‘Apa kena mengena gunung berapi meletus dengan flight cancel? Dia tak boleh guna route lain ya?’

Persoalan seorang netizen ini mungkin turut bermain di fikiran ramai selepas ratusan penerbangan terjejas susulan letusan Gunung Anak Krakatau di Indonesia.

Dari sudut penumpang, penyelesaiannya nampak mudah. Kalau ada abu gunung berapi di satu kawasan, bukankah pesawat hanya perlu mengambil laluan lain?

Hakikatnya, isu abu vulkanik dalam dunia penerbangan jauh lebih kompleks daripada sekadar mengelakkan lokasi sebuah gunung.

Lebih-lebih lagi apabila abu sudah tersebar beratus-ratus kilometer, berada pada ketinggian yang digunakan pesawat dan sampai ke kawasan lapangan terbang destinasi.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Rakyat Malaysia Kongsi Detik Cemas Terkandas Di Labuan Bajo, Rancang Naik Bot 33 Jam Untuk Pulang – ‘Gunung Berapi Meletus, Abu Sangat Tebal’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Detik Cemas Gunung Merapi Di Indonesia Meletus Lagi, 4 Penerbangan Dibatalkan

Anak Krakatau Jejas Ratusan Penerbangan

Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda mengalami episod erupsi berterusan bermula kira-kira 11.07 malam pada 4 September 2026 sebelum episod itu berakhir sekitar 12.04 tengah malam pada 6 September.

Bagaimanapun, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia memaklumkan status gunung itu kekal pada Level III atau Siaga, dengan aktivitinya terus dipantau. Kesannya bukan kecil.

Reuters melaporkan enam lapangan terbang di Indonesia terpaksa menggantung operasi penerbangan pada Ahad, manakala 301 penerbangan termasuk 58 penerbangan antarabangsa terjejas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta. Penggantungan operasi di lapangan terbang utama Jakarta itu turut dilanjutkan beberapa kali sepanjang hari.

Di Malaysia pula, 31 penerbangan menuju Jakarta dibatalkan setakat tengah hari 6 September, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Daripada jumlah itu, 21 pembatalan membabitkan KLIA, enam di Pulau Pinang, dua di Subang serta masing-masing satu di Kuching dan Kota Bharu.

Jadi apa sebenarnya yang membuatkan abu gunung berapi begitu berbahaya?

Bukan Asap Biasa, Tetapi Serpihan Batu Dan Kaca

Apa yang kelihatan seperti kepulan ‘asap’ daripada gunung berapi sebenarnya boleh mengandungi partikel batuan, mineral dan bahan seperti kaca vulkanik yang sangat halus.

Menurut United States Geological Survey (USGS), partikel abu boleh menghakis bahagian hadapan pesawat termasuk cermin kokpit, permukaan badan pesawat serta bilah pemampat enjin.

Lebih membimbangkan, bahan silikat di dalam abu mempunyai takat lebur yang lebih rendah berbanding suhu operasi bahagian panas sebuah enjin jet.

Apabila abu disedut masuk, partikel itu boleh mencair di bahagian panas enjin sebelum melekat dan mengeras semula pada komponen lebih sejuk.

Pengumpulan bahan tersebut boleh mengganggu aliran udara di dalam enjin sehingga menyebabkan compressor stall dan kehilangan daya tujahan.

Maksudnya, pesawat tidak perlu ‘dihentam’ lava untuk berada dalam bahaya. Cukup sekadar memasuki awan abu pada ketinggian penerbangan.

@ahmadfaezal4

Anak Krakatau dah meletus menghamburkan asap dan isi bumi 15 kilometer tinggi ketika Malaysia masih bergelut dengan jerebu dari Indonesia. #isudunia #anakkrakatau #volcano #jerebu #wildfire

♬ original sound – Ahmad Faezal – Ahmad Faezal

Abu Kali Ini Cecah Ketinggian Pesawat Komersial

Situasi Anak Krakatau turut menunjukkan kenapa pesawat tidak boleh sekadar terbang tinggi bagi mengelakkan masalah.

BMKG Indonesia melaporkan pada pagi 6 September terdapat dua kluster sebaran abu vulkanik meliputi kawasan Banten, DKI Jakarta, Jawa Barat sehingga Bengkulu.

