Personaliti media sosial, Aireena Sofia menitipkan ucapan istimewa buat anak lelakinya, Hud sempena ulang tahun kelahiran yang pertama.

Artikel Berkaitan: Aireena Sofia, Haqiem Stopa Sudah Berbaik – ‘Dah Maafkan Tapi Tak Mampu Lupakan’

Artikel Berkaitan: ‘Maafkan Mommy Tak Dapat Berikan Keluarga Yang Sempurna’ – Aireena Sofia Kongsi Wajah Anak Usia 10 Bulan

Ucapan untuk anak

Menerusi hantaran di TikTok, Aireena memuat naik foto-foto cahaya matanya itu bersama nukilan panjang yang ditulis di ruangan kapsyen.

Pada hantaran tersebut, Aireena berdoa agar Hud dapat membesar dengan baik dan menjadi insan yang berguna.

Hari ini genap setahun usia anak mommy, selamat hari lahir anakku. Satu tahun yang penuh dengan tangisan, senyuman, doa, pengorbanan, dan kasih sayang yang tidak mampu mommy ungkapkan dengan kata-kata.

Ya Allah, panjangkan umur anakku, sihatkan tubuh badannya, terangilah hatinya dengan iman, peliharalah akhlaknya, dan jadikanlah dia anak yang soleh yang sentiasa mencintai mu dan Rasul-mu. semoga Allah sentiasa merahmati setiap langkah kehidupan adik (panggilan anak), memudahkan urusan adik, dan memeluk adik dengan kasih sayangnya di dunia dan di akhirat.

Dalam masa yang sama, Aireena juga berkongsi fasa sukar yang pernah dihadapinya, namun tetap kuat menjalani setiap ujian bersama kehadiran permata hatinya itu.

Mommy pernah penat dan pernah lelah. Ada hari mommy menangis sendirian, ada hari mommy rasa terlalu berat untuk melangkah tapi setiap kali mommy melihat wajah adik, mommy kembali kuat sebab adik adalah amanah terindah yang Allah titipkan dalam hidup mommy.

Ramai yang melihat senyuman dan kebahagiaan yang ada hari ini, tetapi tidak ramai yang tahu berapa banyak pengorbanan seorang ibu di sebaliknya.

Tidak ramai yang memahami malam-malam yang mommy berjaga tanpa tidur, saat adik menangis, saat adik sakit, saat adik demam dan saat mommy sendiri tidak sihat tetapi tetap perlu kuat demi adik.

Dari saat adik berada dalam kandungan selama sembilan bulan, saat melahirkan adik, melalui fasa berpantang, sehinggalah hari ini, mommy yang menyaksikan setiap proses pembesaran adik.

Mommy melihat pertama kali adik meniarap, merangkak, tumbuh gigi, berdiri, berjalan, ketawa, menangis dan belajar mengenal dunia. Mommy ada dalam setiap langkah kecil itu, mommy yang sentiasa ada walau dalam keadaan susah atau senang.

Bercerita lanjut, Aireena berkata, segala pengorbanan dan usaha yang dilakukan sebagai seorang ibu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab meskipun tidak dilihat oleh orang lain.

Kadang-kadang, pengorbanan itu tidak dilihat. Kadang-kadang, orang hanya melihat hasilnya tanpa mengetahui perjalanan yang dilalui.

Ada masanya orang lain mendapat penghargaan dan nama, sedangkan kita yang bersusah payah menjaga, membesarkan dan melalui setiap proses itu. Ada masanya kita dipersalahkan walaupun kita yang memikul amanah tersebut setiap hari.

Namun mommy belajar bahawa tidak semua perkara perlu difahami oleh manusia. Cukuplah Allah yang mengetahui setiap air mata, setiap pengorbanan, setiap doa yang dipanjatkan dan setiap usaha yang dilakukan untuk membesarkan adik dengan penuh kasih sayang.

Di akhir coretan tersebut, Aireena menzahirkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk menjadi seorang ibu, selain menyifatkan kehadiran anaknya sebagai sumber kekuatan.

Terima kasih kerana sentiasa kuat sepanjang perjalanan kita. Adik adalah lelaki kecil yang tidak pernah meninggalkan mommy ketika mommy memerlukan kekuatan.

Terima kasih kerana selalu memujuk mommy dengan senyuman kecil adik walaupun adik masih belum mengerti banyak perkara, terima kasih kerana memahami mommy dengan cara adik sendiri.

Mungkin suatu hari nanti adik akan membaca tulisan ini. mommy cuma mahu adik tahu bahawa sejak hari pertama mommy tahu tentang kehadiran adik, mommy sayang adik sepenuh hati dan sayang itu tidak pernah berkurang walau sedikit, malah semakin bertambah setiap hari.

Ya Allah, terima kasih atas rezeki ini. terima kasih kerana memilih aku untuk menjadi ibu kepada anak ini. terima kasih atas setiap nikmat dan juga setiap ujian yang mengajar aku erti sabar, syukur dan reda.

Sumber: TikTok