Hari ini, ketika seluruh negara meraikan Hari Kebangsaan, lagu-lagu patriotik seperti Tanggal 31Keranamu Malaysia dan Saya Anak Malaysia kembali berkumandang, menghidupkan memori yang sudah lama menjadi sebahagian daripada pengalaman bersama rakyat Malaysia.

Namun 69 tahun selepas detik 31 Ogos 1957, ada satu persoalan menarik untuk direnungkan. Selain lagu patriotik, apakah sebenarnya yang boleh kita panggil sebagai ‘bunyi Malaysia’?

Adakah sesebuah lagu perlu mempunyai gamelan, rebana atau sape untuk dianggap mempunyai identiti tempatan? Bagaimana pula dengan riff gitar Search, jazz-pop Sheila Majid, rap Too Phat atau R&B Yuna?

ARTIKEL BERKAITAN: Generasi Bertukar, Rekod Kekal Utuh! 8 Pencapaian Artis Malaysia Yang Belum Ditandingi

ARTIKEL BERKAITAN: Dari KL ke Hollywood: Ini Antara Barisan Artis Malaysia Berjaya Menembusi Produksi Antarabangsa

Sejak Zaman P. Ramlee, Muzik Kita Memang Sudah ‘Bercampur’

Hakikatnya, sejarah muzik popular tempatan menunjukkan Malaysia mungkin tidak pernah mempunyai hanya satu bunyi.

Sebaliknya, muzik kita sentiasa terbentuk daripada pertemuan tradisi, budaya, bahasa dan pengaruh luar yang kemudiannya diolah mengikut acuan sendiri.

Jauh sebelum istilah fusion menjadi kebiasaan, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sudah menghasilkan karya yang mempertemukan pelbagai pengaruh muzik.

Dalam kajian Clare Suet Ching Chan bertajuk P. Ramlee’s Music: An Expression of Local Identity in Malaya During the Mid-Twentieth Century yang diterbitkan dalam Malaysian Music Journalpada 2012, muzik P. Ramlee didapati banyak menggunakan instrumen, tonaliti dan harmoni Barat tetapi dilokalkan melalui corak ritma dan melodi yang dikaitkan dengan masyarakat Melayu, Cina, India dan Arab di Malaya ketika itu.

Malah, kajian tersebut merumuskan bahawa identiti tempatan dalam karya P. Ramlee sendiri sudah bersifat eklektik.

Maksudnya, sejak awal lagi muzik kita tidak semestinya terbentuk dengan menolak apa yang datang dari luar.

Sebaliknya, kita mengambil pelbagai pengaruh dan menjadikannya milik sendiri. Perkara sama dapat dilihat menerusi Allahyarham Datuk Sudirman dan Alleycats.

Kajian Adil Johan bertajuk Intercultural Intimacy: Malaysian Popular Music As An Expression of Social Cohesion (1970s and 1980s) yang diterbitkan dalam jurnal Jebat pada 2020 menggunakan kedua-dua nama itu untuk melihat bagaimana muzik popular mampu menjadi ruang hubungan masyarakat merentas etnik, agama dan kelas sosial.

Sudirman digambarkan sebagai ikon pop Melayu yang diterima merentas budaya, manakala Alleycats pula merupakan kumpulan pemuzik bukan Melayu yang mempunyai khalayak luas dalam masyarakat Malaysia.

Mungkin di situlah muncul satu lagi definisi ‘bunyi Malaysia’ iaitu muzik yang akhirnya menjadi milik bersama.

Bila Muzik Global Menjadi Muzik Kita

Masuk era 1980-an dan 1990-an, muzik Malaysia semakin sukar diletakkan dalam satu kotak.

Datuk Seri Sheila Majid membawa jazz, pop dan R&B dalam karya berbahasa Melayu sehingga menghasilkan identiti tersendiri.

Dalam temu bual profil khas Tatler Malaysia, Sheila sendiri mengakui muziknya pada awal kerjaya sukar dikategorikan. Ia bukan pop Melayu atau rock, tetapi bukan juga jazz sepenuhnya. Sheila sebaliknya melihat dirinya sebagai penyanyi pop dengan pengaruh R&B dan jazz.

