
Bila sebut pasal sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi, perkara pertama yang selalunya bermain di fikiran kita mesti lah pasal kos yuran dan perbelanjaan harian.
Bagi kebanyakan pelajar di Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa menjadi ‘penyelamat’ dan tulang belakang untuk mereka mengejar cita-cita.
Korang tahu tak, setiap tahun PTPTN sebenarnya menyokong sekitar 150,000 pelajar baharu dengan dana pembiayaan mencecah RM3 bilion setahun! Fuh, bukan main besar jumlah tu!
Hampir 50% pelajar IPT terima bantuan PTPTN
Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, komitmen tahunan yang besar ini adalah demi memastikan anak bangsa tidak keciciran dalam pendidikan. Malah, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki turut mendedahkan bahawa hampir 50% pelajar yang diterima masuk ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) setiap tahun adalah pelajar yang menerima bantuan melalui pinjaman pendidikan ini.
Sejak ia ditubuhkan, agensi ini telah berjaya membantu lebih empat juta pelajar melanjutkan pengajian tinggi. Hebat bukan?
Antara salah seorang peminjam PTPTN yang bersyukur dengan bantuan ini ialah Farhany, seorang graduan universiti tempatan.
Konsisten membayar hingga berjaya selesaikan pinjaman

Bagi Farhany, 31, yang kini bekerja sebagai Social Media Specialist, bantuan PTPTN banyak membantunya menampung kos pengajian serta keperluan harian ketika bergelar pelajar.
“PTPTN banyak membantu saya dari segi pembayaran yuran pengajian dan keperluan harian. Jika tiada bantuan tersebut, saya rasa agak sukar untuk saya menampung kos pengajian dan mungkin saya tidak dapat berada di tahap seperti hari ini,” katanya.
Selepas tamat pengajian dan memperoleh pekerjaan tetap, Farhany mengambil keputusan untuk tidak menangguhkan bayaran balik pinjaman yang diterimanya.
“Sebaik sahaja mendapat pekerjaan tetap, saya terus mula membuat bayaran balik pinjaman sedikit demi sedikit. Saya tidak suka menangguhkan komitmen seperti ini. Pada saya, lebih cepat bayar, lebih cepat selesai,” katanya.
Bagi Farhany, keputusan untuk membayar secara konsisten sejak awal ternyata berbaloi apabila dia kini berjaya menyelesaikan sepenuhnya bayaran balik pinjaman PTPTN yang diterimanya.
Bayar balik demi ‘meneruskan’ pendidikan generasi masa hadapan
Untuk korang yang mungkin belum tahu, setiap ringgit yang korang bayar balik kepada PTPTN sebenarnya akan disalurkan semula ke dalam ekosistem pembiayaan pendidikan. Maksudnya, duit yang korang bayar tu lah yang akan digunakan semula untuk bantu adik-adik kita yang baru nak masuk universiti nanti.
Sebab itulah, pengurusan bayaran balik pinjaman secara bertanggungjawab ni sangat penting untuk memastikan peluang pendidikan tinggi sentiasa terbuka luas buat generasi akan datang.
Semuanya hanya dihujung jari dengan menggunakan aplikasi myPTPTN untuk selesaikan hutang
Bagi memudahkan peminjam PTPTN, pelbagai saluran dan kemudahan pembayaran balik yang sangat fleksibel mengikut kemampuan kewangan peminjam telah disediakan.
Antara yang paling popular dan mudah sudah tentulah menerusi aplikasi myPTPTN. Semuanya di hujung jari je!
PTPTN juga sentiasa menggalakkan peminjam untuk merancang bayaran balik pinjaman mereka dari peringkat awal dan memilih saluran yang paling serasi dengan situasi kewangan semasa.
Korang yang ada pinjaman PTPTN tu, dah semak baki pinjaman ke belum bulan ni? Ayuh3 kita jadi peminjam yang bertanggungjawab demi masa depan generasi akan datang!!








