Penyanyi, Aisha Retno menjelaskan tangisannya ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40 bukanlah kerana kesedihan sebaliknya rasa lega selepas berjaya mengharungi persembahan yang cukup mencabar buat dirinya pada malam itu.

Artikel Berkaitan: Ramalan Neelofa Kembali! Pilih Aina Abdul, Aisha Retno & K.O.I Ungguli AJL40

Artikel Berkaitan: Ditegur Kurang Profesional, Aisha Retno Respon – ‘Saya Tahu Bila Masa Untuk Jadi Silly Kacip & Bila Kena Serius’

Sebab menangis

Ketika ditemui OhBulan!, Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata air matanya itu turut menitis apabila mengenangkan perjalanan seni yang dilaluinya bersama adiknya, Radi.

Sebenarnya itu adalah tangisan kelegaan. Mungkin ada orang yang ada buat pelbagai andaian.

Penjelasannya ialah kerana piece ini sebenarnya sangat berat.

Saya bawa bersama penari, props, band dan adik bersama saya. Saya melihat adik saya menangis buatkan saya teringat bagaimana kami membesar bersama-sama dan tak pernah terfikir kami akan berdiri di atas pentas AJL.

Saya buat semua ini untuk adik saya.

Aisha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media AJL40 yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Sabtu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jadualnya yang padat sehingga tidak mempunyai waktu rehat, Aisha yang juga dinobatkan sebagai Naib Juara AJL40 itu menyifatkan kesibukan dalam kerjaya seni sebagai satu tanggungjawab yang perlu digalas sebaiknya.

Menurut Aisha, minat dan kecintaannya terhadap dunia seni menjadi pendorong untuk terus bekerja keras demi membahagiakan insan tersayang.

Penat itu lumrah. Kadang-kadang penat fizikal dan mental. Tetapi sebagai anak seni yang ada semangat dan minat yang tinggi dalam menyanyi, tiada istilah kata penat.

Saya berada di umur yang Tuhan beri saya daya upaya. Jadi, saya ingin galas tanggungjawab ini. Saya nak buat keluarga dan kumpulan saya gembira.

Saya ingin membalas jasa mereka. Saya sudah sejauh ini tak akan nak sia-siakan waktu. Selagi ada rezeki, kita teruskan sahaja.