Kumpulan Search pula membawa cerita berbeza. Kajian Adil Johan, Crossing Borders and Crossing the Line: Nusantara Mobilities of Search and the Malay Rock Phenomenon (1980s and 1990s) yang diterbitkan pada 2023 melihat bagaimana kumpulan itu membawa ‘jenama’ hard rock Malaysia merentasi Nusantara pada penghujung 1980-an.

Rock mungkin bukan berasal dari Malaysia, tetapi apabila Isabella menjadi fenomena, ia sudah mempunyai identiti dan sejarah tersendiri dalam budaya pop negara.

Kemudian muncul Zainal Abidin dengan Hijau pada 1991. Dalam artikel The Star bertajuk Hijau: The Song That Changed The Malaysian Music Industry pada 18 Ogos 2016, kemunculan lagu itu disifatkan sebagai satu watershed moment dalam industri muzik tempatan ketika rock dan balada begitu dominan.

Pendekatan world music yang dibawanya membuka satu lagi kemungkinan tentang bagaimana muzik Malaysia boleh berbunyi.

Identiti Bukan Hanya Datang Daripada Instrumen

Datuk M. Nasir pula membawa identiti tersebut melalui bahasa, pemikiran dan falsafah. Kajian Hairul Anuar Harun dan Mohd Azam Sulong bertajuk Akal Budi Melayu dalam Karya M. Nasir yang diterbitkan dalam Jurnal Peradaban Melayu pada 31 Disember 2023 menganalisis lapan karya ciptaan penuh M. Nasir daripada album Canggung Mendonan dan Phoenix Bangkit.

Dapatan kajian menemukan bagaimana M. Nasir menggabungkan unsur falsafah bangsa dan alam serta perspektif akal budi Melayu dalam penghasilan karyanya.

Ia menunjukkan bahawa identiti muzik tidak semestinya datang daripada bunyi kompang, seruling atau rebana. Kadang-kadang, ia hadir melalui bahasa, cerita dan cara seseorang melihat dunia.

Dalam laporan khas Tatler MalaysiaRhythm of a Nation: The Trailblazers Who Revolutionised Malaysian Music, M. Nasir turut menekankan soal keaslian agar artis tempatan diraikan kerana kreativiti sendiri dan bukannya sekadar kemampuan meniru trend Barat.

Zainal Abidin dalam laporan sama pula membawa idea “modernisation, not westernisation”, dengan budaya, bahasa dan gaya Malaysia terus dibawa bersama ketika muzik tempatan bergerak menuju pasaran global.

Bila Tradisi Menjadi Budaya Pop

Kemunculan Irama Malaysia dan muzik etnik kreatif kemudian membuktikan bahawa tradisi juga boleh hidup dalam industri komersial.

Noraniza Idris membawa elemen muzik tradisional kepada khalayak arus perdana menerusi karya seperti Dikir Puteri, manakala Datuk Seri Siti Nurhaliza mencetuskan fenomena melalui Cindai.

Album Cindai dilancarkan pada 17 November 1997 dan menjadi percubaan pertama Siti menghasilkan album berentak Irama Malaysia. Single Cindai yang dimuatkan dalam album itu kemudian memenangi Juara Kategori Irama Malaysia serta Anugerak Juara Lagu pada 1998.

Pada ketika itu, muzik berakar tradisional tidak hanya muncul ketika festival kebudayaan atau acara rasmi. Ia bermain di radio, berada di pentas muzik terbesar dan dinyanyikan masyarakat umum. Budaya bukan sekadar dipelihara. Ia menjadi budaya pop.

Usaha menghubungkan generasi lama dan baharu terus berlaku apabila Noraniza bergandingan dengan rapper Bunga menerusi Intan Payung pada 2021. Noraniza ketika itu turut melihat kolaborasi tersebut sebagai peluang untuk mendekatkan Irama Malaysia kepada generasi muda.

Hip Hop Pun Akhirnya Bercakap Dalam Bahasa Kita

Jika ada satu genre yang membuktikan muzik luar boleh diberikan identiti tempatan, hip hop mungkin contoh paling jelas.

