
Setiap Muslim dianjurkan untuk sentiasa memohon perlindungan Allah SWT daripada segala bentuk keburukan seperti gangguan syaitan, sihir, hasad dengki dan kejahatan manusia.
Artikel Berkaitan: Buntu Soal Jodoh, Fasal Kerja.. Rebut Ganjaran Hari Arafah, Ini Senarai Doa Yang Boleh Dibaca
Artikel Berkaitan: Peperiksaan Semakin Dekat? Amalkan Doa Ini Untuk Tenangkan Hati
Doa pendinding diri
Selain menjaga solat dan memperbanyakkan zikir, amalan membaca ayat-ayat al-Quran serta doa-doa yang diajarkan dalam Islam juga menjadi antara ikhtiar yang boleh diamalkan bagi menguatkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ramai pendakwah serta pengamal perubatan Islam turut menggalakkan umat Islam mengamalkan bacaan tertentu sebagai rutin harian, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk kesejahteraan ahli keluarga dan kediaman.
Antara amalan yang disarankan ialah membaca selepas setiap solat fardu atau pada bila-bila masa yang sesuai.
Surah al-Fatihah: Surah pembuka al-Quran ini sering dibaca sebagai doa memohon rahmat, petunjuk dan perlindungan daripada Allah SWT.
Ayat Kursi: Ayat ke-255 daripada Surah al-Baqarah ini terkenal sebagai antara ayat yang mempunyai kelebihan besar, termasuk memohon perlindungan daripada gangguan syaitan.
Tiga Qul (al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas): Ketiga-tiga surah ini sering diamalkan sebagai bacaan pendinding daripada pelbagai bentuk kejahatan dan gangguan.
Doa Nabi Yunus AS: Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’ ayat 87:
لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudanya: Tiada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang yang menzalimi diri sendiri.
Doa ini merupakan antara doa yang sangat dianjurkan ketika menghadapi kesusahan. Dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Rasulullah SAW menyatakan bahawa sesiapa yang berdoa dengan doa ini, Allah SWT akan memperkenankan permohonannya.
Doa Nabi Ibrahim AS: Firman Allah SWT dalam Surah Ali ’Imran ayat 173
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Maksudnya: Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung.
Doa ini sering diamalkan sebagai tanda tawakal sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi segala ujian dan ancaman.
Selain lima amalan di atas, terdapat beberapa ayat al-Quran yang turut diamalkan oleh sebahagian umat Islam sebagai ikhtiar memohon perlindungan daripada sihir dan gangguan. Antaranya, Surah an-Nisa’ ayat 84, Surah Yusuf ayat 64, Surah al-A’raf ayat 118 hingga 122, Surah Taha ayat 69 dan Surah Yunus ayat 81 hingga 82.
Walau bagaimanapun, umat Islam perlu meyakini bahawa segala bentuk perlindungan dan kesembuhan hanyalah dengan izin Allah SWT.
Amalan membaca al-Quran, berdoa, menjaga solat serta bertawakal kepada-Nya merupakan antara usaha yang dianjurkan dalam Islam untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan memohon keselamatan daripada segala keburukan.
Sumber: Syamsul Amri Ismail








