berita

Kisah “Lee Chong Wei” Bakal Difilemkan Syafiq Yusof?

August 7th, 2012 | by Ai
Filem Antarabangsa

Atlet dan hero negara, Dato’ Lee Chong Wei. OHBULAN! sendiri hampir menangis apabila melihat saat terakhir Lee Chong Wei tewas di tangan musuh tradisi, Lin Dan. Walaubagaimanapun, tahniah kepada Lee Chong Wei kerana beliau berjaya mengharumkan nama negara dan tetap mencuri hati rakyat Malaysia.

Disebabkan itu, melalui laporan Malaysian Digest hari ini, khabarnya anak kepada Yusof Haslam yang juga pengarah termuda di Malaysia pernah berfikir untuk memfilemkan kisah hidup Lee Chong Wei. Syafiq Yusof yang juga pengarah kepada filem SAM (Saya Amat Mencintaimu) bercadang untuk menggarap sebuah filem berkisarkan hidup dan segala rintangan yang Lee Chong Wei lalui untuk sampai ke tahap sekarang.

“Memang pernah terfikir nak buat tentang tokoh sukan. Idea nak buat fasal Datuk Lee Chong Wei pernah ada tapi saya belum berfikir secara serius lagi.”

Bagi Syafiq Yusof, tidak semestinya jika mahu membikin sebuah filem tentang seseorang, dia perlu memilih watak yang berprofil tinggi kerana penonton mahukan sesuatu yang unik.

“Saya rasa kalau nak buat satu filem apatahlagi berkonsep biografi, tidak semestinya tokoh yang dipilih harus mempunyai profil kejayaan paling tinggi. Tapi saya rasa kalau figura itu berjaya menyentuh hati kita ianya pasti menarik, sepertimana Chong Wei yang telah berjaya menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia tidak kira tua atau yang muda.”

Jika benar Syafiq Yusof mahu mengarah filem mengenai Lee Chong Wei, OHBULAN! harap ia adalah sebuah filem yang benar-benar berkualiti dan mampu meningkatkan adrenalin para penonton. Mungkin dengan menonton filem kisah hidup Lee Chong Wei, akan muncul pula hero negara yang baru? Siapa tahu kan?

SKIP THIS AD ×