Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa gembira apabila berpeluang kembali ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) menerusi segmen pembukaan bersama anak saudaranya, Umairah.

Artikel Berkaitan: K.O.I Dinobat Juara, Ini Senarai Penuh Pemenang AJL40

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pertemuan Dengan Stranger Ubah Pemikiran Aina Abdul, Tak Kisah All Out Untuk ‘Kamu’ Di AJL40

Kembali ke pentas AJL

Menerusi hantaran di Instagram, Siti, 47, berkata kemunculannya pada malam kemuncak AJL40 menjadi tanda penghargaan buat TV3 yang banyak mencipta kenangan manis sepanjang penglibatannya dalam pertandingan berkenaan.

Enam tahun lalu, saya muncul seketika di pentas Anugerah Juara Lagu untuk memberi sokongan kepada Bob Yusof yang menggalas tugas menyampaikan lagu saya, Anta Permana.

Sabtu lalu, saya kembali ke pentas AJL40 dalam segmen pembukaan bagi menzahirkan ucapan terima kasih kepada TV3 yang banyak memberikan kenangan buat saya di pertandingan ini.

Saya merancang, Allah menentukan kerana sepatutnya saya berada di luar Malaysia dan tempat saya dipinta oleh TV3 untuk Umairah mengambil alih. Namun, apabila percutian saya diawalkan, TV3 mohon untuk saya muncul juga bagi persembahan semalam.

Sekali lagi saya yakin perancangan Allah kerana dengan adanya Umairah, dia dapat membantu saya malam tadi kerana saya tidak sihat, demam dan suara terganggu.

Dalam masa sama, pelantun lagu Cindai itu turut menyifatkan Umairah sebagai penerus legasinya yang diharapkan dapat menimba pengalaman berharga menerusi kemunculannya di pentas AJL40.

Umairah adalah legasi saya, dia menggayakan baju Cindai seperti saya bertanding lagu ini pada AJL tahun 1999. Saya berharap agar dia juga dapat menimba pengalaman terbaiknya.

Siti turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan tahniah kepada semua finalis dan pemenang AJL40 yang telah memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak anugerah berkenaan.

Tahniah kepada semua yang berjaya di AJL40 dan tentunya saya percaya setiap artis, komposer, penulis lirik dan semua di belakang tabir telah berusaha memberikan yang terbaik. Semuanya adalah untuk industri muzik tanah air.

Sumber: Instagram