berita

Kenal Siapa Kawan Sejati, Lebih Faham Orang Lain… Gadis Ini Kongsi Hikmah Peperiksaan Gagal Berkali-Kali

October 19th, 2016 | by Ai
Kini Trending

covermirosha

Mereka yang pernah bergelar pelajar pasti tidak terkecuali daripada merasai tekanan untuk lulus peperiksaan dan menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. Tekanan tersebut boleh mengakibatkan banyak kesan negatif lain kepada seseorang sekiranya tidak dikawal, contohnya sifat putus asa dan kemurungan.

Ini kisah Mirosha, gadis yang bergelar pelajar cemerlang sepanjang hidupnya dari sekolah hingga zaman asasi. Tiada siapa yang menjangka gadis sepintar dirinya akan gagal berkali-kali dalam peperiksaan walaupun telah berusaha sehabis baik. Ikuti kisah yang penuh motivasi ini, moga dapat dijadikan inspirasi untuk semua insan yang ingin bangkit dari kegagalan!

Sentiasa Bergelar Pelajar Cemerlang…

14720387_10207883767028836_5855799371920364717_n

“Ini anak saya. Sekarang di ICAEW (Institute of Chartered Accountants in England and Wales). Bakal akauntan bertauliah.”

Semuanya bermula apabila melihat wajah ayah yang berseri-seri ketika memperkenalkan saya kepada orang lain. Itulah sebab saya terus bertahan.

Sepanjang hidup, saya sentiasa bergelar pelajar cemerlang. Kegagalan adalah asing buat saya. Semasa pengajian di peringkat asasi, segalanya baik-baik sahaja. Masuk ke peringkat profesional pada September 2012, saya mengambil dua daripada enam kertas peperiksaan profesional yang telah ditetapkan untuk kami. Dalam semua pelajar dalam kelas, saya satu-satunya pelajar yang gagal kedua-dua subjek tersebut dengan teruk. Sekaligus saya telah merosakkan kadar 100% lulus seluruh kelas. Saya ‘ditinggalkan’ untuk menduduki semula peperiksaan tersebut manakala rakan sekelas lain meneruskan pengajian untuk menghadapi kertas-kertas selanjutnya.

Gagal Berkali-Kali!

Harga diri saya jatuh menjunam. Saya mula takut menghadapi kegagalan. Selepas kejatuhan pertama, setiap kali saya ingin menduduki peperiksaan, saya seolah-olah terdengar suara yang mengatakan “Apa pun, kau tetap akan gagal. Buat apa kau nak cuba lagi.” Benar, saya gagal. Sekali lagi. Sama seperti kegagalan sepanjang tahun yang telah saya hadapi. Mungkin sekali-sekala boleh lulus, tapi kemudiannya tetap akan gagal lagi. Ia telah menjadi seperti sebuah proses kitaran yang kejam. Rakan satu batch yang lain telah melangkah ke alam pekerjaan, dan saya masih lagi seorang pelajar.

Saya berhadapan dengan soalan dan kenyataan seperti:

“Mirosha, apa awak masih buat di sini? Bukan sepatutnya awak dah habis belajar ke?”

“Fail ah? Macam mana boleh fail?”

“Tapi awak tak NAMPAK seperti orang yang akan fail”

“Mungkin awak patut hentikan pengajian ini dan buat sesuatu yang memang awak BOLEH buat. Bila awak nak berhenti?”

“Macam mana kalau awak tak dapat lulus satu pun daripada enam kertas peperiksaan yang awak kena ambil tu?”

“Apa kelulusan yang awak ada untuk bawa ke luar nanti?”

“Buatlah sesuatu yang lebih mudah.”

Saya menjauhkan diri daripada orang-orang yang negatif tapi anasir-anasir tersebut telah mempengaruhi fikiran saya. Selepas tiga tahun, akhirnya saya sampai ke peringkat di mana saya hanya perlu lulus dua kertas sahaja lagi. Saya memberitahu diri saya “Inilah masanya. Aku akan bekerja. Aku akan membayar bil-bil. Usaha keras aku akan berbaloi.” Tapi saya gagal kedua-dua kertas tersebut. Sekali lagi.

Hampir Bunuh Diri!

Pada Jun 2015, saya mula menghadapi kemurungan. Bermula daripada simptom ringan sehingga berat; iaitu fikiran dan cubaan untuk membunuh diri. Daripada seorang yang berpendapat bahawa bunuh diri adalah untuk mereka yang penakut dan lemah, saya berubah menjadi seorang yang yakin bahawa ini keputusan terbaik untuk orang sekeliling– bila saya sudah mati. Tak payah nak dengar mak ayah saya cakap “Mungkin kamu tidak cukup berusaha. Agak-agak berapa yuran kali ini yang perlu kami bayar untuk kami menduduki semula peperiksaan tersebut. Kami akan cari jalan untuk membiayainya”. Saya melintas setiap jalan raya sambil berharap akan dilanggar oleh bas. Saya berdiri diatas bangunan-bangunan tinggi, merenung ke luar tingkap sambil membayangkan betapa dahsyatnya saya akan jatuh dan mati dengan segera setelah jasad menghempap bumi.

