
Seorang lelaki dilaporkan rebah secara tiba-tiba ketika menyertai perlawanan bola sepak di Residensi Prima Bandar Ekar Rantau sebelum disahkan meninggal dunia, pada pagi Ahad.
Mangsa rebah sebelum meninggal dunia

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Seremban iaitu Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk tindakan lanjut.
Pada jam 11.35 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima maklumat mengenai seorang lelaki yang dikatakan rebah ketika menjadi penjaga gol pertandingan sepakan penalti.
Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian. Pertandingan berkenaan anjuran Pemuda BN Cawangan Rembau.
Ketika kejadian, isteri mangsa yang berusia 45 tahun turut berada di padang bagi memberi sokongan.
Difahamkan, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung dan masih menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di Serdang.
Sumber: Berita Harian








