
Satu mayat yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pagi Khamis.
Artikel Berkaitan: Mayat Wanita Ditemui Dalam Beg Di Sungai Perak Disahkan Warga Asing
Mayat di tayar pesawat

Mayat berkenaan ditemui kira-kira jam 6.55 pagi oleh kakitangan kejuruteraan yang ditugaskan memeriksa ruang simpanan tayar pesawat berkenaan, yang baru tiba dari Tokyo, Jepun pada sekitar jam 6.30 pagi.
Menurut maklumat awal, kakitangan terbabit mengesan bau busuk yang mencurigakan sebelum membuka ruang simpanan tayar tersebut.
Pemeriksaan kemudian menemukan mayat seorang individu yang masih belum dikenal pasti jantina. Mangsa dipercayai memakai seluar jeans dan baju berwarna putih ketika ditemukan.
Penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada Bilik Gerakan Balai Polis KLIA2 sebelum Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipanggil ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an dan sudah meninggal dunia lebih 72 jam.
Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mayat berkenaan, sekali gus menyukarkan usaha pihak berkuasa mengenal pasti identiti mangsa.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa selain menentukan punca serta bagaimana individu berkenaan boleh berada di dalam ruang simpanan tayar pesawat tersebut.
Sumber: Berita Harian