Bagaimanapun, saya berjaya mendapatkan pertolongan daripada insan-insan tersayang dan telah diselamatkan oleh mereka. Ayah sentiasa berpesan bahawa segala yang terjadi ini ada sebabnya, jadi saya terus dan terus mencuba. Setelah lulus lima daripada enam kertas peperiksaan, saya tiba di kertas yang terakhir. Nasib saya ibarat telur di hujung tanduk untuk kertas ini. Ini peluang terakhir untuk saya, kerana ICAEW ada had maksimum untuk percubaan. Jika saya gagal kali ini, saya akan kehilangan segalanya. Lima tahun setengah tidak cukup tidur dan susah payah kerana menghadapi peperiksaan akan sia-sia. Daripada title pelajar ICAEW, saya akan bergelar drop out ICAEW.

14 Oktober 2016 adalah hari untuk keputusan peperiksaan saya. Berdasarkan rekod sebelum ini, saya agak pasti bahawa saya akan gagal lagi dan kehilangan segalanya. Saya berjalan seorang diri di KLCC dengan telefon bimbit yang dimatikan, mempersoalkan diri adakah saya tegar untuk pulang ke rumah dan memberitahu ibu bapa saya bahawa saya telah mengecewakan mereka untuk berjuta kalinya. Siapa yang nak ambil orang tanpa kelulusan untuk bekerja? Mampukah saya untuk bangkit dan memulakan pengajian dalam jurusan yang baru? Akhirnya saya menghidupkan telefon bimbit dan sebuah mesej daripada rakan saya menerpa masuk. Ia adalah gambar yang menunjukkan nama saya terpampang di papan kenyataan pelajar yang lulus kesemua enam kertas peperiksaan ICAEW. Saya tidak mampu bergerak walau seinci pun. Cuma satu soalan yang berlegar di kepala saya ketika itu;

“AKU DAH BERJAYA?!?!”.

Saya mengambil masa 5 tahun setengah untuk menyelesaikan peperiksaan yang sepatutnya dapat diselesaikan dalam masa dua tahun setengah. Saya telah mengulangkaji pelajaran selama 14 jam sehari selama berbulan-bulan dan masih gagal. Saya telah dilabel sebagai satu kegagalan secara terang-terangan di depan mata. Saya telah ditinggalkan oleh mereka yang saya gelar ‘sahabat’ kerana tidak lagi dikenali sebagai pelajar cemerlang seperti suatu ketika dahulu.

Hikmah Disebalik Kegagalan

Tetapi apabila saya berfikir semula tentang hal ini, jika saya lulus segala-galanya, saya tidak akan menyertai Toastmasters untuk mencari harga diri saya. Jika saya tidak gagal tahun lepas, saya tidak akan menjadi seorang pelajar yang layak untuk menyertai Sukan Olimpik English Asia dan akhirnya menang dalam pertandingan itu. Saya takkan tahu siapa yang betul-betul ada disisi saya dan menerima saya apa adanya, bukan kerana pencapaian saya semata-mata. Saya takkan boleh memahami perasaan mereka yang menghadapi kemurungan dan kegagalan. Kalau saya tidak gagal, saya takkan mendapat apa-apa pencapaian tambahan dan menjadi diri saya pada hari ini. Saya bukanlah Oprah Winfrey yang boleh melontarkan ayat seperti “Saya telah dipecat semasa kerja pertama saya di televisyen tapi lihatlah betapa berjayanya saya sekarang” tapi apa yang boleh saya katakan, “Saya telah melalui cubaan untuk membunuh diri, tapi saya masih hidup dan saya benar-benar pasti bahawa saya tidak ingin mati disebabkan satu kegagalan.”

Berikut adalah mesej kepada kumpulan orang yang berbeza;

-Buat mereka yang mendampingi saya tanpa mengenal penat lelah dan meyakinkan bahawa saya mampu melakukannya:

TERIMA KASIH DAN SAYA SAYANGKAN ANDA

-Buat mereka yang telah mengharungi kemurungan/kegagalan/kehilangan:

Segala yang terjadi itu ada sebabnya. Ia adalah sebab yang BAIK. Segalanya pasti akan baik-baik. Kehidupan mengajar kita untuk mengenali diri sendiri dalam cara yang tidak disangka-sangka.

-Buat mereka yang memberitahu saya bahawa saya tidak mampu untuk melakukannya:

Well, kini saya telah berjaya melakukannya.

Ingatlah, pasti ada kegelapan sebelum cahaya menjelma.

Sumber: Mirosha Somasundram

SKIP THIS AD ×