Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkongsi kisah perjalanan hidupnya daripada seorang anak kampung yang dibesarkan dalam keluarga sederhana di FELDA Sungai Behrang, Muallim, Perak sehingga mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan profesional.

Artikel Berkaitan: Ratusan Belia Meriahkan Program Dakwah Piala Dunia, Tengok Bola Di Masjid Siap Qiyamulail & Solat Subuh Berjemaah

Dr Zulkifli Hasan anak kampung

Menurut beliau, pencapaian yang diraih hari ini tidak hadir dengan mudah, sebaliknya terbina hasil didikan ibu bapa, tunjuk ajar guru serta kesungguhan dalam menuntut ilmu.

Beliau menceritakan, Allahyarham bapanya bersama ibunya membesarkan keluarga dengan bekerja sebagai penoreh getah selain membantu mengajar anak-anak FELDA membaca al-Quran.

Saya hanyalah anak kampung. Saya bukanlah siapa-siapa dan tidak pernah mengejar populariti.

Apa yang saya ada hari ini ialah hasil didikan kedua-dua ibu bapa, sokongan keluarga serta bimbingan guru-guru yang sentiasa mengajar saya supaya terus merendah diri dan tidak berhenti belajar.

Dalam bidang akademik, perjalanan Dr. Zulkifli merangkumi pengajian Undang-Undang dan Syariah sebelum melanjutkan pengajian di peringkat sarjana serta Ijazah Kedoktoran (Ph.D.) dalam Kewangan Islam di United Kingdom.

Beliau turut mempunyai pengalaman dalam bidang profesional termasuk pernah berkhidmat sebagai peguam, penasihat undang-undang, pensyarah dan penasihat syariah kepada institusi kewangan.

Malah, pengalaman kerjayanya turut membawanya ke Dubai International Financial Centre, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Fordham Law School di New York, Amerika Syarikat.

Tidak terhad kepada bidang akademik dan kewangan Islam, Dr. Zulkifli juga pernah mewakili Malaysia dalam program Young Intellectual Exchange di Jepun dan menerima Biasiswa Fulbright di Amerika Syarikat.

Selain pernah memegang jawatan Profesor, Dekan dan Timbalan Rektor di universiti, beliau turut aktif dalam misi kemanusiaan di dalam dan luar negara termasuk ke Gaza, Syria, Turkiye dan Indonesia.

Dalam bidang penulisan pula, beliau telah menghasilkan lebih 30 buku dan bab dalam buku dalam bahasa Melayu serta Inggeris, selain menerbitkan ratusan artikel ilmiah. Antara pencapaiannya termasuk sebuah buku yang diterbitkan oleh Edinburgh University Press.

Ilmu perlu dikongsi

Bagi Dr. Zulkifli, pengalaman luas dalam akademik, kewangan Islam dan kerja kemanusiaan menjadi ruang untuknya memahami bahawa ilmu seharusnya dimanfaatkan demi kepentingan masyarakat.

Segala pengalaman dalam bidang akademik, kewangan Islam dan kemanusiaan mengajar saya bahawa ilmu perlu diterjemahkan kepada khidmat untuk masyarakat.

Ilmu yang tidak dimanfaatkan tidak akan membawa makna kepada ummah.

Mengimbas kembali insan yang banyak membentuk dirinya, Dr. Zulkifli turut menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapa, isteri, anak-anak, keluarga serta guru-guru yang mendidiknya sejak di Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang, Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sehingga Durham University di United Kingdom.

Beliau menyifatkan segala pencapaian yang diraih sebagai kurniaan Allah SWT.

Hadza min fadhli Rabbi. Apa juga yang kita capai adalah dengan izin Allah.

Teruslah belajar, teruslah menimba ilmu dan jangan sesekali berhenti memperbaiki diri.