Maestro muzik terkenal, Datuk M. Nasir bakal meraikan ulang tahun ke-50 penglibatan seninya menerusi sebuah pementasan gah, Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 pada akhir tahun ini di Istana Budaya.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] M.Nasir Enggan Komen Dakwaan Teater Mansur & Liu Bakal Diboikot – ‘Adalah Dalam Empat Orang’

Artikel Berkaitan: M.Nasir Yakin Aliff Aziz Miliki Kriteria Lengkap Jayakan Teater ‘Mansur & Liu’ – ‘Dia Pelakon Kedua Paling Tampan Di Malaysia’

Magnum Opus

Konsert berskala besar ini merupakan kesinambungan kepada siri Magnum Opus terdahulu (2017 dan 2019) dan pada kali ini tampil dengan pengisian yang lebih sinematik dan mendalam.

Magnum Opus pada kali ini bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya menjadi apresiasi terhadap budaya dan khazanah muzik tanah air.

Kelainan utama produksi kali ini menyaksikan kolaborasi antara M. Nasir bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Sebanyak 30 buah lagu ikonik pilihan akan diberi nafas baharu menerusi susunan simfoni oleh pengarah muzik berpengalaman, Mohd Rafi Shafie.

Persembahan yang dijadualkan berlangsung selama 150 minit itu akan dipimpin oleh konduktor Eric Lee Yin Fah, yang menjanjikan pengalaman emosional dan dinamik kepada para penonton.

Konsert anjuran Lunchai Emas Sdn Bhd yang mendapat insentif Dana Kandungan Kreatif (DKD) Persembahan Muzik daripada MyCreative Ventures itu bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 5 Disember ini.

Untuk makluman, tiket konsert MOMND5 akan mula dijual pada Jumaat, 21 Ogos 2026 jam 3.00 petang menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com.

Harga tiket ditawarkan mengikut kategori seperti kawasan Stalls (Kategori A: RM1,588, B: RM1,188, C: RM988, D: RM838), Grand Circle (Kategori E: RM638, F: RM538), serta Upper Circle (Kategori G: RM338, H: RM288).