
Pengacara dan pelakon, Awal Ashaari berasa sebak apabila mengenang kembali perjalanan membesarkan anak sulungnya, Lara Alana yang kini sudah berusia 12 tahun.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Awal Ashaari Simpan Baju Anak Dalam Zip Lock, Bau Jadi Penawar Rindu – ‘Itu Lagi Penting Dari Bercakap Di Telefon’
Artikel Berkaitan: ‘Cara Didikan Saya Typical Asian Mom, Beza Dengan Cara Awal’ – Scha Alyahya
Momen bersama Lara

Awal, 44, berkata, Lara merupakan insan yang banyak mengajarnya tentang erti sebenar bergelar seorang bapa selain tidak menafikan melakukan beberapa kesilapan ketika membesarkan anak sulungnya itu.
Dalam membesarkan Lara, saya secara peribadi banyak momen ‘bitter sweet’. Lara yang ajar saya kali pertama jadi bapa, besarkan anak. Saya sendiri mengakui kesilapan yang saya buat dengan Lara sepanjang membesarkannya.
Bila ada anak nombor dua dan usia yang sekarang, saya tidak lakukan kesilapan yang sama. Jika mahu bandingkan anak nombor satu dan dua, perjalanan membesarkan anak nombor dua lebih senang.
Bila saya lihat semula gambar dan video lama, saya macam merenung semula diri saya. Banyaknya perkara yang saya tidak tahu sebagai bapa tapi saya lakukan kepada Lara.
Setiap kali ulang tahun kelahiran Lara atau ada momen saya berdua dengannya, saya akan minta maaf kepada Lara. Saya akan peluk dia kuat-kuat. Macam birthday dia baru-baru ini, kami berpelukan dan menangis.
Awal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumumannya bersama isteri, Scha Alyahya sebagai pengasas bersama platform e-dagang penstriman langsung, JAM yang berlangsung di ibu negara, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Awal berkata keterujaan bergelar bapa buat kali pertama membuatkan dia terlalu ghairah mahu memberikan pelbagai pengalaman kepada Lara sehingga terlepas pandang beberapa perkara.
Mungkin keterujaan pertama kali jadi bapa itu membuatkan saya suruh Lara lakukan semua perkara, masuk kelas itu dan ini, buat aktiviti itu dan ini. Dulu saya banyak ‘try and error’ dengan dia, walhal tidak perlu pun perkara itu.
Bila ada anak kedua, saya tidak suruh pun buat macam-macam, biar dia sendiri lakukan apa dia minat. Itu lah yang saya lihat pada diri saya.
Lara mengajar saya erti menjadi ayah yang waras dan memahami anak. Apabila imbas kembali, waktu kecilnya sangat sibuk diisi dengan aktiviti yang saya suruh.
Harapan untuk Lara

Menurut Awal, pengalaman bersama Lara menjadikannya seorang bapa yang lebih matang dan memahami keperluan setiap anak yang mempunyai personaliti serta minat berbeza.
Ditanya mengenai harapannya terhadap Lara yang kini sedang meningkat remaja, Awal mendoakan anaknya itu sentiasa kuat berdepan cabaran kehidupan.
Lara Alana seorang anak yang sangat lembut hati dan pendiam. Saya ada juga rasa risau dengan dunia hari ini yang penuh cabaran, boleh ke anak sulung saya tempuhi.
Saya harap dia akan terus dilindungi dan berdiri mempertahankan dirinya dalam apa jua keadaan.
Dalam perkembangan lain, Awal dan Scha secara rasmi diumumkan sebagai pengasas bersama (co-founders) platform e-dagang penstriman langsung (live commerce), JAM sekali gus menerajui usaha memperluaskan operasi syarikat ke pasaran pengguna berbahasa Melayu menerusi pelancaran JAM Bahasa.
Penglibatan pasangan selebriti itu bukan sekadar sebagai wajah kempen, malah mereka turut memainkan peranan penting dalam membentuk strategi serta hala tuju syarikat bagi pertumbuhan jangka panjang.
Bagi menyokong perkembangan tersebut, JAM turut membuka studio produksi penstriman langsung eksklusif seluas 6,500 kaki persegi yang dilengkapi 13 bilik produksi, sekali gus memperkukuhkan keupayaannya menawarkan penyelesaian e-dagang penstriman langsung secara menyeluruh kepada jenama dan pencipta kandungan.