Dalam laporan khas Malay Mail bertajuk From Underground to Mainstream Dominance: Charting 35 Years of Malaysian Hip-Hop pada 11 Julai 2024, sejarah rap tempatan dijejaki daripada Krash Kozz yang memperkenalkan Pump It Up pada 1989 sebelum kemunculan Too Phat pada 1999 mengubah kedudukan hip hop dalam arus perdana Malaysia.

Sejak itu, rap tempatan berkembang dalam pelbagai bahasa dan melahirkan generasi pengkarya yang membawa pengalaman serta identiti masyarakat Malaysia sendiri.

Genre yang lahir ribuan kilometer dari negara ini akhirnya belajar bercakap dalam bahasa kita.

Dan bukankah itu juga sebahagian daripada identiti Malaysia?

Malaysia Bukan Hanya Semenanjung

Dalam mencari ‘bunyi Malaysia’, satu perkara juga tidak boleh dilupakan. Malaysia jauh lebih besar daripada muzik Melayu arus perdana.

Bahasa, instrumen dan tradisi masyarakat Sabah dan Sarawak turut membentuk sebahagian daripada identiti muzik negara.

Alena Murang menjadi antara contoh bagaimana warisan boleh dibawa ke pentas kontemporari tanpa kehilangan akarnya.

Dalam temu bual eksklusif bersama The Star pada 16 April 2021, Alena yang menghasilkan muzik dalam bahasa Kelabit dan Kenyah serta memainkan sape menjelaskan bahawa seni tradisional bukan sahaja perlu dipelihara sebagai sejarah, tetapi turut perlu terus hidup dengan menyesuaikan diri kepada zaman semasa.

Dia juga menegaskan muzik genre sedemikian tidak seharusnya hanya dicari ketika Gawai, Kaamatan, Hari Malaysia atau untuk kempen pelancongan.

“We need to be defined as music itself, as art itself,” katanya. Mudahnya, genre muzik unik itu bukan muzik Malaysia hanya ketika musim perayaan. Ia muzik Malaysia sepanjang tahun.

Jadi, Perlukah Muzik Malaysia Kedengaran ‘Malaysia’?

Kemudian kita sampai kepada generasi artis seperti Yuna. Muziknya bergerak dalam ruang pop, R&B dan soul antarabangsa tanpa perlu sentiasa menampilkan instrumen tradisional. Namun identiti Malaysia tetap menjadi sebahagian daripada cerita yang dibawa.

Dalam temu bual bersama portal muzik serantau Bandwagon pada 18 Ogos 2023 bertajuk Yuna on Taking Control, Being Her Authentic Self, and Pushing Malaysian Music to the Global Scene, Yuna mengakui identitinya sebagai anak Asia Tenggara menjadi antara kekuatan yang membawanya sejauh itu.

“My identity as a Southeast Asian brought me this far,” katanya. Yuna turut menjelaskan bahawa dia tidak pernah menyembunyikan hakikat dirinya berasal dari Malaysia apabila bekerjasama dengan penggiat muzik antarabangsa.

Di sinilah persoalan mengenai ‘bunyi Malaysia’ menjadi semakin menarik. Kalau sebuah lagu menggunakan produksi R&B Barat, dinyanyikan dalam Bahasa Melayu bercampur Inggeris dan dihasilkan oleh anak Malaysia, adakah ia kurang tempatan? Mungkin jawapannya tidak.

Pada Hari Kebangsaan ini, selepas 69 tahun perjalanan sejak 31 Ogos 1957, mungkin kita juga boleh menerima bahawa identiti muzik Malaysia tidak perlu dipaksa mempunyai satu formula.

Kadang-kadang bunyi Malaysia datang melalui sape dan rebana. Kadang-kadang ia hadir melalui gitar distorsi, jazz, rap, pop atau R&B. Apa yang menjadikannya Malaysia bukan semata-mata instrumen yang digunakan atau genre yang dipilih.

Sebaliknya, ia adalah cara kita mengambil pelbagai pengaruh, mencampurkannya dengan bahasa, budaya dan pengalaman sendiri sebelum menghasilkan sesuatu yang akhirnya terasa dekat dengan kita. Kerana seperti Malaysia sendiri, muzik kita tidak pernah terdiri daripada satu suara.

Selepas 69 tahun merdeka, mungkin sudah tiba masanya kita menerima kepelbagaian itulah yang menjadikan muzik kita benar-benar Malaysia.