Selepas hampir dua dekad mewakili skuad kebangsaan, bintang Argentina iaitu Lionel Messi mengumumkan keputusan untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Artikel Berkaitan: ‘Kesedihan Yang Saya Rasakan Pastinya Ambil Masa Untuk Sembuh’ – Lionel Messi

Artikel Berkaitan: Nenek Umur 100 Tahun Ajak Lionel Messi Kahwin

Messi umum bersara

Messi, 39, yang pernah mengetuai Argentina menjulang trofi Piala Dunia 2022 serta dua kejuaraan Copa América, membuat keputusan itu selepas pasukannya tewas kepada Sepanyol dalam aksi final Piala Dunia di Amerika Syarikat.

Menerusi hantaran di Instagram pada Isnin, Messi berkongsi gambar nota yang ditulisnya pada 21 Julai iaitu dua hari selepas perlawanan final berkenaan.

Dalam nota tersebut, Messi mengesahkan bahawa dia sudah membuat keputusan untuk mengakhiri karier bersama Argentina.

Selepas masa berlalu sejak final itu dan selepas banyak berfikir, saya mahu memaklumkan kepada semua bahawa saya bersara daripada pasukan kebangsaan.

Keputusan ini menyakitkan jiwa saya, tetapi saya tahu sudah tiba masanya. Saya boleh katakan dengan pasti bahawa saya sentiasa memberikan segala-galanya, bukan hanya dalam beberapa tahun terakhir ketika kami memenangi semuanya, tetapi juga sebelum itu.

Saya sentiasa berjuang dan memberikan yang terbaik untuk jersi ini, untuk memberikan kegembiraan kepada anda dan membuatkan anda bangga menjadi rakyat Argentina melalui bola sepak.

Meskipun itu bukanlah satu keputusan yang mudah, namun Messi percaya masih ramai pemain muda berbakat yang layak diberi peluang untuk mewakili Argentina.

Saya sayang, pernah menyayangi dan akan sentiasa menyayangi menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan.

Saya sudah memberikan segala yang saya ada. Kini saya rasa tiada apa lagi yang boleh saya berikan dan ada pemain muda hebat yang sedang muncul serta layak mendapat tempat.

Messi turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk keluarganya yang sentiasa menjadi ‘tulang belakang’ sepanjang kariernya.

Pada 2016, dia pernah mengumumkan persaraan selepas Argentina tewas kepada Chile menerusi penentuan penalti dalam final Copa America.

Ketika itu, Messi sering menerima kritikan kerana dianggap tidak mampu memberikan prestasi sama seperti ketika beraksi bersama kelab. Dia juga kerap dibandingkan dengan legenda Argentina, Diego Maradona.

Bagaimanapun, Messi akhirnya kembali bersama pasukan kebangsaan dan membantu Argentina memenangi Copa America 2021 di Brazil.

Kejayaan itu menjadi permulaan kepada detik gemilang kariernya bersama Argentina.

Pada Piala Dunia 2022 di Qatar, Messi memainkan peranan penting dalam membantu Argentina menjuarai kejohanan tersebut buat kali pertama sejak 1986.

Dia turut menjaringkan gol dalam setiap pusingan kalah mati, termasuk dua gol ketika menentang Perancis dalam aksi final.

Argentina kemudiannya mempertahankan kejuaraan Copa America pada 2024, sebelum Messi sekali lagi dikaitkan dengan keputusan untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Sepanjang karier bersama Argentina, Messi mencatat 207 penampilan dan menjaringkan 125 gol, sekali gus menjadi pemain dengan penampilan serta jaringan terbanyak dalam sejarah pasukan kebangsaan itu.

Sebelum beraksi bersama skuad senior, Messi turut membantu Argentina menjuarai Piala Dunia Bawah 20 Tahun dan memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2008.

Selepas tamat Piala Dunia keenamnya, Messi kini masih beraksi bersama Inter Miami.

Dia baru-baru ini menjaringkan empat gol ketika Inter Miami membelasah Montreal 7-1 dalam aksi Major League Soccer.

Messi turut mempunyai kontrak bersama kelab tersebut sehingga 2028, ketika usianya mencecah 41 tahun.

Sumber: Instagram,The Guardian