
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui persiapan menjelang pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026 memberi tekanan kepadanya, terutama apabila perlu menyiapkan karya baharu dalam tempoh yang agak singkat.
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Bakal Wakili Malaysia Ke Eurovision Song Contest Asia 14 November Ini
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Ke Eurovision Asia, Ini 7 Perkara Yang Bakal Jadi Cabaran Terbesarnya
Persiapan ke Eurovision

Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, berkata, dia kini dalam proses menghasilkan lagu sepenuhnya dalam bahasa Inggeris yang bakal dipersembahkan pada pertandingan berkenaan di Thailand, November depan.
Saya ambil keputusan menghasilkan sepenuhnya lagu dalam bahasa Inggeris, cuma air lagu itu masih dalam perbincangan dengan Mac Chew.
Saya berharap peminat di luar sana akan doakan dan memberi semangat yang positif untuk saya. Sekiranya doa kalian makbul, saya dikurniakan satu idea yang seronok.
Persiapan menjelang Eurovision sangat memberi tekanan, agak susah untuk saya kerana mahu mengejar masa yang telah ditetapkan.
Bulan November bakal bertanding, jadi saya perlu fikir untuk siapkan lagu baharu, konsep persembahan juga perlu diambil kira.
Kalau pentas AJL, saya mempersembahkan lagu yang sedia ada. Tetapi Eurovision ini segalanya perlu dirancang dari awal.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis kesyukuran sempena kejayaan di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang berlangsung di Cyberjaya, baru-baru ini.
Menurut pelantun lagu Kamu itu, dia mahu memastikan lagu yang dipersembahkan benar-benar dekat dengan dirinya.
Saya seorang yang apabila menyanyi, lagu itu mesti daripada hati saya. Kerana saya adalah individu yang perlu sampaikan cerita tentang lagu tersebut, jadinya lagu itu perlu lahir daripada saya.
Alhamdulillah, saya ada pasukan yang sangat membantu dan lagu tersebut akan dibantu oleh Mac Chew. Sebab saya mahu membawa semangatnya juga.
Lagu tersebut masih lagi dalam proses, saya telah mengubah air lagu itu banyak kali sebenarnya. Sebab saya rasa ada yang kurang dan perlu diperbaiki.
Saya anggap pertandingan Eurovision ini macam Sukan Olimpik untuk penyanyi. Saya perlu hasilkan lagu itu sebaiknya, saya beranggapan ramai yang menanti untuk dengarkan lagu ini.
Eurovision Song Contest Asia 2026 bakal berlangsung pada Sabtu, 14 November 2026, jam 9 malam di Thailand dan akan menghimpunkan penyanyi dari seluruh Asia.
Pertandingan berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta platform penstriman Tonton.








