Ada sesetengah lagu hadir sekadar untuk didengar. Ada pula yang tanpa disedari menjadi teman ketika seseorang sedang melalui hari-hari yang tidak mudah.

Meskipun karya-karya Amir Jahari sendiri sering menjadi teman dan ruang ‘healing’ buat pendengar, penyanyi dan pencipta lagu itu juga pernah berada di posisi sama, mencari semangat dan kekuatan menerusi karya orang lain.

Antara yang mempunyai tempat istimewa buat Amir ialah album Esok Belum Tiba daripada kumpulan alternatif rock, Nastia.

ARTIKEL BERKAITAN: Amir Jahari Yakin Dengan Bakat Ryenald Guntabid – ‘Dari Segi Vokal Dia Boleh Makan Calon Lain’

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak Berpecah, Namun Pihak Ketiga Didakwa Jadi Punca Nastia Tak Sehaluan – ‘Memang Terkilan..’

Peluang Bermakna Bersama Nastia

Hubungan Amir dengan muzik Nastia kini menemukan satu titik pertemuan baharu apabila dia diumumkan sebagai artis jemputan untuk konsert Nastia Project: Soul Journey bersama Fynn Jamal di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2026.

Bagi Amir, peluang tersebut cukup bermakna kerana dia bukan sekadar mengenali Nastia sebagai rakan dalam industri, malah sudah lama mengikuti perjalanan muzik kumpulan itu sebagai peminat.

“Saya memang peminat mereka dan saya sentiasa look forward. Jika mereka ada buat gig, saya akan pergi.

“Saya sangat support mereka sebab bagi saya, lagu-lagu mereka sangat dekat dengan hati orang yang merasa atau mengalami situasi sama seperti yang diceritakan dalam lagu.”

‘Esok Belum Tiba’ Jadi Teman Ketika Hilang Semangat

Lebih daripada sekadar menghargai karya Nastia, album Esok Belum Tiba turut menyimpan memori tersendiri buat Amir.

Album tersebut pernah menjadi teman ketika dia keluar berjogging, malah akan kembali diputarkan setiap kali berasa down atau kehilangan semangat.

“Album Esok Belum Tiba itu adalah album yang saya buat pergi jogging sebenarnya.

“Saya akan pusing, jogging, dengar lagu mereka. Every time saya rasa down, rasa macam tak semangat, saya akan dengar lagu mereka.”

Pengalaman itu membuatkan Amir sendiri memahami bagaimana sesebuah lagu boleh menjadi begitu dekat dengan perjalanan emosi seseorang.

Perkara sama turut dirasainya apabila ada pendengar berkongsi bagaimana karya seperti Hasrat dan Selalu Ada menjadi teman mereka ketika melalui fasa tertentu dalam kehidupan.

“Sama seperti orang DM saya cakap dia dengar lagu Hasrat, dia dengar lagu Selalu Ada. Benda yang sama saya buat dekat Nastia sebenarnya.”

‘Healing’, Tetapi Tetap Ada Harapan

Bagi Amir, kekuatan Nastia terletak pada cara kumpulan itu membawa emosi menerusi karya mereka.

Walaupun mempunyai elemen ‘healing’, lagu-lagu Nastia menurutnya tidak sekadar membiarkan pendengar tenggelam dalam kesedihan, sebaliknya masih menawarkan motivasi dan harapan.

“Betul, dia healing. Tapi at the same time, dia motivasi, dia ada harapan dekat situ. Dia bukan healing yang meleret, merenyek,” katanya berseloroh.

Malah, Amir melihat naratif yang diketengahkan Nastia menerusi lagu, album dan single sebagai sesuatu yang jarang ditemui dalam kalangan artis tempatan.

“Naratif yang dimainkan dalam lagu, album dan juga single yang mereka keluarkan itu sangat-sangat jarang ada artis Malaysia yang ke arah sama.

“Bagi saya benda itu mahal dari sudut nilai seni dan juga nilai hiburan itu sendiri.”

Elemen tersebut juga selari dengan konsep Nastia Project: Soul Journey yang mengangkat perjalanan kehidupan, harapan, kehilangan dan cinta menerusi karya-karya sepanjang perjalanan seni Nastia.

“Saya Inspired By Nastia”

Amir juga tidak berselindung mengakui Nastia antara nama yang memberi inspirasi kepadanya sebagai seorang pemuzik.

“Saya inspired by Nastia, senang cerita. Saya pun suka Coldplay dan saya tahu Rudi Nastia pun suka Coldplay. Reference kita, wavelength kita, frequency kita sama.”

Malah, Amir tidak melihat Nastia sekadar sebagai rakan seperjuangan, sebaliknya meletakkan kumpulan itu sebagai senior yang dihormatinya.

“For me, mereka bukan rakan seperjuangan. For me, mereka adalah senior saya yang saya hormati.”

Ketika ditanya sama ada kehadirannya sebagai artis jemputan bakal mengaburi Nastia, Amir sebaliknya melihat kedua-duanya mempunyai kekuatan berbeza yang mampu saling melengkapi.

“Nastia mungkin lebih dekat bahagian seni, saya mungkin lebih dekat bahagian hiburan. Apabila bercantum tu, jadi cantiklah.”

Justeru, penyertaan Amir dalam Nastia Project: Soul Journey membawa makna yang lebih peribadi daripada sekadar tampil sebagai artis jemputan.

Album Esok Belum Tiba pernah menemaninya ketika semangat terasa hilang, sementara karya Amir sendiri turut menemukan pendengar yang menjadikan Hasrat dan Selalu Ada sebagai teman dalam perjalanan emosi mereka.

Mungkin di situlah indahnya sebuah karya. Seorang pencipta lagu juga pernah menjadi pendengar yang mencari rasa, harapan dan kekuatan daripada muzik orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Nastia, Fynn Jamal & Amir Jahari Bakal Satukan Jiwa Dalam Konsert Eksklusif Oktober Ini!

Dan buat Amir Jahari, antara karya yang membawa makna itu datang daripada Nastia.

Nastia Project: Soul Journey bakal berlangsung pada 16 Oktober 2026 di Zepp Kuala Lumpur dengan menampilkan Nastia, Fynn Jamal dan Amir Jahari. Tiket boleh didapati menerusi platform rasmi Ticket2U.