Pengarah filem Chelot iaitu Adrian Teh mendedahkan karya terbaharunya itu menelan kos pembikinan sekitar RM10 juta.

Artikel Berkaitan: Safwan Nazri Shooting Malbatt: Misi Bakara Di Turkiye, Isteri Maklum Keguguran 4 Bulan

Kos & cabaran

Menurut Adrian, 41, meskipun kos pembikinan Chelot lebih rendah berbanding filem terdahulunya iaitu Magik Rompak, namun dia percaya naskhah berkenaan mempunyai potensi besar untuk mendapat sambutan.

Kos filem Chelot lebih rendah berbanding filem Magik Rompak. Jika saya boleh kongsikan, sekitar RM10 juta jumlah kos yang ditelan untuk filem ini.

Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan bisnes saya yang masih percaya dengan saya walaupun projek terakhir kami tidak capai seperti mana yang dijangkakan.

Projek Chelot ini bukan sebuah projek yang kecil dan rakan bisnes saya masih mempercayai saya.

Adrian berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Chelot yang berlangsung di GSC IOI Putrajaya, Selasa lalu.

Berkongsi mengenai cabaran menghasilkan filem begrenre aksi thriller itu, Adrian mengakui setiap produksi mempunyai kesukaran tersendiri, namun perkara itu menjadi sebahagian proses menghasilkan karya yang lebih baik.

Malah, dia juga harus memastikan kualiti Chelot mampu menandingi dua karya bergenre aksi arahannya sebelum ini iaitu Malbatt: Misi Bakara dan Paskal.

Setiap produksi pasti mempunyai cabaran masing-masing, begitu juga dengan Chelot. Jika tiada cabaran, ia akan membuatkan saya begitu mudah untuk menyiapkan naskhah ini.

Cabaran terbesar saya adalah bagaimana mahu menjadikan filem Chelot lebih besar dan berjaya daripada Malbatt: Misi Bakara dan Paskal.

Tiga filem ini mempunyai genre yang sama iaitu aksi. Apabila saya sudah lihat hala tuju dan mengesan langkah yang tepat untuk menjadikan Chelot lebih baik, semuanya dipermudahkan.

Tanpa semua barisan pelakon dan kru filem ini, saya bukan sesiapa. Semua memberi kerjasama yang bagus sepanjang 51 hari proses penggambaran.

Filem Chelot bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 27 Ogos ini dan membariskan pelakon seperti Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar, Alicia Amin serta ramai lagi.