
Baru-baru ini, nama pelakon dan penyanyi Aliff Aziz kembali menjadi perhatian apabila dipilih untuk membawakan watak Sultan Mansur Shah dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu.
Menariknya, pemilihan itu turut disulami dengan gurauan daripada maestro muzik yang merupakan pengarah teater tersebut, Datuk M. Nasir yang menyifatkan Aliff sebagai ‘pelakon kedua paling tampan di Malaysia’. Selain wajah dan bakat, M. Nasir menegaskan Aliff dipilih kerana berjaya memenuhi kriteria yang dicari menerusi sesi uji bakat.
ARTIKEL BERKAITAN: M.Nasir Yakin Aliff Aziz Miliki Kriteria Lengkap Jayakan Teater ‘Mansur & Liu’ – ‘Dia Pelakon Kedua Paling Tampan Di Malaysia’
ARTIKEL BERKAITAN: Disifatkan Pelakon Kedua Kacak Oleh M. Nasir, Ini Respon Aliff Aziz
Kehadiran bakat Singapura diterima baik
Kenyataan itu sekali lagi membuka perbincangan tentang satu hakikat yang mungkin jarang disedari ramai. Industri hiburan Malaysia sebenarnya sudah lama menerima kehadiran bakat dari Singapura.
Daripada filem pecah panggung, drama bersiri sehinggalah pementasan teater, ramai pelakon lelaki kelahiran republik itu bukan sahaja berjaya mencipta nama di Malaysia, malah ada yang akhirnya dianggap sebagai ‘anak tempatan’ oleh peminat.
Berikut lima pelakon lelaki Singapura yang berjaya menawan hati penonton Malaysia.
1. Datuk Aaron Aziz

Jika ada satu nama yang paling sinonim dengan kejayaan artis Singapura di Malaysia, jawapannya pastilah Datuk Aaron Aziz.
Memulakan kerjaya seni di Singapura, Aaron mengambil keputusan besar untuk mengembangkan sayap ke Malaysia sekitar pertengahan tahun 2000-an. Keputusan itu ternyata mengubah seluruh perjalanan kariernya.
Menerusi drama seperti Haryati, Emil Emilda dan filem blockbuster seperti KL Gangster, Ombak Rindu dan Evolusi KL Drift, Aaron berjaya meletakkan dirinya sebagai antara pelakon lelaki paling popular dalam industri hiburan tempatan.
Apa yang membezakan Aaron ialah keupayaannya membawa pelbagai jenis watak, daripada hero romantik hinggalah karakter antagonis yang berkarisma.
2. Datuk Adi Putra

Dilahirkan di Singapura, Datuk Adi Putra merupakan antara pelakon yang membuktikan bakat mampu mengatasi segala sempadan.
Sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni, beliau terkenal dengan lakonan yang versatil, sama ada dalam drama romantik, aksi mahupun naskhah berat.
Karisma dan ketenangan yang dimiliki menjadikan Adi sering diberikan watak lelaki matang, pemimpin dan individu berpengaruh.
Malah, namanya kekal relevan sehingga hari ini walaupun industri hiburan tempatan sudah melalui beberapa fasa perubahan. Karya terbaharunya bersama Zara Zya, Luka Di Hujung Setia yang baru sahaja selesai bersiaran bulan lalu di slot Akasia TV3 menjadi sebutan pencinta drama tempatan.
3. Hisyam Hamid

Sebelum dikenali sebagai antara pelakon lelaki popular di Malaysia, ramai mungkin tidak tahu yang Hisyam Hamid pernah berkhidmat sebagai anggota bomba di Singapura.
Anak kelahiran republik itu pernah bertugas sebagai HazMat Specialist di Stesen Bomba Alexandra di bawah Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Walaupun mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan sekitar 2003, kerjaya seninya pada ketika itu tidak diberikan sepenuh perhatian kerana komitmennya sebagai anggota bomba.
Namun, minat yang mendalam terhadap dunia lakonan mendorong Hisyam berhijrah ke Malaysia untuk mengejar impiannya. Hisyam memulakan langkah dalam industri tempatan menerusi watak kecil dalam drama Cut Amirah pada 2011.
Perjalanan Hisyam mula berubah apabila namanya melonjak menerusi drama fenomena slot Akasia TV3, Ariana Rose pada 2013. Menerusi watak Harith yang merupakan rakan niaga dan individu yang menaruh perasaan terhadap Ariana Rose, lakonannya berjaya mencuri perhatian penonton.
Sejak itu, Hisyam terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon lelaki yang mendapat tempat di hati penonton Malaysia, sekali gus membuktikan keberanian meninggalkan kerjaya tetap demi mengejar impian mampu mengubah seluruh perjalanan hidup seseorang.
4. Shah Iskandar

