Penyanyi dan komposer, Aina Abdul menyambut baik hasrat komposer berpengalaman, Dr Azmeer yang menyatakan hasrat untuk bekerjasama dan menghasilkan karya buatnya.

Artikel Berkaitan: Reaksi Aina Abdul Dipuji Sorot Perhatian, Sempat Berseloroh – ‘Jangan Fikir Saya Tidak Baca’

Artikel Berkaitan: AJL40: Aina Abdul Janji Kelainan, Sedang ‘Prep’ Vokal & Tak Fikir Soal Menang – ‘Saingan Tahun Ini Kuat’

Kerjasama dengan Azmeer

Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkata dia sememangnya terbuka untuk menerima tawaran daripada figura yang cukup dikaguminya itu.

Saya ada lihat podcast Dr Azmeer itu dan saya pernah berjumpa dengannya pada tahun lalu. Kalau tanya saya, jika Dr Azmeer mahu berikan lagu, saya menerima dengan hati terbuka.

Siapa yang tidak mahu karya daripada seorang komposer hebat seperti Dr Azmeer. Karyanya yang paling saya minat adalah Purnama Merindu (Siti Nurhaliza) dan Menadah Gerimis (Ziana Zain).

Saya ada berniat untuk menghubungi Dr Azmeer, cumanya belum ada waktu yang tepat. Kerana dia sedang sibuk mengajar. Kalau ada rezeki dan jodoh, pasti kami akan bertemu semula.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada acara Meet & Greet AJL40 yang berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Mengulas mengenai perasaannya selepas namanya dipetik oleh Azmeer sebagai antara penyanyi yang ingin bekerjasama dengannya, pelantun lagu KAMU itu mengakui berasa amat teruja.

Dia idola. Saya hasilkan lagu dan dapatkan ilham daripada lagu-lagu hebat ciptaannya. Sukar untuk gambarkan perasaan itu. Dulu waktu kecil, saya dengar lagu dia, bila sudah dewasa, Allah berikan lagi nikmat dan rahmat lain.

Terdahulu, Azmeer menerusi sebuah podcast menyebut nama Aina, Ernie Zakri, Syamel dan beberapa penyanyi lain sebagai antara artis yang diingininya untuk bekerjasama sekiranya diberi peluang.