya pasti, anda takkan menyesal dengan aktiviti ini.

Boracay Island 2014 2-1

Jadi, pada yang sudah tidak sabar untuk pergi ke Pulau Boracay, anda boleh dapatkan tiket penerbangan yang ditawarkan oleh AirAsia dan menariknya, syarikat tambang murah ini turut menawarkan penerbangan dengan frekuensi 4 kali seminggu ke Boracay.

Screen Shot 2014-06-03 at 1.12.12 PM

Jadi, apa tunggu lagi, cepat tempah tiket anda sekarang dan rancanglah waktu bercuti yang paling bagus!

SKIP THIS AD ×