Isu breastfeeding sering menjadi topik hangat dalam kalangan warganet terutamanya melibatkan perbincangan mengenai tindakan ibu menyusukan anak di tempat awam.

Artikel Berkaitan: Selamba Susukan Anak Depan Orang Ramai, Liza Hanim Nasihat Usahawan Kontroversi – ‘Jaga Kehormatan Sebagai Wanita Islam & Ibu’

Breastfeeding

Perkara itu menjadi lebih parah apabila segelintir para ibu memilih untuk memuat naik gambar mereka menyusukan anak di media sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Memetik Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, sifat malu adalah perhiasan wanita dan dalam al-Quran juga ada memperkatakan tentangnya, Firman Allah SWT:

فَجَآءَتۡهُ إِحۡدَىٰهُمَا تَمۡشِي عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ قَالَتۡ إِنَّ أَبِي يَدۡعُوكَ لِيَجۡزِيَكَ أَجۡرَ مَا سَقَيۡتَ لَنَاۚ

Maksudnya: Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”. (Al-Qasas: 25)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di Rahimahullah di dalam tafsirnya mengatakan ayat ini menunjukkan kepada mulianya keturunan dan baiknya akhlak wanita tersebut.

Sesungguhnya malu itu adalah dari akhlak-akhlak yang terpuji khususnya pada wanita. [Lihat Tayseer al-Karim al-Rahman, hlm. 614]

Hukum menyusukan anak di tempat awam dengan menjaga aurat dan adab adalah dibolehkan namun yang menjadi masalahnya di sini apabila perbuatan memuatnaik gambar sedang menyusukan anak di media sosial dan menjadi ratapan ribuan mata yang melihatnya.

Menyusukan anak bukanlah sesuatu perkara yang memalukan kerana ianya adalah perkara yang menjadi kebiasaan para ibu.

Begitu juga apabila melihat kepada bayi yang mana akan menangis apabila kelaparan dan tidak mengenal erti di mana sahaja, maka seorang ibu itu perlu bersedia di mana sahaja untuk menyusukan anaknya.

Keadaan begitu difahami oleh masyarakat setempat namun perbuatan memuat naik gambar sedang menyusukan anak ke laman sosial amatlah tidak menepati ciri-ciri akhlak Islam yang sebenar yang mana boleh mengundang fitnah ke atas diri ibu tersebut.

Untuk mengelakkan berlakunya fitnah, terdapat beberapa saranan yang boleh diikuti.

Pilihlah tempat yang tertutup ketika menyusukan bayi mekipun di tempat awam.

Tidaklah perlu selfie ketika menyusu sekalipun menutup aurat.

Pilihlah pakaian yang sopan, menutup aurat yang mana akan menyenangkan proses penyusuaan bayi.

Berbincanglah dengan suami cara yang terbaik untuk selesaikan isu penyusuaan anak.

Kemudahan-kemudahan seperti bilik khas untuk menyusukan bayi perlu banyak diasaskan terutamanya di tempat-tempat awam, pusat-pusat membeli belah dan juga tempat-tempat yang difikirkan perlu.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan