
Penceramah bebas, Muhammad Fathi Na’im Mazlam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, lima tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Penceramah Bebas Bakal Didakwa 9 Pertuduhan Gangguan Seksual, Rogol Remaja 14 Tahun
Artikel Berkaitan: Penceramah Bebas Didakwa Lakukan Amang Seksual Terhadap Kanak-Kanak 5 Tahun
Bebas

Memetik Harian Metro, keputusan itu dibuat semalam oleh Hakim Roszianayati Ahmad selepas membenarkan rayuan Muhammad Fathi Na’im, 34, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Mahkamah Tinggi mendapati berlaku kekhilafan di peringkat Mahkamah Sesyen apabila permohonan untuk menangguhkan perbicaraan tidak dibenarkan sekali gus menafikan peluang kepada Muhammad Fathi Na’im, mendapatkan khidmat guaman.
Menurut Hakim, keadaan itu telah menjejaskan hak perayu kerana dia terpaksa membela diri tanpa diwakili peguam sepanjang prosiding di mahkamah.
Dalam prosiding rayuan itu, peguam Muhammad Fazaly Ali Mohd Ghazali mewakili Muhammad Fathi Na’im, sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Redza Azhar Rezali mewakili pihak pendakwaan dan selaku responden.
Terdahulu, Muhammad Fathi Na’im dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pada 18 September 2025.
Keputusan itu dibuat selepas mendapati Muhammad Fathi Na’im gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan di kahir kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di dalam sebuah kereta yang berada di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada Jun 2021.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan hukuman sebatan.
Sementara itu, dua lagi pertuduhan membabitkan dakwaan tertuduh melakukan kesalahan rogol di dalam sebuah kereta di lokasi yang sama pada awal Julai 2021 kira-kira jam 3 petang dan pada 27 Julai 2021 sekitar jam 7 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Sumber: Harian Metro







