Kehadiran cahaya mata bukan sahaja mengubah rutin harian seseorang wanita, malah membawa bersama pelbagai emosi, cabaran dan pengalaman baharu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Menerusi #BabyXTRA adalah sebuah segmen khas yang membawa pembaca mengenali sisi sebenar selebriti ketika melalui kehidupan sebagai ibu dan bapa. Segmen ini turut mengetengahkan pengalaman kehamilan, proses kelahiran, cabaran menjaga anak serta perubahan yang dialami selepas berkeluarga.

Artikel Berkaitan: Nabila Razali Selamat Timang Cahaya Mata Lelaki Sulung – ‘Allah Kurniakan Amanah Buat Saya & Suami’

Artikel Berkaitan: Anak Muntah Dalam E-Hailing Di Singapura, Nabila Razali Terkejut Dikenakan Caj RM474 – ‘Mahal Juga’

Penat Tetapi Tetap Rasa Seronok

Bagi edisi #BabyXTRA minggu ini, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali berkongsi perjalanannya bergelar ibu kepada anak lelakinya, Nik Muhammad, merupakan satu pengalaman penuh warna.

Meskipun perlu berhadapan dengan kepenatan, proses kelahiran yang mencabar serta tanggungjawab membesarkan anak, Nabila menganggap peranan itu sebagai amanah terbaik yang pernah digalasnya.

Bercerita mengenai pengalaman menjadi seorang ibu, Nabila menyifatkan kehidupan selepas mempunyai anak sebagai satu pengembaraan yang menyeronokkan.

Menurut Nabila, perasaan penat ketika menjaga anak sangat berbeza dengan keletihan selepas bekerja kerana dia masih mahu meluangkan masa bersama Muhammad walaupun tubuh memerlukan rehat.

Menjadi seorang ibu ini sangat ‘adventurous’ sebab macam mana penat pun, tetap rasa seronok. Selalunya kalau penat bekerja, kita mesti nak berehat. Tetapi apabila jadi ibu, kita nak berehat tetapi dalam masa yang sama tak nak berehat.

Kalau boleh, nak bermain dengan anak setiap hari. Waktu anak tidur, kita nak dia bangun. Waktu dia bangun pula, kita nak dia tidur. Memang bercampur-baur perasaan itu.

Biarpun mengakui perjalanan sebagai ibu bukan sesuatu yang mudah, Nabila tetap menikmati setiap proses dan perubahan dalam kehidupannya.

Menjadi ibu bagi saya adalah tanggungjawab terbaik yang pernah saya galas. Ia bukan perjalanan yang mudah, tetapi setakat ini saya sangat menikmatinya.

Hampir ‘Breakdown’ Selepas Tiga Kali Melalui Proses Induksi

Dalam pada itu, Nabila turut membuka cerita mengenai pengalaman melahirkan Muhammad yang disifatkannya agak berat dan mencabar dari segi fizikal serta emosi.

Nabila dimasukkan ke hospital selepas menyedari pergerakan bayi dalam kandungannya semakin berkurangan. Dia kemudiannya menjalani proses induksi sebanyak beberapa kali kerana berharap dapat melahirkan secara normal.

Pengalaman bersalin saya agak berat kerana ada satu momen saya hampir nak ‘breakdown’ disebabkan prosesnya terlalu lama. Saya sudah menjalani induksi beberapa kali tetapi bayi masih belum keluar.

Saya dimasukkan ke hospital sebab bayi sudah kurang bergerak. Alhamdulillah, bayi dalam keadaan baik. Saya memang mahu bersalin secara normal tetapi keadaan tidak mengizinkan. Bukan rezeki saya.

Selepas menunggu selama dua hari dan menjalani proses induksi sebanyak tiga kali, Nabila akhirnya bersalin secara pembedahan caesarean.

Saya menunggu selama dua hari. Selepas tiga kali melalui proses induksi, alhamdulillah Muhammad akhirnya keluar dengan selamat dan sihat.

Tidak Alami Kemurungan Selepas Bersalin

Ditanya sama ada pernah melalui kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression, Nabila bersyukur kerana tidak berhadapan dengan keadaan tersebut.

Bagaimanapun, dia mengakui pernah melalui fasa keletihan ketika masih cuba menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu sebagai seorang ibu.

Alhamdulillah, saya tidak mengalaminya. Mungkin bukan sampai tahap postpartum depression, tetapi lebih kepada seorang ibu yang penat dan masih belajar bagaimana untuk menjadi ibu.

Pagi, petang, siang dan malam kita perlu menjaga amanah yang diberikan kepada kita.

Nabila turut bersyukur kerana Muhammad merupakan seorang bayi yang mudah dijaga. Malah, proses berpantangnya juga menjadi lebih lancar dengan bantuan suami dan penjaga pantang atau confinement lady.

Alhamdulillah, Muhammad seorang bayi yang mudah dijaga, jadi saya sangat gembira. Suami saya juga sangat memahami dan banyak membantu.

Saya turut mempunyai penjaga pantang yang membantu. Semuanya dipermudahkan sepanjang proses berpantang.

Seorang Ibu Tegas, Suami Pula Lebih Lembut

Mengulas mengenai pendekatannya dalam mendidik anak, Nabila mengakui dirinya merupakan seorang ibu yang tegas, terutama apabila Muhammad melakukan sesuatu yang salah.

Pada masa sama, setiap perkara baik yang dilakukan anaknya akan diraikan sebagai salah satu bentuk galakan.

Saya seorang ibu yang tegas. Kalau sesuatu perkara itu salah, saya akan tegur. Kalau dia melakukan perkara yang bagus, kita akan raikan.

Jadi, ada konsep ‘good cop’ dan ‘bad cop’ antara saya dengan suami. Suami saya memang sangat baik dan sangat sayangkan anaknya. Kami berdua berbeza. Saya pula ada dua sisi.

Perkataan Pertama Muhammad Bukan ‘Mummy’ Atau ‘Daddy’

Kini berusia setahun tujuh bulan, Muhammad semakin aktif dan sudah pandai melakukan pelbagai perkara sendiri.

Menurut Nabila, anak lelakinya itu sangat meminati kereta, sama seperti bapanya. Malah, perkataan pertama yang disebut Muhammad bukanlah “mummy” atau “daddy”, sebaliknya “car”.

Sekarang dia sangat suka kereta. Itu memang nombor satu dan sama betul dengan bapanya. Perkataan pertamanya sebenarnya adalah ‘car’.

Dia tidak sebut ‘mummy’ atau ‘daddy’ dahulu. Dia cakap ‘car, car, car’ sambil menunjukkan ke arah kereta.

Antara perkara paling comel mengenai Muhammad adalah apabila dia sudah tahu membuka peti sejuk dan memilih sendiri minuman yang diinginkan.

Dia sudah pandai buka peti sejuk. Jadi, dia boleh ambil sendiri minuman yang dia mahu, cuma perlu minta orang bukakan sahaja. Dia sudah tahu apa yang dia mahu dan apa yang dia tidak mahu.

Dia juga sudah pandai ambil tisu untuk lap hidung. Tetapi dia sebenarnya menggesel hidung menggunakan tangannya, jadi tisu itu langsung tidak kotor. Comel.

Meskipun perjalanan menjadi seorang ibu hadir bersama cabaran dan kepenatan, setiap perkembangan kecil Muhammad menjadi sumber kebahagiaan buat Nabila.

Pengalaman itu turut mengajarnya di sebalik tanggungjawab besar membesarkan seorang anak, tersimpan pelbagai momen sederhana yang cukup bermakna.