berita

Suami Bertukar Foto Lucah Dengan Wanita Hampir Sebaya Ibu, Wanita Ini Nekad Bercerai

April 6th, 2016 | by Ai
Isu & Kontroversi

curang main photo

‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Hubungan pasangan suami isteri mana yang tidak dilanda badai. Mungkin sudah menjadi lumrah wanita mudah memaafkan kesalahan suami, namun hati isteri mana yang tidak hancur jika suami berlaku curang berulangkali walaupun telah diberi kesempatan untuk berubah.

Paling mengecewakan jika suami berpura-pura sudah insaf tapi terus-terusan menipu si isteri. Wanita ini tampil menceritakan kisah pergolakan rumahtangganya dengan harapan ia dapat menjadi iktibar atau pemberi kekuatan untuk para isteri yang mungkin senasib dengannya. Besar sangatkah kesalahan suaminya sehingga tidak mampu dimaafkan lagi? Ikuti luahan wanita ini selanjutnya.

Kahwin Suka Sama Suka

Saya telah pun berkahwin pada 2010 dan Alhamdulillah dikurniakan sepasang anak yang comel, soleh dan solehah. Saya berkahwin dengan suami atas dasar suka sama suka setelah berkenalan hampir 2 tahun sebelum itu. Pada awal perkahwinan, kami amat bahagia sehinggalah lahirnya anak kedua kami pada 2013, dugaan dan ujian datang tanpa diduga untuk saya dan suami.

Jumpa Foto Lucah Dalam WhatsApp Suami!

woman check phone

Saya masih ingat malam itu di mana suami tertinggal handphonenya sebelum keluar bertemu janji dengan pelanggannya. Selama ini tidak pernah saya memeriksa handphonenya atau pun barang-barang peribadi suami tetapi pada malam itu saya tiba-tiba terasa untuk melihat apa yang ada dalam handphonenya. Ya Tuhan, berderau darah saya dan menggigil seluruh badan saya melihat terlalu banyak foto lucah dalam galeri whatsappnya yang dikirim seseorang.

Saya pun terus memeriksa chat whatsappnya dan terjumpa perbualan seorang perempuan yang menghantar gambar-gambar tersebut. Mereka siap bertukar-tukar gambar bertelanjang dan bermesej-mesej lucah membayangkan apa yang akan mereka lakukan jika bertemu nanti. Apa yang mengejutkan ialah perempuan tersebut bekerja dekat dengan pejabat suami dan juga merupakan isteri orang dan ibu kepada 4 orang anak yang sudah bersekolah menengah dan belajar di kolej. Saya tahu semuanya melalui perbualan mereka di dalam whatsapp tersebut. Saya menangis semahu-mahunya sambil memeluk anak-anak yang masih kecil dan tak tahu apa-apa.

“Kalau Curang Sekalipun, Janganlah Sampai Ke Tahap Berzina!”

muslimah-sedang-sedih

Bila suami pulang hampir jam 12 malam, saya hanya mendiamkan diri dan pura-pura tidur tetapi setelah didesak suami kerana melihat saya masih mengalirkan air mata, saya memberitahu segala-galanya dan meluahkan betapa kecewanya saya mengetahui akan kecurangannya. Saya bertanya kepada suami apa kekurangan saya? Saya menurut segala kemahuan suami yang mahu saya berhenti kerja walaupun saya graduan sarjana dan harapan keluarga untuk membantu mereka, suami meminta saya berbuat demikian untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak. Walaupun menjadi suri rumah selepas itu, saya tetap berdandan diri dan pentingkan penampilan untuk suami namun segala-galanya seperti tak bermakna apa-apa.

Suami turut menangis, memeluk kaki saya dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya. Saya sempat berpesan kepada suami sekiranya dia curang sekalipun, jangan lah sampai ke tahap berzina. Kalau rasa perlu kahwin lain, kahwin lah kerana saya tidak mahu bersubahat dan saya rela mengundurkan diri. Suami merayu mengatakan saya sudah terlalu sempurna untuk dirinya dan tidak perlukan perempuan lain dan perbuatan bermesej lucah yang dilakukan itu adalah kesilapan terbodoh yang pernah dia lakukan. Saya menerima janji suami dan kami sama-sama melakukan solat sunat taubat pada malam itu atas segala dosa-dosa kami dan suami menangis bersungguh-sungguh ketika di atas sejadah. Suami tidak lagi menghubungi wanita tersebut dan hubungan saya dan suami semakin bertambah erat dan bahagia.

Wanita Lain Mengandungkan Anak Suami!

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pada penghujung tahun lepas, saya menerima satu mesej daripada seorang wanita yang ingin bertemu saya tanpa menyatakan sebabnya. Saya cuba menghubunginya semula namun tiada apa-apa jawapan sehinggalah lebih kurang 2 minggu selepas itu. Wanita itu menghubungi saya dan memperkenalkan dirinya sebagai M dan meminta berjumpa dengan saya untuk memberitahu tentang sesuatu antara dirinya dengan suami saya. Bergoyang lutut saya ketika itu, menggigil kerana takut peristiwa lama berulang kembali. Kami bertemu dan wanita tersebut menceritakan segala-galanya dan sekali lagi saya amat terkejut mengetahui bahawa itu adalah wanita sama yang bermesej lucah dengan suami saya 2 tahun sebelum itu.

Hampir pengsan saya ketika itu bila M memberitahu mereka tidak pernah berhenti berhubung dan M telah pun bercerai dengan suaminya yang telah dikahwini selama 21 tahun semata-mata untuk bersama suami saya. Apa yang meremukkan hati saya adalah apabila M mengaku mereka sering mengadakan hubungan seks di rumah M sejak mereka berkenalan. Untuk pengetahuan, M hampir sebaya dengan ibu saya (hampir 50 tahun) dan berperwatakan keibuan manakala saya dan suami berusia awal 30-an. Memandangkan saya bukanlah jenis wanita yang pandai mengamuk atau menyerang, saya hanya mengalirkan air mata tanpa henti mendengar pengakuan M. M meminta maaf kepada saya tetapi terpaksa melakukannya kerana suami telah berjanji untuk mengambilnya sebagai isteri memandangkan M mengandungkan anaknya kini. M juga tidak kisah sekiranya dimadukan kerana terlalu mencintai suami saya.

Hubungan Dengan M Hanya Kerana Nafsu, Bukan Cinta!

istri-sedih-ilustrasi-pinterest

Saya terasa terhina, kecewa kerana ditipu hidup-hidup oleh orang yang saya terlalu sayang dan percaya selama ini. Semua perbuatan baiknya sebelum ini, sering memuji saya, solat berjemaah bersama-sama, romantis bagaikan satu lakonan semata-mata. Saya nekad untuk berpisah dengannya dan menyatakan hasrat tersebut kepadanya. Suami ketika itu meraung meminta maaf tak mahu kehilangan saya. Dia memberi alasan bahawa hubungannya dengan M hanya kerana nafsu semata-mata dan tidak ada perasaan cinta langsung. Namun bagi saya, kalau sudah terlanjur tiada apa lagi alasan yang boleh mengembalikan lagi kepercayaan saya kepadanya. Sedalam mana cinta terhadap suami, saya tidak dapat menafikan perasaan benci yang membuak-buak selepas jadinya perkara ini. Saya tawar hati dan nekad untuk berpisah daripadanya. Saya juga meminta dia bertanggungjawab terhadap M dan melepaskan saya. Walaupun suami meminta saya memberikan peluang kerana dan anak-anak yang masih kecil, namun bagi saya tiada guna jika kami suami isteri hanya berpura-pura bahagia bila hakikatnya hati saya sudah hancur berkecai.

Suami Berkahwin Dengan M di Thailand…

Kini kami di dalam proses penceraian setelah saya nekad meminta dilepaskan demi kebahagiaan semua pihak. Suami dan M telah pun berkahwin di Thailand dan sejak berkahwin, suami tidak lagi datang ke rumah kerana mengikut M berpindah ke luar daerah. Walaupun tidak lagi menjenguk anak-anak, saya masih bersyukur kerana suami masih pentingkan kebajikan anak-anak dengan bank in wang setiap minggu. Walaupun saya tidak bekerja lagi buat masa ini, Alhamdulillah saya mempunyai hasil simpanan yang masih boleh digunakan. Saya cuma berharap agar proses penceraian kami ini berjalan dengan lancar agar saya dapat memulakan hidup baru bersama anak-anak. Walaupun peritnya kehilangan orang yang disayangi dan dikhianati, namun saya tidak berdendam dengan suami dan isteri barunya.

Bahagiakah Anak-Anak Walau Ibu Bapanya Tidak Bercerai Tetapi Setiap Hari Bergaduh?

penyebab-mengapa-anak-menangis

Ujian ini menjadikan saya lebih kuat. Ya, ramai yang bertanya kepada saya kenapa tidak cuba bertahan demi anak-anak, tetapi pada saya, anak-anak akan bahagia jika ibu bapanya bahagia dan saling mencintai. Cuba fikirkan, bahagiakah anak-anak walau ibu bapanya tidak bercerai tetapi setiap hari bergaduh, bermasam muka dan membenci satu sama lain? Saya berharap kisah saya ini sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada mereka diluar sana supaya tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh orang tersayang. Di luar mungkin mereka yang dikhianati ini nampak kuat, tetapi hakikatnya hati bagai dicarik-carik menahan kesedihan dan kesengsaraan.

Sumber: KRT

SKIP THIS AD ×