berita

Kisah 2 Pejuang Malaysia Di Perancis Didokumentarikan

September 12th, 2013 | by Ai
Kini Trending

History Channel-21

Jika sebut mengenai Henry dan Cyril Tallala mesti ramai yang tertanya-tanya siapakah tuan punya gerangan tersebut.

Kalau anda nak tahu, mereka adalah adik-beradik warga Malaysia yang berkhidmat sebagai juruterbang suatu masa dulu dan pernah menyertai Royal British Air Force (RAF) semasa Perang Dunia Kedua.

Melalui sebuah dokumentari berjudul Lost Over France: Malaysia’s Unsung Hero, penonton akan didedahkan dengan kisah awal penyertaaan dua beradik itu menerbangkan pesawat pejuang sehinggalah ke akhir hayat mereka.

Untuk makluman anda, Henry yang pada ketika itu berusia 24 tahun telah menjadi juruterbang pejuang RAF sejak 1941 dan menerbangkan pesawat Typhoon membawa roket bagi Skuadron ke-182.

History Channel-18

Manakala adik beliau, Cyril pula menerbangkan pesawat pejuang Spitfire bagi Skuadron ke-118.

Kisah sedih bermula pada tahun 1944 apabila Henry berlepas bersama empat pesawat British Typhoon bagi memberi sokongan udara kepada tentera darat Bersekutu yang menentang barisan pertahanan Nazi di selatan bandar Caen, Perancis Utara.

Pada ketika itu, Skuadron Henry ditugaskan menyerang barisan tentera di Fontenay Le Marmion dan menyatukan semula pembentukan pertahanan Jerman di selatan Caen.

Namun nasib Henry tidak baik apabila pesawatnya diserang oleh Sokongan Darat Nazi tidak lama selepas beliau melepaskan roket. Lebih malang lagi, Henry ditembak dan terhempas 11 batu dari sasarannya.

Sebaik mendengar beritu itu, adiknya, Cyril terbang sendirian menaiki pesawat ke Utara Perancis dan kembali ke zon pertarungan. Dalam keadaan terdesak, beliau menjejaki laluan penerbangan yang digunakan oleh Henry namun tidak menemui apa-apa.

History Channel-24

Bagaimanapun kira-kira 21 hari selepas kemalangan itu, seorang petani Perancis, Louie Bree menemui sebuah kubur di sebelah pesawat yang rosak.

Lima puluh tahun kemudian, kerajaan Britain menggali semula jasad Henry dan memindahkannya ke perkuburan tentera di Banneville Le Campaigne.

Sejak daripada itu, penduduk di kampung kecil Airan memberi penghormatan melalui acara kecil-kecilan sebagai tanda penghormatan kepada pengorbanan pejuang Malaysia itu. Malah, salah seorang ahli keluarga Tallala juga akan turut menghadiri acara tersebut.

Walaupun pengorbanan yang dibuat oleh Henry dan Cyril tidak kurang besarnya, namun nama kedua-dua pejuang ini tidak pernah diperkatakan dan seolah dilupakan.

Maka dengan itu, History Asia mengambil kesempatan untuk mendekati bekas juruterbang-juruterbang Typhoon Britain yang masih hidup dan adik-beradik Tallala bagi mendalami kisah sebenar pejuang-pejuang ini untuk diceritakan kepada umum.

Jika anda ingin melihat sendiri bagaimana kehidupan Henry dan Cyril pada masa itu, anda boleh menontonnya di saluran History dan History HD pada 16 September 2013.

SKIP THIS AD ×