Penyanyi, Kaka Azraff mendedahkan pernah mendapatkan bantuan pakar terapi ketika berdepan detik sukar dalam kehidupannya apabila sering meletakkan kesalahan pada diri sendiri atas apa yang berlaku.

Artikel Berkaitan: ‘Co-Parenting Dengan Orang yang Tak Tahu Komunikasi Tak Mudah’ – Kaka Azraff

Artikel Berkaitan: ‘Pertama Kali Selepas Sekian Lama, Aku Tidak Takut Pada Masa Depan’ – Kaka Azraff

Jumpa pakar terapi

Ketika ditemui OhBulan!, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 37, berkata keputusan tersebut dibuat atas dorongan dirinya sendiri ketika berdepan kemelut rumah tangga.

Kata penyanyi lagu Gila itu, selepas menghadiri sesi terapi, fikirannya menjadi lebih terbuka dalam memahami masalah yang selama ini menyelubungi dirinya.

Saya pergi tahun lepas ketika bulan puasa. Keluarga saya tidak mengetahui mengenai perkara ini tetapi kawan baik saya, Shalma Ainaa tahu.

Saya pergi ke sesi terapi itu sebanyak tiga kali kerana saya rasa saya banyak menyalahkan diri sendiri seperti merasakan diri saya seorang wanita yang kurang bersyukur sebab itu yang ‘disuapkan’ kepada saya.

Kaka berkata demikian ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen KLFW X Tomei Collection bersempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, pada petang Jumaat.

Bercerita mengenai itu, Kaka berkata sebelum ini dia terlalu mengutamakan anak-anaknya sehingga dirinya sendiri sering diletakkan di tempat terakhir.

Bagaimanapun, Kaka menyedari cara itu tidak sihat dan mula memahami pentingnya menjaga diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengutamakan orang lain, lebih-lebih lagi sebagai seorang ibu.

Bila dah jumpa pakar terapi itu, dia nasihatkan untuk ubah lifestyle, kena sihat, dapatkan tidur yang cukup.

Dulu ketika saya berada di fasa sedih itu, saya hanya berfikir tentang anak, tidak pernah fikir tentang diri saya.

Saya sedar perkara itu tidak sihat dan sebenarnya kita kena sayang diri kita. Itu yang saya belajar.

Kata Kaka, dia menemukan ketenangan menerusi nyanyian malah menjadi salah satu cara yang membantunya keluar daripada zon kesedihan.

Kalau menyanyi, saya suka sebab bagi saya, itulah tempat untuk saya menyalurkan apa yang saya rasa selain ketika saya bersendirian.

Bila saya menyanyi, saya rasa macam keluar sekejap daripada zon kemurungan itu.

Terdahulu, Kaka dan bekas suaminya, Adam Azriff sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Jun lalu.

Untuk rekod, sebelum ini Kaka pernah bercerai pada Oktober 2024 namuan kembali rujuk pada awal tahun 2025 semasa tempoh iddah.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki.