
Kalau korang sedang mencari destinasi yang menghimpunkan makanan dari pelbagai negeri, menu antarabangsa, dessert, minuman dan pelbagai aktiviti dalam satu lokasi, Food Empire @ MAHA 2026 di MAEPS Serdang memang antara lokasi yang boleh dimasukkan dalam senarai hujung minggu ini.
Berlangsung sehingga 6 September 2026, segmen gastronomi anjuran FAMA itu menghimpunkan sebanyak 74 usahawan, 74 lot dan 1,001 pilihan menu merangkumi makanan popular, minuman, dessert, menu antarabangsa, francais serta hidangan ikonik dari seluruh Malaysia.
Bukan sekadar tempat untuk makan dan membeli-belah, Food Empire turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, perkongsian ilmu, persembahan muzik dan elemen budaya yang boleh dinikmati pengunjung sepanjang MAHA 2026.
Dari Nasi Ulam hingga Laksa Sarawak, semua ada

Bagi yang mahu menikmati hidangan dari pelbagai negeri tanpa perlu berjalan jauh, segmen Best of the Best menampilkan sajian pilihan yang mewakili negeri dan wilayah di Malaysia.
Antaranya termasuk Nasi Ulam dari Perlis, Bihun Sup Utara dari Kedah, Char Koay Teow dari Pulau Pinang, Rendang Tok dari Perak, Nasi Ambeng dari Selangor dan Roti John dari Wilayah Persekutuan.
Turut tersedia ialah Nasi Lemak Cili Padi dari Negeri Sembilan, Asam Pedas dari Melaka, Kacang Pool dari Johor, Patin Masak Tempoyak dari Pahang, Nasi Dagang dari Terengganu, Nasi Kerabu dari Kelantan, Nasi Linopot dari Sabah serta Laksa Sarawak.
Secara keseluruhan, terdapat enam kategori utama untuk diterokai iaitu Best of the Best, Makanan Popular, Minuman, Menu Antarabangsa, Dessert dan Francais.
Jadi, memang banyak pilihan untuk dicuba, terutama kalau datang bersama keluarga atau geng yang masing-masing ada selera berbeza.
Banyak pilihan, harga mesra poket
Lebih menarik, Food Empire turut menyediakan Menu Super Jimat dengan sebanyak 132 pilihan menu berharga bawah RM10.
Dengan pilihan serendah itu, pengunjung boleh mencuba lebih banyak hidangan tanpa perlu risau bajet makan melambung.
Dalam masa sama, segmen ini turut memberi peluang kepada usahawan tempatan mengetengahkan produk dan makanan mereka kepada orang ramai, sekali gus membantu meningkatkan permintaan terhadap bahan mentah tempatan.
Bukan sekadar makan, banyak aktiviti menanti
Kalau korang fikir Food Empire hanya tentang makanan, sebenarnya ada banyak lagi aktiviti yang boleh disertai.
Antara tarikan eksklusif ialah KPKM Top Warrior Cooking Battle, yang membabitkan enam pasangan VIP daripada pengurusan tertinggi KPKM dan FAMA.
Mereka akan menghasilkan menu kreatif bertemakan “Destinasi Makan Tengahari” menggunakan bahan daripada Ingredient Box.
Selain itu, PUSPANITA Fruit Basket Challenge turut mengetengahkan kreativiti peserta dalam menghasilkan gubahan menggunakan buah-buahan tempatan.
Bagi yang gemar menambah ilmu pula, Program Sahabat Ilmuan FAMA menjadi platform perkongsian ilmu yang menghimpunkan 22 penceramah daripada pelbagai bidang kepakaran.
Keluarga yang membawa anak-anak juga tidak akan ketinggalan apabila Junior Food Empire Takeover menampilkan pelbagai aktiviti seperti bengkel dekorasi cupcake, pertandingan pakaian beragam Busana Merdeka dan pertandingan mewarna.
Makan sambil layan muzik dan persembahan menarik
Suasana di Food Empire turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan pentas sepanjang penganjuran MAHA 2026.
Antara yang bakal mencuri perhatian ialah persembahan Kai Deva, artis One in a Million, Fendi Caliph Buskers, Plus Minus Band dan Orkes Bangsawan.
Pengunjung juga boleh menikmati Violin Serenade oleh Adriana Azril yang menampilkan sebanyak 30 lagu dalam bentuk instrumental dan medley, merangkumi lagu popular Melayu, tradisional serta antarabangsa.
Elemen kebudayaan turut diketengahkan menerusi persembahan tarian multiracial dan Silat Bangau Putih, menjadikan pengalaman di Food Empire lebih meriah dengan gabungan makanan, muzik dan warisan budaya Malaysia.
Pengisian khas sempena Merdeka
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan, Food Empire turut menyediakan pengisian khas yang menggabungkan elemen gastronomi, komuniti dan patriotisme.
Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan, Sayur-sayuran & Ternakan Terpilih Tempatan turut menampilkan maskot Papa Zola dan Pipi bagi menarik penglibatan pengunjung dalam aktiviti santai dan interaktif.
Pada 1 September, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan makanan warisan oleh Dapur Chef Asma di Food Empire, Dewan DG, MAEPS Serdang.
Sasarkan 400,000 pengunjung
Dengan skala penganjuran yang besar, Food Empire @ MAHA 2026 menyasarkan kehadiran sehingga 400,000 pengunjung, selain nilai jualan sebanyak RM3 juta sepanjang penganjuran.
Penyertaan 74 usahawan dengan 1,001 pilihan menu itu memperlihatkan usaha FAMA menjadikan Food Empire antara tarikan utama MAHA 2026, selain memperkukuh promosi makanan tempatan dan membuka lebih banyak ruang kepada usahawan untuk memperkenalkan produk mereka.
Jadi, kalau korang masih belum sempat singgah ke MAHA 2026, jangan tunggu sampai hari terakhir.
Ajak keluarga, kawan-kawan atau geng makan dan terus ke Food Empire di Dewan DG, MAEPS Serdang untuk menikmati pelbagai pilihan makanan, menu bawah RM10, aktiviti interaktif, persembahan artis serta elemen budaya yang disediakan.
Jumpa di sana!







