berita

Faizal Tahir Berjaya Lelong Trofi Sehingga RM80,000

November 30th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Lewat malam semalam telah berlangsungnya mini konsert amal ‘Untukmu Palestin’ bertempat di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Majlis yang bersiaran selama satu jam tersebut telah menampilkan tujuh penyanyi tanah air yang masing-masing menyumbangkan sebuah lagu sempena tanda sokongan mereka terhadap program kutipan derma ‘Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad.’

Antara penyanyi yang terlibat adalah Hafiz Hamidun, Kumpulan Raihan, Misha Omar, Tomok, Noh (Hujan), Aizat Amdan serta Faizal Tahir.

Menerusi mini konsert ini, Faizal Tahir telah mengambil peluang untuk menyerahkan tiga buah trofi kemenangannya kepada pihak yang telah berjaya menawarkan harga paling tinggi untuk trofi tersebut.

Antara trofi yang dilelong adalah ‘Anugerah Juara Lagu (AJL) 2003’ menerusi kategori persembahan terbaik, ‘Anugerah Industri Muzik (AIM) 15’ untuk Album terbaik 2008 menerusi album ‘Aku Muzik Kamu’ serta trofi ‘Anugerah Planet Muzik (APM) 2008’ menerusi kategori artis lelaki paling popular.

Menurut Faizal, dia sendiri tidak menyangka trofi lelongannya boleh menjangkau sehingga puluhan ribu ringgit dan nilai tersebut adalah lebih daripada sasaran awal.

“Sebenarnya saya ada meletakkan satu sasaran untuk harga trofi, tetapi malam ini merupakan satu yang diluar jangkaan saya kerana ia telah dibeli dengan harga yang cukup tinggi iaitu sehingga RM50,000.”

“Pada asalnya saya tidak kisah nak lelong seberapa banyak trofi. Cuma buat masa sekarang saya baru tentukan untuk tiga trofi ini sahaja. Lagipun saya memang target untuk kumpul sehingga RM100,000 untuk didermakan kepada tabung ini, tetapi tak bermakna bila dah samapi target tersebut saya akan berhenti.”

Mengulas lebih lanjut mengenai lelongan trofi tersebut, Faizal akui ingin tonjolkan sesuatu yang luar biasa untuk tabung derma Palestin kali ini dan disebabkan itu dia membuat keputusan untuk melelong trofi kemenangannya.

“Bagi saya konsert adalah perkara biasa, jadi bagi lakukan sesuatu yang lain, justeru itu saya mengambil keputusan untuk lelong trofi walaupun pada hakikatnya saya amat sayang kesemua trofi tersebut.”

“Apa yang mampu saya bagi, saya akan bagi. Mungkin dengan cara ini saya boleh beri kesedaran dekat orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan mereka kepada rakyat Palestin.”

Berikut merupakan tiga pihak yang telah berjaya membida harga paling tinggi untuk trofi Faizal Tahir :

Telekom Malaysia (TM) – Suheilah Abu Bakar, Naib Presiden Segmen Entrepreneur TM (Trofi AIM 15  – RM50,000)

Maybank – Pn Eliza Mohamed, Naib Presiden Eksekutif Hal Ehwal Koprat Maybank (Trofi APM 2008 – RM20,000)

Celcom – Pn Rahizan Ismail, Pengurus Kanan Komunikasi Koprat Celcom Axiata Bhd (Trofi AJL 2003 – RM10,000)

SKIP THIS AD ×