berita

Review : David Blaine Pecah Rekod Drowned Alive, 8 Minit 36 Saat!

September 8th, 2014 | by Ai
Kini Trending

David Blaine Asia Tour 2014 Live In Malaysia-17

Kalau anda salah seorang penonton yang berada di Stadium Negara pada malam Jumaat lepas mesti dapat lihat keadaan stadium yang cukup meriah dengan kehadiran ribuan peminat semata-mata untuk menyaksikan David Blaine “Real or Magic” Asia Tour 2014 di Malaysia.

Bagi seseorang yang kurang meminati trick silap mata, saya agak kagum dengan showmanship Blaine. Kalau selama ni saya selalu anggap magician adalah individu yang menakutkan, nampaknya kini saya dah boleh mengubah persepsi tersebut.

Walaupun persembahan bermula agak lewat seperti dijanjikan, tapi keadaan tersebut langsung tak mematahkan semangat peminat untuk terus menunggu sehingga Blaine muncul di atas pentas sewaktu jam hampir menunjukkan pukul 10 malam.

Jika lihat pada gaya percakapan serta pergerakannya yang perlahan, Blaine nampak pasif dan sukar didekati. Tapi ternyata sangkaan saya meleset kerana ahli silap mata terkenal ini rupanya pandai bergurau dengan peminat. Ada sahaja modalnya untuk menyakat penonton yang hadir.

David Blaine Asia Tour 2014 Live In Malaysia-6

Untuk yang tak berpeluang menyaksikan kehebatan kuasa magis Blaine tempoh hari, sebenarnya Blaine memulakan malam magikal itu dengan aksi memadamkan api di logo DB menggunakan enam botol air yang telah diminum.

Boleh bayangkan tak macam mana air yang dah selamat berada di dalam perut secara tiba-tiba boleh dihembus keluar semula dari mulut untuk memadamkan api. Pelik, kan?

Memang menakjubkan hingga saya bayangkan Blaine mempunyai kuasa luar biasa yang tak tercapai dek akal. Tapi sebenarnya muslihat yang ditonjolkan boleh dipelajari.

David Blaine Asia Tour 2014 Live In Malaysia-10

Aksi-aksi selepas itu pula melibatkan permainan ilusi daun terup, kepingan puzzle dan yang paling membuatkan peminat ternganga luas ialah apabila Blaine dengan selamba mencucuk pemecah ais menembusi tapak tangannya. Memang gila!

Blaine sikit pun tak mengerang kesakitan mahupun mengalami pendarahan walaupun beliau telah siap sedia menjemput seorang doktor dari kalangan penonton untuk naik ke atas pentas jika terjadinya sesuatu yang tak diingini.

Tak lama selepas tu, Blaine mengambil masa untuk berehat dan ruang pentas diambil alih oleh tiga orang penghibur antaranya seorang penari dari Perancis iaitu Salah Benlemgawanssa dan dua orang ahli silap mata.

David Blaine Asia Tour 2014 Live In Malaysia-12

Usai persembahan selingan itu, Blaine kembali dan kali ini peminat dikejutkan pula dengan persembahan luar biasa yang memerlukan Blaine untuk berada di dalam tangki air dan cuba bertahan selama mungkin di dalamnya.

Mungkin ramai tak tahu bahawa pada tahun 2006, Blaine pernah mencuba aksi ini yang diberi nama Drowned Alive di New York di mana pada ketika itu, Blaine cuma mampu bertahan selama 7 minit 8 saat.

Dan mungkin disebabkan oleh latihan berterusan, Blaine akhirnya berjaya memecahkan rekod di Malaysia apabila dia mencatat masa 8 minit 36 saat menahan nafas di dalam air. Rekod Drowned Alive paling lama oleh Blaine setakat ini!

David Blaine Asia Tour 2014 Live In Malaysia-15

Blaine mengajak peminat masuk ke dalam akuarium bersamanya

Tapi sayangnya, baru sahaja saya rasa teruja untuk menyaksikan lebih banyak aksi luar biasa dari Blaine, saya terpaksa akur apabila diberitahu persembahan telah tamat. Agak kecewa di situ ya!

Walaupun telah diberitahu sedari awal bahawa persembahan tersebut hanya berlangsung selama 90 minit tapi masa terasa berjalan terlalu pantas. Adakah kerana saya dah mula mengagumi kehebatannya?

Tapi apa yang pasti, bukan saya sahaja yang terkilan kerana sewaktu berjalan keluar dari stadium, terdengar beberapa suara yang mengatakan persembahan tersebut mungkin akan lebih baik jika Blaine menunjukkan lebih banyak aksi-aksi ekstrem seperti yang pernah dilakukan sebelum ini berbanding ilusi street magic.

David Blaine Asia Tour 2014 Live In Malaysia-18

Kempunan juga nak lihat Blaine melakukan aksi Frozen In Time, Vertigo, Above The Below dan banyak lagi secara live di depan mata. Tapi mungkin kunjungannya buat pertama kali di Malaysia kali ini sekadar warm up dulu untuk melihat sambutan peminat.

Bagaimanapun, tak dapat dinafikan bahawa pengalaman pertama menyaksikan pertunjukan silap mata dari David Blaine memang sesuatu yang berharga. Saya harap, kalau ada rezeki Blaine kembali ke Malaysia pada tahun akan datang, beliau mampu memukau peminat dengan aksi yang lebih hebat. Till we meet again DB!

Kredit foto : LiveScape Asia

SKIP THIS AD ×