Maklumat SIGMET terkini ketika itu mengesan abu sehingga kira-kira 20,000 kaki ke arah timur dan 50,000 kaki ke arah barat.

Sebagai perbandingan, kebanyakan pesawat penumpang komersial beroperasi pada ketinggian puluhan ribu kaki.

BMKG juga telah mengeluarkan 18 SIGMET secara berkala ketika laporan itu diterbitkan bagi memberi amaran kepada operasi penerbangan.

Justeru, pilihan ‘terbang atas abu’ tidak semestinya wujud apabila kepulan itu sendiri sudah mencapai altitud penerbangan.

Jadi, Betul Ke Tak Boleh Guna Route Lain?

Sebenarnya boleh. Menukar laluan atau rerouting memang digunakan dalam industri penerbangan apabila terdapat kawasan ruang udara yang perlu dielakkan.

Malah prosedur FAA mengarahkan pengawal trafik udara supaya mencadangkan laluan alternatif kepada pesawat apabila awan abu vulkanik diketahui atau diramalkan berada di sesuatu kawasan.

Tetapi di sinilah bezanya antara teori dengan keadaan sebenar. Abu vulkanik tidak kekal betul-betul di atas gunung. Ia boleh dibawa angin jauh daripada sumber letusan, merebak pada beberapa aras ketinggian dan berubah arah mengikut keadaan atmosfera.

USGS merekodkan contoh ekstrem apabila abu daripada letusan Gunung Pinatubo pada 1991 bergerak lebih 5,000 batu dalam tempoh kurang tiga hari, malah merosakkan pesawat yang berada ratusan batu daripada gunung tersebut.

Dalam kes Anak Krakatau pula, BMKG mengesan sebaran abu sehingga merangkumi DKI Jakarta, Banten, Jawa Barat, Lampung dan Bengkulu pada ketinggian berbeza. Jadi rerouting hanya menjadi pilihan sekiranya masih terdapat laluan alternatif yang disahkan selamat.

@angga_1832

Gunung Anak Krakatau mengalami erupsi hari ini pada pukul 11.57 WIB dengan tinggi kolom abu mencapai sekitar 400 meter di atas puncak. Letusan ini terekam di seismograf dengan amplitudo maksimum 55 mm dan durasi 139 detik, serta status gunung saat ini berada di Level III (Siaga) Detail Erupsi Hari Ini Waktu Erupsi: Pukul 11.57 WIB (dengan aktivitas letusan lain terpantau di pagi hari). Tinggi Kolom Abu: Sekitar 100 hingga 400 meter di atas puncak, berwarna kelabu hingga hitam tebal. Arah Angin/Abu: Bergerak mengarah ke barat daya. Rekaman Seismograf: Amplitudo maksimum 55 milimeter dengan durasi 139 detik Status dan Imbauan Keselamatan Level Aktivitas: Level III (Siaga). Zona Aman: Masyarakat, pengunjung, wisatawan, dan nelayan dilarang mendekati atau beraktivitas dalam radius 3 kilometer dari kawah aktif.Antisipasi Dampak: Warga di wilayah terdampak hujan abu diimbau untuk memakai masker serta pelindung mata saat berada di luar ruangan Selalu berdoa untuk keselamatan kita semua #krakatau#viral #beritaterkini #anakrantau #erupsisemeruhariini

♬ original sound – Osime

Masalah Lebih Besar: Abu Sampai Ke Airport

Ini antara sebab paling penting mengapa persoalan “kenapa tak pusing jalan lain?” tidak semestinya boleh menyelesaikan masalah.

Dalam insiden kali ini, abu vulkanik turut dikesan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta sendiri pada awal Ahad.

Reuters melaporkan pengesanan abu tersebut membawa kepada penggantungan operasi penerbangan di lapangan terbang utama Jakarta itu.

BMKG pula mengesahkan NOTAM telah dikeluarkan bagi penutupan sementara beberapa lapangan terbang pada waktu berlainan termasuk Soekarno-Hatta, Halim Perdanakusuma, Radin Inten II dan Budiarto.

Jadi walaupun sebuah pesawat mampu ‘pusing’ mengelakkan awan abu sepanjang perjalanan, persoalannya ialah:

Pesawat itu mahu mendarat di mana jika lapangan terbang destinasi sendiri tidak selamat digunakan? Ia seperti mengambil jalan alternatif kerana lebuh raya ditutup, tetapi apabila sampai ke destinasi, kawasan destinasi itu sendiri masih ditutup.

@bestfeedmy

Stay strong to our fellow Indonesians and Malaysians affected by the situation. ♥️ Many M’sians are reportedly stranded at Soekarno-Hatta International Airport as volcanic ash from the ongoing Anak Krakatau eruption disrupts flights. 🇲🇾🇮🇩 According to The Star, four more airports were temporarily closed on Sunday, bringing the total number of affected airports to five, including Halim Perdanakusuma Airport in Jakarta. ✈️❌ Malaysia Airlines and Batik Air have also cancelled 20 Malaysia-Jakarta flights due to the volcanic ash. 😰 The ash has spread across Jakarta, Banten and West Java, with authorities continuing to monitor the situation. 🌋💨 If you’re travelling to or from Indonesia today, check your flight status before heading to the airport! 👀 Sources by The Star, Berita Harian Visual credited to @spritzerphilips /Threads

♬ original sound – bestfeedmy – bestfeedmy

“Tak Nampak Abu, Terbang Sahajalah?”

Itu juga berbahaya. Menurut Federal Aviation Administration (FAA), awan abu vulkanik tidak semestinya mudah dilihat oleh juruterbang, khususnya ketika malam atau dalam keadaan cuaca tertentu.

Lebih penting, awan abu tidak dipaparkan seperti ribut biasa pada radar udara atau radar kawalan trafik udara. Sebab itu FAA menegaskan perkara terpenting ketika menghadapi ancaman abu vulkanik ialah mengelakkan pertembungan dengan awan abu, bukan cuba menembusinya.

Maklumat satelit, SIGMET, Volcanic Ash Advisory dan laporan daripada juruterbang serta pihak kawalan trafik udara menjadi antara sumber penting bagi menentukan lokasi kawasan berisiko.

@aero.total

ANAK KRAKATAU ASH DISRUPTS HUNDREDS OF FLIGHTS A major eruption of Indonesia’s Anak Krakatau volcano has caused widespread disruption to air travel, with around 516 flight movements affected as volcanic ash forced temporary suspensions and operational restrictions at six airports, including Jakarta’s Soekarno-Hatta International Airport. At Soekarno-Hatta, volcanic ash was detected during repeated ground tests, prompting authorities to issue successive NOTAMs and extend the temporary closure. The latest extension kept the airport closed until 17:30 local time on Sunday. Earlier official figures showed 209 flight movements and 22,798 passengers affected at Soekarno-Hatta alone, with around 170 aircraft parked on the apron during the disruption. Indonesia’s meteorological agency, BMKG, said volcanic ash was spreading in two main clusters. SIGMET information showed ash reaching up to 50,000 feet west of the volcano and up to 20,000 feet to the east, creating a significant hazard for aviation across the region. The disruption has also affected operations at Halim Perdanakusuma, Radin Inten II, Budiarto and Pondok Cabe, among other airports, as authorities continue monitoring the movement of the ash cloud. Airlines have been adjusting schedules, delaying or cancelling flights as conditions evolve. Passengers traveling through Jakarta and other affected airports are being advised to check their flight status directly with their airline. Further operational changes remain possible as volcanic activity and ash dispersion continue to be monitored. 🎥 Social media #AnakKrakatau #JakartaAirport #Aviation #Volcano #FlightDisruption

♬ original sound – AeroTOTAL

Sejarah Buktikan Ia Bukan Risiko Kecil

Pada 1883, Krakatau mencatatkan antara letusan gunung berapi paling dahsyat dalam sejarah moden. Menurut National Centers for Environmental Information (NCEI) di bawah NOAA, letusan paling ganas pada Ogos tahun itu menghantar abu sehingga kira-kira 80 kilometer ke atmosfera, manakala debunya tersebar ke kawasan seluas kira-kira 800,000 kilometer persegi. Abu daripada letusan itu turut bergerak mengelilingi dunia dan memberi kesan kepada atmosfera global.

Smithsonian Institution pula merekodkan bahawa letusan katastrofik 1883 menyebabkan sebahagian besar struktur Krakatau runtuh dan membentuk kaldera, selain menghasilkan aliran piroklastik, hujan abu serta tsunami yang membawa kemusnahan besar di kawasan sekitarnya.

