berita

Faizal Tahir Bakal Meriahkan Mini Konsert Amal ‘Untukmu Palestin’!

November 27th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Walaupun jauh beribu batu, namun suara rintihan dan kesengsaraan hidup rakyat Palestin yang terus ditindas oleh rejim Zionis tidak pernah dipandang ringan oleh rakyat Malaysia. TV3 dengan kerjasama Primeworks Studios bakal menerbitkan mini konsert amal ‘Untukmu Palestin’ pada 29 November 2012 (Khamis) yang akan disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam bermula jam 11.00 malam.

‘Untukmu Palestin’ akan bersiaran selama satu jam menampilkan barisan artis hebat seperti Faizal Tahir selaku teraju utama dan turut ditemani oleh Aizat, Kumpulan Raihan, Hafiz Hamidun, Noh Salleh (Hujan), Tomok dan Misha Omar.

Bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad dan inisiatif murni untuk membantu ribuan mangsa serangan tentera Israel, mini konsert ini merupakan platform terbaik untuk menyeru dan mengajak orang ramai termasuklah badan-badan korporat untuk beramal melalui sumbangan terus kepada tabung khas ini.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Untukmu Palestin pada hari Khamis (29 November 2012) secara langsung di TV3 pada jam 11.00 malam. Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan pada malam itu ialah Zikir Terapi – Astaghfirullahal’azim, Untukmu Palestin, Kembara Di Tanah Gersang, Kau Yang Satu, Kembara, Erti Hari Ini, Anti Graviti dan Insyallah.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sumbangan mereka ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad, menerusi akaun Maybank 5642 7651 0331. Layari Facebook & Twitter TV3MALAYSIA untuk mendapatkan berita terkini.

SKIP THIS AD ×