Didakwa membunuh dan menyebabkan kematian seorang penghuni pusat jagaan Tanjung Rambutan, empat penghuni pusat jagaan berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, Perak.

Artikel Berkaitan: Pemilik Kedai Telefon Dib*nuh Dengan Tukul, Mayat Disorok Dalam But Kereta

Didakwa membunuh

Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh Ahmad Faiz Mohd Rauhi, 35, Zaid Shaari, 50, Radzuan Suboh, 55, dan Abdul Halim Mohd Niza, 47, mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Faiz didakwa membunuh Mohd Fauzir Hussin, 54, seorang penghuni Pusat Jagaan Bakti, Jalan Bunga Cempaka, Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan pada 4 Ogos lalu, kira-kita jam 5 petang hingga 5.41 petang.

Ahmad Faiz didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu, hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam masa sama, Zaid, Radzuan dan Abdul Halim didakwa bersama-sama melakukan perbuatan sehingga menyebabkan kematian Mohd Fauzir.

Mereka didakwa melalukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Namun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin memaklumkan, mangsa dipercayai telah diikat sebelum dipukul dan dipijak oleh mereka.

Berdasarkan sisatan awal, kejadian tersebut terjadi ketika mangsa dipercayai berkelakuan agresif dan mengganggu penghuni lain.

Difahamkan, seorang penjaga telah mengarahkan mangsa diikat sebelum penghuni lain bersama penjaga berkenaan didakwa bertindak memukul dan memijaknya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 September hadapan sebagai sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen termasuk laporan perubatan dan bedah siasat selain memerintahkan Abdul Halim menjalani pemeriksaan psikiatri.

Terdahulu, polis telah menahan lima lelaki terdiri daripada seorang penjaga dan empat penghuni pusat jagaan berkenaan bagi membantu siasatan.

Mereka kemudian direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian