Seorang doktor perubatan dikenali sebagai Dr Azra Aziz berkongsi beberapa manfaat dan khasiat pengambilan ubi keledek yang boleh dijadikan salah satu pilihan sumber karbohidrat dalam pemakanan harian.

Artikel Berkaitan: Kronologi Scammer Menyamar Doktor, Minta Gambar Payudara Untuk Tujuan Perubatan

Khasiat ubi keledek

Menerusi hantaran di Threads, Dr Azra menjelaskan ubi keledek mempunyai indeks glisemik (GI) yang lebih rendah berbanding nasi putih, selain mengandungi serat yang tinggi.

Ubi keledek merupakan salah satu pilihan karbohidrat yang baik untuk diet. Indeks glisemiknya (GI) lebih rendah berbanding nasi putih.

Glukosa masuk ke dalam darah dengan lebih perlahan, insulin tidak meningkat secara mendadak dan badan tidak memasuki keadaan menyimpan lemak.

Kandungan seratnya yang tinggi juga membuatkan kita kenyang lebih lama secara semula jadi. Jadi, kita akan makan dalam kuantiti yang lebih sedikit tanpa perlu terlalu mencuba.

Menurut Dr Azra, ubi keledek turut mengandungi pelbagai nutrien seperti vitamin A, vitamin C, kalium dan magnesium yang penting untuk tubuh badan.

Selain itu, ubi keledek kaya dengan vitamin A, vitamin C, kalium dan magnesium. Jadi, badan tetap mendapat nutrisi yang mencukupi ketika pengambilan kalori dikurangkan.

Cara terbaik untuk menikmatinya adalah dengan merebus atau membakarnya, bukan menggoreng. Saya suka ubi keledek daripada Don Don Donki. Boleh cuba.

Dr Azra berkongsi perkara tersebut sebagai respons terhadap hantaran seorang pengguna media sosial yang mengatakan dia berjaya menurunkan berat badan sekitar lima kilogram dalam tempoh sebulan selepas kerap mengambil ubi keledek.

Sumber: Threads