berita

Penganjur Langgar Peraturan Bawa Dato Siti Nurhaliza, Diberi Amaran

July 18th, 2012 | by Ai
Isu & Kontroversi

Umum tahu bahawa kerajaan Negeri Kelantan sememangnya tegas dari segi undang-undang dan peraturan mengenai industri hiburan di negeri mereka.

Terbaru, sebuah badan penganjur telah diberi amaran kerana melanggar peraturan apabila mereka memberikan slot persembahan untuk Dato’ Siti Nurhaliza di sebuah majlis “Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012” peringkat Kota Bharu, 14 Julai lepas. Antara sebab penganjur diberi amaran ialah kerana mereka melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yang dikuatkuasakan di negeri Kelantan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan, mereka sudah menerima maklumat yang menyatakan bahawa majlis itu hanyalah sebuah majlis motivasi, namun disebaliknya, Dato’ Siti telah membuat persembahan secara terbuka.

“Sebelum ini kita terima maklumat daripada penganjur program itu mengatakan majlis itu merupakan program motivasi, namun di sebalik majlis itu mereka membawa penyanyi wanita tersohor menghiburkan penonton dengan persembahan nyanyian secara terbuka. Ini memang satu tindakan yang menyalahi undang-undang di negeri ini, namun kita harap selepas ini perkara seumpama ini tidak berulang lagi.”

Untuk pengetahuan, pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Kelantan boleh dikenakan tindakan undang-undang dan denda tidak kurang dari RM1,000 mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Sumber : Sinar Harian

SKIP THIS AD ×