
Empat dekad selepas Anugerah Juara Lagu diperkenalkan, satu perkara tentang pertandingan muzik paling berprestij di Malaysia itu masih tidak berubah. Apa yang dicari tetap sebuah lagu terbaik.
Namun, kalau diperhatikan senarai finalis Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), ada satu perkembangan yang tidak boleh diabaikan.
Daripada 10 lagu yang akan bertanding pada 15 Ogos nanti, lapan menampilkan penyanyi yang turut mempunyai kredit dalam penciptaan atau penulisan karya yang mereka sendiri persembahkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Antara Algoritma & Nilai Seni, Kenapa Lagu Viral Belum Tentu Terbaik Di AJL?
ARTIKEL BERKAITAN: Bukan AJL Yang Hilang Relevan, Mungkin Cara Kita Menikmati Muzik Yang Sudah Berubah
Lagu Dapat Sentuhan Penyanyi
Ryenald Guntabid mencipta dan menulis sendiri Lumangad Oku Dika. Aina Abdul melakukan perkara sama menerusi Kamu, sementara Aisha Retno menjadi komposer bersama Radi serta menulis lirik Tak Adil.
Amir Masdi pula berkongsi kredit komposer dan penulis lirik Nurcinta bersama Edry Abdul Halim. Marsha Milan merupakan komposer Tangisan Seorang Pendosa, manakala Hazama bukan sahaja menulis lirik lagu tersebut, tetapi turut menjadi salah seorang komposer Semacam Pandora yang dinyanyikannya sendiri.
Kmy Kmo dan Luca Sickta pula menjadi komposer Ke Mana Ni selain menulis lirik bersama Salam daripada Salammusik.
Satu lagi yang tidak seharusnya terlepas daripada perhatian ialah K.O.I. Walaupun kredit Tiwikarma memaparkan beberapa nama, sebahagian besar individu di belakang lagu tersebut sebenarnya datang daripada kumpulan itu sendiri. Hemo Globin menjadi komposer bersama Zai Hamzah, sementara anggota K.O.I iaitu Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky dan Mya Nana terlibat dalam penulisan lirik bersama Sapik Sam.
Ini meninggalkan hanya Lemah nyanyian Dayang Nurfaizah dan Cak Cak Cekuk oleh Wani Kayrie sebagai dua karya final AJL40 yang penyanyinya tidak disenaraikan dalam kredit penciptaan atau penulisan lagu.
Angka lapan daripada 10 itu menarik. Namun, adakah ini bermakna kita sedang menyaksikan satu generasi baharu yang akhirnya mahu menulis lagu sendiri? Tidak juga. Sebenarnya, mereka sedang menyambung satu tradisi yang sudah lama hidup di pentas AJL.
M. Nasir Sudah Melakukannya Lebih 30 Tahun Lalu
Jauh sebelum istilah singer-songwriter menjadi begitu sinonim dengan pembinaan identiti artis hari ini, AJL sudah mempunyai pemenang yang berada di kedua-dua sisi sebuah karya.

Pada 1994, Datuk M. Nasir mencipta sejarah menerusi Tanya Sama Itu Hud Hud apabila menjadi pemenang pertama AJL yang mencipta lagu, menulis lirik dan menyanyikan sendiri karya yang dinobatkan sebagai Juara Lagu. Tujuh tahun kemudian, Yasin Sulaiman melakukan perkara sama menerusi Mimpi Laila pada AJL16.
Kemenangan Itu Kamu oleh Estranged pada 2007 turut mempunyai penglibatan vokalisnya, Richael Lawrence Gimbang atau Rich sebagai antara pencipta serta penulis lirik. Setahun kemudian, Lagu Untukmu oleh Meet Uncle Hussain pula mempunyai penglibatan Taja sebagai antara pencipta dan penulisnya, meskipun Taja bukan vokalis utama kumpulan tersebut.

Kemudian hadir Ana Raffali. Kemenangan Tolong Ingatkan Aku pada AJL25 menjadi satu lagi detik penting kerana Ana bukan sahaja menyampaikan lagu itu, malah menjadi komposer dan penulis liriknya. Rekod AJL turut menyatakan Ana sebagai pencipta lagu wanita pertama memenangi anugerah keseluruhan.
Yuna menyusul menerusi Terukir Di Bintang pada AJL27. Lagu tersebut sepenuhnya mempunyai kredit komposer dan lirik Yuna, cuma sejarahnya sedikit berbeza kerana Aizat Amdan menggantikan Yuna sebagai penyanyi pada malam final selepas penyanyi asal itu mempunyai komitmen di Amerika Syarikat.
Dalam era lebih terkini, Aina Abdul mengangkat Terus Hidup, ciptaan dan tulisannya sendiri, sebagai Juara AJL37 sebelum Amir Jahari melakukan perkara sama setahun kemudian menerusi Hasrat di AJL38.
Maknanya, penyanyi mencipta lagu sendiri bukan revolusi baharu AJL. Apa yang menarik pada AJL40 ialah jumlah mereka yang mendominasi.
Kajian tentang penulisan lagu menunjukkan bahawa proses mencipta lagu sering menjadi ruang untuk artis menterjemahkan pengalaman, emosi dan identiti mereka sendiri ke dalam sesebuah karya.
Menurut kajian Popular Song and the Poetics of Experience oleh Ryan Cole pada 2021 menjelaskan bahawa penulisan lagu boleh bersifat autobiografi iaitu pengalaman hidup seseorang boleh mempengaruhi cara sesuatu cerita dibentuk melalui lirik.
Kajian lain oleh Jan-Peter Herbst dan rakan-rakan dalam The Benefits of Collaborative Popular Music Songwriting: A Spectrum of Artist-Songwriter Involvement pada tahun 2024 pula mendapati keinginan untuk mengekspresikan emosi secara jujur dan autentik menjadi antara sebab utama artis memilih untuk terlibat dalam proses penciptaan lagu.
Daripada Pengecualian Kepada Sesuatu Yang Semakin Normal
Pada suatu ketika, apabila penyanyi memberitahu bahawa dia menulis dan mencipta sendiri lagunya, fakta itu sering menjadi sebahagian daripada cerita menarik di sebalik sesebuah karya.
Hari ini, ia semakin menjadi sesuatu yang biasa. Artis generasi sekarang bukan sahaja mahu memiliki suara yang mudah dikenali. Mereka mahu mempunyai identiti muzik yang boleh dikaitkan terus dengan diri mereka.
Aina Abdul bukan hanya mahu orang mengenali cara dia menyanyi. Pendengar juga sudah mula memahami bahasa muzik, struktur melodi dan cara dia menulis emosi menerusi karya-karyanya.

