
Ada sesuatu yang menarik sedang berlaku dalam muzik Malaysia ketika ini. Ia tidak hadir dengan pengumuman besar bahawa Irama Malaysia sedang membuat kemunculan semula, namun tanda-tandanya semakin jelas.
Lihat sahaja Carta Muzik-Muzik 41 edisi 3 September 2026. Lembayung Tari nyanyian Wany Hasrita berada di tangga pertama, diikuti Kesuma dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza di tempat kedua dan Ahai oleh Siti Nordiana di kedudukan ketiga.
ARTIKEL BERKAITAN: 69 Tahun Merdeka, Apa Yang Membuatkan Sesebuah Lagu Kedengaran ‘Bunyi Malaysia’?
Perkembangan Baik Muzik Tradisi
Minta Ampun nyanyian Shiha Zikir pula berada di tangga kesembilan, manakala sebuah lagi karya Siti, Rencong, menduduki tempat ke-17.
Lima karya yang membawa pengaruh Irama Malaysia, etnik kreatif atau muzik berteraskan tradisi berada dalam kelompok 20 lagu teratas, malah tiga daripadanya menguasai tiga kedudukan tertinggi pada minggu yang sama.
Ia mungkin belum cukup untuk mengatakan selera keseluruhan pendengar Malaysia sudah berubah.
Namun apabila perkembangan itu berlaku serentak dengan album tradisional penuh, konsert berskala stadium, kejayaan lagu raya berentak joget serta semakin ramai penyanyi dan pencipta muda mengolah bunyi warisan, persoalannya menarik untuk direnungkan.
Adakah muzik berakar tradisi sedang menemui semula tempatnya dalam arus perdana?
Tradisional, Irama Malaysia & Etnik Kreatif, Apa Bezanya?
Ketiga-tiga istilah ini berkait rapat tetapi tidak semestinya membawa maksud yang seratus peratus sama.
Secara mudah, muzik tradisional ialah akarnya, merangkumi bentuk yang diwarisi seperti asli, inang, joget, zapin, ghazal, dondang sayang dan keroncong.
Irama Malaysia pula berkembang apabila unsur tradisi tersebut dibawa ke dalam kerangka muzik popular.
Dalam buku Popular Music in Southeast Asia: Banal Beats, Muted Histories terbitan 2017, Bart Barendregt, Peter Keppy dan Henk Schulte Nordholt menghuraikan bagaimana muzik popular Asia Tenggara berkembang dengan menemukan gaya muzik tempatan dan genre luar sehingga melahirkan bentuk muzik hibrid untuk khalayak massa.
Dalam konteks industri muzik tempatan pula, istilah etnik kreatif sering digunakan bagi karya yang mengolah unsur etnik atau tradisional bersama pendekatan muzik yang lebih kontemporari dan eksperimental.
Maksudnya, Lembayung Tari, Kesuma, Ahai, Minta Ampun dan Rencong tidak perlu berbunyi sama untuk berada dalam perbualan yang sama, apa yang menghubungkan mereka ialah akar.
Dulu Irama Malaysia Ada ‘Rumah’ Sendiri Di AJL
Mungkin generasi baharu tidak begitu menyedarinya, tetapi Irama Malaysia suatu ketika dahulu mempunyai ruang yang cukup besar dalam pertandingan muzik arus perdana.
Pada 1992, Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu mula menggunakan sistem kategori Rock, Pop Kreatif dan Irama Malaysia. Setahun kemudian, format itu berubah kepada Balada, Pop Rock dan Irama Malaysia.
Pada 1998, kategori Irama Malaysia pula berkembang menjadi Irama Malaysia dan Etnik Kreatif. Sistem kategori tersebut bertahan sehingga 2008 sebelum AJL beralih kepada format terbuka pada 2009.
Kewujudan kategori khas itu memberi karya daripada jalur tersebut sebuah ruang yang konsisten dalam pertandingan.
Lebih menarik, ada karya yang bukan sahaja memenangi kategorinya tetapi akhirnya menjadi Juara Lagu keseluruhan.
