
Enam lelaki yang juga adik-beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 118.87 gram di sebuah lokasi di Chemor, minggu lalu.
Artikel Berkaitan: Mahu Biaya Rawatan Anak, Rakyat Malaysia Edar Dadah Ke Singapura Terlepas Hukuman Mati
Edar heroin

Memetik BERNAMA, tertuduh ialah Muhammad Affandi Zulkafli, 41, Muhammad Khairul Azmil Zulkafli, 40, Shahrul Azwan Zulkafli, 38, Mohamad Shah Herman Zulkafli, 35, Muhamad Amirul Zulkafli, 29 dan Mohamad Hafizi Zulkafli, 27.
Kesemua mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar heroin seberat 118.87 gram di sebuah pondok tidak bernombor yang terletak bersebelahan sebuah rumah di Laluan Usaha, Kampung Che Zainal Tambahan 1, Chemor, kira-kira pukul 9.20 malam pada 21 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, mereka boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin berikutan kesalahan yang dihadapi memperuntukkan hukuman berat, selain menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan status laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin, manakala kesemua tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Dalam perkembangan sama, Mahkamah Majistret turut dijadualkan bersidang di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada petang Selasa bagi mendengar pertuduhan terhadap seorang lagi rakan mereka, Mohd Ismail Borhan, 43, yang sedang menerima rawatan di hospital akibat masalah kesihatan. Dia turut berdepan pertuduhan yang sama.
Sumber: BERNAMA








