berita

Pecah Rekod! 5 Pelajar Malaysia Diterima Masuk Harvard Tahun Ini

April 5th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Lima pelajar Malaysia melakar sejarah apabila diterima masuk ke salah sebuah universiti berprestij dunia, Universiti Harvard bagi tahun pengajian yang akan datang. Untuk rekod, ini adalah jumlah tertinggi bilangan pelajar dari Malaysia yang diterima masuk ke Harvard dalam tahun yang sama.

Penerimaan Harvard paling rendah dalam sejarah

Foto: CNBC

Kelima-lima rakyat Malaysia tersebut merupakan antara pelajar terpilih daripada jumlah keseluruhan permohonan seramai 61,220 pelajar dari seluruh dunia dan pencapaian ini dianggap luar biasa kerana kadar penerimaan Harvard tahun ini terendah dalam sejarah universiti tersebut iaitu sebanyak 3.19 peratus.

Kelima-lima pelajar tersebut terdiri daripada Herman Leong Xin Yang dan Carisma Michaela Wong, pelajar A-Level di Kolej Yayasan UEM (KYUEM), Ishant Shah, pelajar Program Matrikulasi Antarabangsa Kanada di Kolej Sunway, Chooi Je Qin, pelajar A-Level di sekolah antarabangsa, dan Lee Ee Jenn, pelajar A-Level di Garden International School.

Kelima-lima pelajar itu merancang untuk melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang iaitu astrofizik, biokimia, ekonomi, sains alam sekitar dan dasar awam, politik, dan sosiologi. Kesemua mereka akan menamatkan pengajian di Harvard pada 2026.

Bakal sertai 2 pelajar Malaysia dari tahun lepas

Gambar sekadar hiasan (Foto: Reuters)

Alumni pelajar Harvard, Wan Nadiah Wan Mohd. Abdullah Yaakob meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan lima pelajar Malaysia diterima masuk ke universiti itu, selain rasa kagum dengan kepintaran kelima-lima pelajar tersebut.

Kami sangat gembira apabila lima pelajar Malaysia memecahkan rekod diterima ke Kolej Harvard dalam satu tahun. Paling banyak dua pelajar yang diterima masuk setiap tahun dan kadangkala tiada.

Sebagai contoh, Je Qin terlibat dalam pelbagai Olimpik Astrofizik dan Astronomi. Ishant ialah pemain skuasy negara. Herman mempunyai pengetahuan luas dalam bidang biologi. Carisma mengadakan penyelidikan mengenai sejarah Sabah dan Ee Jenn mewakili Malaysia dalam pertandingan debat.

Melihat latar belakang mereka, jelas bahawa tidak ada seorang pun merupakan pelajar Harvard tipikal, walaupun mereka semua berkongsi dedikasi untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang yang mereka minati.

Bagi memastikan pelajar yang terpilih ke Harvard mampu meneruskan pelajaran, keluarga yang berpendapatan di bawah AS$75,000 (RM316,000) setiap tahun tidak akan dikenakan sebarang bayaran yuran, sebaliknya akan ditaja sepenuhnya oleh Harvard.

Lima pelajar baharu Harvard itu akan menyertai dua pelajar Malaysia yang diterima masuk tahun lalu iaitu Jarell Cheong Tze Wen dari Kuala Lumpur dan Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi dari Kuantan, Pahang.

SKIP THIS AD ×