Ghazal Untuk Rabiah nyanyian M. Nasir dan Jamal Abdillah memenangi AJL pada 1997, diikuti Cindai nyanyian Siti Nurhaliza pada 1998 dan Balqis pada 2000.
Landskap berubah mulai AJL24 pada 2009 apabila pertandingan tidak lagi memisahkan lagu mengikut kategori.
Menurut pihak produksi ketika itu, format terbuka diperkenalkan bagi memberikan kebebasan kepada pengkarya tanpa perlu menghasilkan lagu berdasarkan kategori tertentu.
Namun tahun pertama perubahan tersebut turut memberi satu gambaran menarik. Daripada 112 lagu yang dicalonkan pada peringkat awal, hanya 10 berada dalam kelompok Etnik Kreatif. Apabila 14 finalis AJL24 diumumkan, tidak ada satu pun karya daripada kelompok Etnik Kreatif berjaya ke pentas akhir.
Ia tidak semestinya bermaksud penghapusan kategori menjadi punca genre itu semakin kurang kelihatan. Bahkan pihak juri ketika itu menjelaskan keputusan finalis dibuat berdasarkan merit lagu dan persembahan.
Namun situasi tersebut tetap membuka satu perbincangan menarik. Apabila sebuah genre kehilangan ‘rumah’ khusus, ia perlu mempunyai kekuatan mencukupi untuk bersaing secara terus dengan balada, pop, rock, hip hop dan segala bunyi lain yang bergerak dalam pasaran.
Sebab itu kemunculan semula karya-karya berakar tradisi hari ini terasa signifikan. Mereka kembali bersaing tanpa kategori khas.
Siti Nurhaliza & Perjuangan Yang Tidak Pernah Terhenti
Jika ada satu nama yang sukar dipisahkan daripada perjalanan Irama Malaysia dalam muzik arus perdana, Siti Nurhaliza tentunya antara yang paling utama.
Pada Oktober 2025, Siti melancarkan album tradisional penuh Gema Bumantara. Lebih 200 karya diterima sebelum hanya 10 dipilih untuk album tersebut, melibatkan pencipta daripada generasi lama dan baharu.
Justeru, apabila Kesuma dan Rencong kini berada serentak dalam Carta Muzik-Muzik 41, ia bukan sekadar kejayaan dua buah single.
Ia menjadi kesinambungan kepada usaha seorang penyanyi yang selepas hampir tiga dekad masih memberikan ruang besar kepada muzik tradisional dalam kerjayanya. Usaha itu tidak berhenti pada album.
Pada 17 Oktober 2026 yang menjelang tiba, Siti bakal membawa Konsert Tradisional Gema Bumantara ke TM Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan misi meraikan muzik tradisional untuk generasi hari ini dan seterusnya.
Pemilihan sebuah stadium berkapasiti mega sebagai medan meraikan muzik tradisional membawa simboliknya sendiri. Muzik yang pernah mempunyai kategori khusus di pentas AJL kini diberikan ruang dalam sebuah produksi berskala besar oleh antara penyanyi paling berpengaruh di negara kita.
Bagi Siti, jelas muzik tradisional bukan sekadar nostalgia atau persinggahan sesekali. Ia kekal menjadi sebahagian daripada identiti seni yang terus dibawanya ke hadapan.
Satu Akar, Banyak Bunyi
Momentum yang sedang berlaku juga tidak digerakkan oleh Siti seorang. Lembayung Tari karya Hael Husaini dan Iqie Hugh misalnya hadir dalam genre Pop Etnik atau Pop Traditional Fusion, menggabungkan elemen tradisional dengan produksi kontemporari.
Siti Nordiana pula kembali kepada Irama Malaysia menerusi Ahai selepas menyimpan hasrat itu selama kira-kira dua tahun. Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh tersebut memang dibina dengan gabungan bunyi tradisional dan moden.
Shiha Zikir memilih jalan yang lebih tradisional menerusi Minta Ampun, ciptaan Hafiz Hamidun dengan lirik Fedtri Yahya.
Malah Shiha sendiri berharap karya tersebut dapat mendekatkan generasi muda, khususnya Gen Z, kepada muzik tradisional Melayu.