Perjalanan seni Shah Iskandar di Malaysia bermula dengan cara yang cukup unik. Anak kelahiran Singapura itu mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan pada 2006 ketika menuntut dalam bidang perfileman di Politeknik Ngee Ann, sebelum menyertai pertandingan realiti Anugerah Skrin Singapura dan muncul sebagai pemenang tempat ketiga.
Menariknya, Shah pernah menerima tawaran berlakon daripada penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, sejurus selepas pertandingan itu berakhir. Namun, dia memilih untuk menolak tawaran tersebut demi memberi tumpuan kepada pelajaran.
Selepas menamatkan pengajian, Shah terlebih dahulu bergelar pengacara di Singapura. Bagaimanapun, pada 2009, Shah akhirnya menerima pelawaan Yusof untuk menceburi dunia lakonan secara serius.
Karier Shah di Malaysia mula berkembang menerusi watak Inspektor Hisham dalam drama bersiri Gerak Khas, sebelum namanya semakin dikenali menerusi beberapa naskhah popular seperti Nora Elena dan Jika Itu Takdirku.
Kejayaan Shah bukan sekadar terhenti di situ. Dia turut mencipta sejarah apabila memenangi kategori Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak dua kali berturut-turut pada 2013 dan 2014, sekali gus menjadikannya pelakon Singapura kedua yang berjaya meraih pengiktirafan tersebut selepas Aaron Aziz.
Selepas 10 tahun, Shah kembali menggenggam trofi ABPBH menerusi kategori Aktor Pembantu TV Popular pada tahun 2024.
5. Aliff Aziz

Jika dahulu Aliff Aziz lebih dikenali sebagai penyanyi, hari ini namanya semakin kukuh dalam bidang lakonan. Walau terpalit dengan pelbagai siri kontroversi, kerjaya seni Aliff terus bergerak ke hadapan.
Terbaharu, Aliff kini melangkah ke pentas teater menerusi watak Sultan Mansur Shah dalam teater muzikal Mansur & Liu terbitan Icon Entertainment yang bakal dipentaskan di Istana Budaya dari 10 hingga 20 September depan.
M. Nasir menjelaskan yang Aliff dipilih kerana berjaya memenuhi kriteria yang diperlukan, termasuk kemampuan menyanyi dan berlakon dalam masa yang sama.
Pemilihannya membuktikan Aliff bukan sekadar memiliki populariti, tetapi juga bakat yang diiktiraf oleh figura besar dalam industri seni tanah air.
Hakikatnya, perjalanan Aliff di Malaysia menggambarkan bagaimana industri hiburan tempatan sentiasa terbuka menerima bakat dari negara jiran.
Bakat Tidak Mengenal Sempadan
Kejayaan lima pelakon ini membuktikan bahawa dunia hiburan tidak mengenal sempadan geografi.
Walaupun dilahirkan di Singapura, mereka berjaya membina kerjaya, mencipta fenomena dan meninggalkan impak besar dalam industri hiburan Malaysia.
Daripada Aaron Aziz yang pernah mendominasi pawagam tempatan sehinggalah Aliff Aziz yang kini melangkah ke pentas teater, ia mencerminkan satu perkara jelas: Malaysia sentiasa menjadi pentas penting buat bakat-bakat Singapura yang mahu mencipta nama lebih besar.
Kejayaan mereka membuktikan bahawa industri hiburan Malaysia sentiasa terbuka untuk meraikan bakat tanpa mengira sempadan negara. Selagi sesebuah karya mampu meninggalkan kesan dan menyentuh emosi penonton, bakat akan sentiasa menemukan tempatnya di hati masyarakat.






![[VIDEO] Madammu Sebak Anak Menangis Minta Maaf Terlalu Inginkan Adik – ‘Katanya Dia Mahu Baby, Tapi Saya Yang Sakit Lalui Proses Itu’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/madammu1.jpg)