Daripada kaldera yang terbentuk selepas letusan itulah kemudiannya muncul Anak Krakatau yang mula terbentuk pada akhir 1920-an dan terus aktif sehingga hari ini. Namun dalam konteks penerbangan, bahaya abu vulkanik benar-benar terbukti menerusi beberapa insiden moden.

Pada 1982, sebuah Boeing 747 yang melalui awan abu daripada Gunung Galunggung di Indonesia kehilangan kuasa pada keempat-empat enjinnya. Pesawat itu terpaksa turun ribuan kaki sebelum beberapa enjin berjaya dihidupkan semula dan pesawat mendarat dengan selamat di Jakarta.

Situasi hampir sama berlaku pada 1989 apabila KLM Flight 867 memasuki awan abu daripada Gunung Redoubt di Alaska dan turut kehilangan kuasa pada keempat-empat enjinnya buat sementara waktu.

Dua insiden itu menjadi antara contoh paling jelas mengapa industri penerbangan hari ini mengambil pendekatan sangat berhati-hati apabila abu gunung berapi dikesan di ruang udara.

Kenapa Tak Mendarat Di Airport Lain?

Diversion ke lapangan terbang alternatif juga sememangnya satu pilihan. Dalam perkembangan Anak Krakatau, Kementerian Pengangkutan Indonesia menamakan Kertajati, Ahmad Yani dan Juanda sebagai antara lapangan terbang alternatif sekiranya syarikat penerbangan mampu mengalihkan operasi mereka.

Tetapi bukan setiap penerbangan secara automatik boleh dialihkan. Syarikat penerbangan perlu mempertimbangkan lokasi pesawat, baki bahan api, keadaan ruang udara, kapasiti lapangan terbang alternatif, jadual penerbangan lain serta keupayaan menerima tambahan pesawat dan penumpang.

Ada keadaan di mana rerouting sesuai. Ada keadaan di mana penerbangan boleh ditangguhkan. Dan ada juga keadaan di mana pembatalan menjadi pilihan paling selamat.

Malaysia Airlines & Air Asia Turut Ambil Langkah Keselamatan

Malaysia Airlines mengesahkan beberapa penerbangan Kuala Lumpur-Jakarta pada 6 September dibatalkan selepas aktiviti abu Anak Krakatau menjejaskan operasi di Soekarno-Hatta.

Syarikat penerbangan itu turut memaklumkan perkembangan keadaan sedang dipantau dengan keselamatan penumpang serta kru menjadi keutamaan.

AirAsia pula mengesahkan beberapa penerbangan dari dan ke Jakarta dibatalkan atau dijadualkan semula, selain membuat penyesuaian operasi terhadap penerbangan lain yang laluannya berpotensi terjejas.

Menurut AirAsia, abu vulkanik yang meluas memberikan ancaman signifikan terhadap keselamatan operasi pesawat berhampiran awan vulkanik.

Jadi Kenapa ‘Flight Cancel’ Walaupun Gunung Jauh?

Kerana dalam penerbangan, persoalannya bukan sekadar ‘berapa jauh gunung itu daripada pesawat?’

Yang lebih penting ialah, di mana abu sedang bergerak, setinggi mana ia berada, adakah laluan alternatif masih selamat dan adakah lapangan terbang destinasi masih boleh digunakan?

Gunung berapi mungkin berada ratusan kilometer daripada sebuah lapangan terbang, tetapi abu yang dibawa angin boleh memasuki laluan penerbangan dan ruang udara destinasi.

Maka jawapan kepada persoalan netizen tadi ialah, ya, pesawat boleh menggunakan route lain jika keadaan membenarkan. Tetapi apabila abu sudah tersebar luas atau lapangan terbang destinasi sendiri terjejas, menukar route sahaja tidak lagi menyelesaikan masalah.

Dalam industri yang membawa ratusan nyawa pada satu-satu masa, pembatalan penerbangan bukan sekadar soal jadual. Kadangkala ia adalah keputusan paling selamat untuk memastikan pesawat tidak perlu berdepan risiko yang sebenarnya tidak kelihatan dengan mata kasar.

Sumber: BMKG Indonesia, Kementerian ESDM/PVMBG Indonesia, Bernama, Reuters, USGS & FAA, Malaysia Airlines & Air Asia