Tiga penyanyi, tiga pendekatan. Mungkin itulah petanda yang sihat. Kerana kalau semua karya tradisional perlu mengulang formula sama seperti beberapa dekad lalu, ia hanya akan menjadi replika masa silam.
Wani Kayrie: Bila Lagu Rakyat Diberikan Nafas Baharu
Wani Kayrie pula menunjukkan bagaimana lagu rakyat boleh diberikan konteks baharu tanpa kehilangan rasa akrabnya.
Pada 2025, Wani mempertaruhkan Cak Cak Cekuk, ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh yang mengambil inspirasi daripada lagu rakyat Cak Cekur Udang Gamit sebelum diberikan susunan pop moden.
Unsur nostalgia itu dipadankan dengan cerita sangat semasa mengenai pasangan muda yang mahu mendirikan rumah tangga tetapi berdepan kekangan kewangan.
Percaturan tersebut akhirnya membawa Wani ke AJL40, penampilan pertamanya di pentas akhir selepas lebih sedekad berada dalam industri. Lebih menarik, perjalanan itu tidak berhenti pada Cak Cak Cekuk.
Pada Julai 2026, Wani muncul dengan Pulang, ciptaan Iqie Hugh, Wani sendiri dan Aniq Iffat. Pengulas muzik tempatan turut melihat karya tersebut sebagai kesinambungan kepada formula muzik yang mula terbentuk menerusi Cak Cak Cekuk.
Daripada sebuah lagu rakyat kepada produksi pop semasa, Wani menunjukkan warisan juga boleh menjadi sebahagian daripada identiti muzik artis generasi baharu.
Tradisi Sememangnya Sentiasa Bergerak
Dari sudut akademik, proses perubahan seperti ini sebenarnya bukan perkara baharu.
Pada 2005, ahli etnomuzikologi Tan Sooi Beng menerbitkan kajian From Folk to National Popular Music: Recreating Ronggeng in Malaysia dalam Journal of Musicological Research.
Tan meneliti bagaimana ronggeng berubah dari segi gaya, konteks persembahan dan khalayak sehingga berkembang daripada bentuk muzik masyarakat kepada bentuk yang lebih nasional.
Apabila digandingkan dengan pemerhatian Barendregt, Keppy dan Schulte Nordholt dalam Popular Music in Southeast Asia pada 2017 tentang pertemuan muzik tempatan dengan genre luar, satu perkara menjadi jelas.
Tradisi tidak semestinya kekal dalam bentuk yang sama untuk terus hidup. Apa yang penting ialah bagaimana pembaharuan itu dilakukan tanpa menghilangkan ilmu, identiti dan akar asalnya.
Aisha Retno & Bahasa Tradisi Generasi Baharu
Di sinilah Aisha Retno menjadi satu lagi contoh menarik. Eksperimennya dengan unsur tradisi sudah bermula seawal 2022 menerusi Sutera.
Aisha yang berdarah Malaysia dan Indonesia itu membawa teknik sinden ke dalam karya moden tersebut, malah belajar teknik berkenaan daripada ibunya. Dua tahun kemudian, Sutera muncul sebagai Naib Juara AJL38.
Pada 2026, Aisha sekali lagi membawa akar Nusantara menerusi Jodoh Lebaran, karya yang diinspirasikan daripada rentak joget klasik.
Sambutannya cukup besar apabila lagu itu menduduki tangga pertama Spotify Top 50 Malaysia, Apple Music, YouTube Malaysia Daily Chart dan carta RIM ketika musim Aidilfitri.
Kemudian hadir pula Kesuma. Kali ini Aisha tidak berada di hadapan sebagai penyanyi, tetapi menjadi antara pencipta lagu untuk Siti Nurhaliza bersama RADi, selain menulis lirik karya tersebut.
Hubungan itu cukup simbolik kerana Aisha sendiri pernah mengakui Siti menjadi antara inspirasinya untuk mengekalkan elemen tradisionalisme dalam karya yang ditulisnya.
Kini, generasi yang mendapat inspirasi daripada legasi Siti bukan sekadar mendengar. Mereka sudah mula menghasilkan karya bernuansa serupa.
Inilah bentuk pewarisan yang mungkin lebih penting daripada mencari seorang ‘pengganti’. Aisha tidak perlu menjadi Siti Nurhaliza atau Noraniza Idris. Wani Kayrie juga tidak perlu meniru formula sesiapa. Mereka hanya perlu menemukan cara sendiri untuk membawa akar yang sama ke hadapan.
Noraniza Idris & Peringatan Tentang ‘Roh’ Tradisi
Namun keterujaan terhadap perkembangan ini perlu datang bersama satu peringatan. Noraniza Idris yang sudah lebih tiga dekad memperjuangkan seni etnik kreatif pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai kekurangan pelapis yang benar-benar mempunyai ilmu serta kesanggupan mendalami warisan.
Pada Julai lalu, Noraniza mengakui masih sukar mencari individu yang mempunyai jiwa dan komitmen untuk meneruskan perjuangan tersebut. Sebulan kemudian, Kak Ani turut mengingatkan mengenai penghasilan lagu berunsurkan tradisi tidak cukup dengan sekadar mengambil bunyi yang kedengaran ‘etnik’.
Menurutnya, kekurangan rujukan boleh menyebabkan sesebuah karya kehilangan identiti asal. Selepas hampir dua tahun mencari material, Noraniza akhirnya bekerjasama dengan Hafiz Hamidun menerusi single Salam Kaut yang disifatkannya mempunyai jiwa Melayu yang kuat.
Lebih simbolik, Noraniza bakal menjadi penyanyi undangan Konsert Tradisional Gema Bumantara Oktober ini, atas sumbangannya memperjuangkan muzik tradisional Melayu selama lebih tiga dekad.
Generasi lama masih memperjuangkannya. Generasi baharu pula mula mencari bahasa mereka sendiri untuk meneruskannya.
Bukan Sekadar Nostalgia
Masih terlalu awal untuk mengatakan Irama Malaysia sudah kembali ke zaman kegemilangannya.
Lima lagu dalam carta tidak membina sebuah ekosistem dengan sendirinya. Sebuah lagu viral juga belum menjamin lebih banyak label dan pencipta akan terus melabur dalam muzik berakar tradisi selepas momentumnya reda.
Kebangkitan sebenar memerlukan kesinambungan. Ia memerlukan pencipta yang mahu belajar, penyanyi yang berani mempertaruhkannya, pemuzik yang memahami bahasanya, industri yang mahu memberikan ruang dan pendengar yang terus memilih untuk mendengar.
Namun apa yang sedang berlaku tetap memberi alasan untuk optimis. Siti Nurhaliza masih memperjuangkannya menerusi album dan konsert mega selepas hampir tiga dekad. Noraniza Idris bakal muncul dengan buah tangan baharu.
Wany Hasrita, Siti Nordiana dan Shiha Zikir membawa pendekatan masing-masing. Wani Kayrie mengambil inspirasi lagu rakyat dan mendekatkannya kepada pendengar hari ini.
Aisha Retno pula bergerak daripada sinden dalam Sutera, joget menerusi Jodoh Lebaransehingga mencipta Kesuma untuk Siti.
Pada minggu pertama September 2026 pula, tiga karya berakar tradisi berada serentak di tiga kedudukan tertinggi Carta Muzik-Muzik.
Barangkali kita belum perlu terburu-buru memanggilnya sebuah kebangkitan besar. Tetapi denyutnya semakin jelas.
Kerana tradisi yang benar-benar hidup bukan tradisi yang dibekukan supaya sentiasa berbunyi seperti 30 tahun lalu. Ia tradisi yang terus dipelajari, diolah dan dimiliki semula oleh generasi selepasnya.
Bunyinya mungkin berubah. Produksinya mungkin lebih moden. Pentasinya mungkin TikTok, Spotify, AJL atau Stadium Nasional. Namun yang perlu terus dijaga ialah akar, ilmu dan jiwanya kerana warisan bukan sekadar sesuatu yang kita simpan supaya tidak hilang. Ia sesuatu yang masih mahu dicipta hari ini, supaya terus boleh didengar esok.