Ryenald pula membawa sesuatu yang lebih peribadi menerusi Lumangad Oku Dika, bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi pencipta keseluruhan karya itu. Begitu juga Aisha Retno, Amir Masdi serta Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Apabila artis berada dalam bilik ketika sebuah lagu masih berupa idea, hubungan mereka dengan karya itu tentunya berbeza. Mereka bukan sekadar menerima sebuah melodi kemudian mencari cara terbaik untuk menginterpretasikannya.
Mereka tahu kenapa perkataan tertentu dipilih. Mereka tahu kenapa melodi bergerak ke arah tertentu. Mereka tahu cerita yang mahu disampaikan sejak karya itu belum mempunyai bentuk sempurna.
Menulis Lagu Sendiri Tidak Menjadikan Seseorang Lebih Hebat
Di sinilah perbincangan tentang singer-songwriter perlu dibuat dengan berhati-hati. Keterlibatan dalam penciptaan tidak secara automatik menjadikan seseorang penyanyi lebih bagus daripada artis yang menyanyikan lagu ciptaan orang lain.
Malah, sejarah AJL sendiri membuktikan perkara itu. Menaruh Harapan, Jerat Percintaan, Cindai, Gemilang, Awan Nano, Lelaki Teragung dan Hening Rindu merupakan antara lagu yang pernah menjadi juara dengan penyanyi dan penciptanya datang daripada individu berbeza.
Seni menyampaikan lagu orang lain juga merupakan satu kemahiran. Seorang penyanyi yang hebat mampu mengambil pengalaman yang tidak pernah dilaluinya, kemudian menyampaikannya sehingga jutaan pendengar percaya setiap perkataan itu datang daripada dirinya sendiri.
Dayang Nurfaizah menjadi contoh menarik di AJL40. Dia tidak mencipta atau menulis Lemah. Kredit tersebut dimiliki Hael Husaini. Tetapi apabila lagu itu sampai kepada Dayang, tugasnya adalah memberikan karakter, emosi dan interpretasi yang akhirnya menjadikan Lemah sebuah lagu Dayang Nurfaizah di telinga pendengar.

Itulah juga keindahan hubungan antara komposer dan penyanyi yang sudah menjadi asas industri muzik sejak sekian lama. Jadi, persoalannya bukan mana lebih bagus, penyanyi yang menulis lagu sendiri atau penyanyi yang menyanyikan karya orang lain?
Kedua-duanya mempunyai nilai. Apa yang berubah ialah artis kini mempunyai lebih banyak pilihan tentang sejauh mana mereka mahu mengawal cerita sendiri.
AJL40 Memperlihatkan Artis Yang Mahu Memiliki Keseluruhan Identiti Mereka
Mungkin itu sebenarnya perkara paling menarik tentang lapan daripada 10 finalis AJL40 ini. Bukan kerana mereka mencipta sesuatu yang tidak pernah dilakukan generasi terdahulu.
M. Nasir sudah melakukannya pada 1994. Yasin, Ana Raffali, Yuna, Aina Abdul dan Amir Jahari turut meninggalkan jejak masing-masing selepas itu.
Tetapi apabila majoriti besar finalis dalam satu edisi mempunyai penglibatan kreatif terhadap lagu yang mereka sendiri bawakan, ia memberikan gambaran tentang bagaimana definisi seorang penyanyi semakin berkembang.

Artis hari ini tidak semestinya mahu menunggu lagu yang sesuai datang kepada mereka. Ada yang mahu mencarinya. Ada yang mahu membinanya. Dan semakin ramai mahu mencipta sendiri dunia muzik yang mereka mahu pendengar kenali.
AJL sejak awal merupakan pertandingan yang mengangkat karya, dengan penghormatan utama diberikan kepada komposer dan penulis lirik, bukannya semata-mata kepada individu yang berdiri di atas pentas menyanyikannya.
Namun, apabila pencipta, penulis dan penyanyi semakin kerap merupakan individu yang sama, sempadan itu menjadi semakin menarik.
Pada 15 Ogos nanti, kita masih akan melihat 10 lagu bersaing untuk satu gelaran Juara Lagu. Tetapi bagi majoriti finalis AJL40, mereka tidak sekadar membawa sebuah lagu ke atas pentas.
Mereka membawa karya yang turut mempunyai sebahagian daripada tulisan, melodi dan identiti mereka sendiri. Dan mungkin selepas 40 edisi, itulah salah satu perubahan paling jelas yang sedang diperlihatkan oleh pentas AJL hari ini.








![[VIDEO] Netizen Puji MUA Bellaz Hadiahkan Smiggle Untuk Rakan Sekelas Anak – ‘Dia Tahu Bukan Semua Ibu Bapa Mampu’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/bellaz2.jpg)