Selepas mendapat sambutan menggalakkan menerusi penganjuran sulung tahun lalu, Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa DRB-HICOM bersama Harian Metro kini kembali untuk edisi kedua dengan skala yang lebih besar.

Artikel Berkaitan: Cungkil Bakat Pelajar, Harian Metro & DRB-HICOM Anjur Pertandingan Pantun Peribahasa

Artikel Berkaitan: Berita Harian & Harian Metro Lancar Ringkasan Pantun AI Pertama Di Malaysia

Pertandingan pantun

Pantun bukan sahaja seni susunan kata, malah menjadi salah satu medium untuk mencerminkan pemikiran, kreativiti serta keperibadian seseorang.

Penganjuran kali ini diperluaskan ke Zon Selatan dengan membabitkan pelajar sekolah menengah dari tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bukan sekadar medan pertandingan, program ini turut menjadi platform mencungkil serta mengasah bakat baharu dalam seni berbalas pantun antara generasi muda.

Sehubungan itu, pertandingan ini turut memberi penekanan terhadap usaha membentuk jati diri pelajar, selain mengasah pemikiran kritis dan meningkatkan keyakinan diri ketika beraksi di atas pentas.

Menerusi pertandingan anjuran Harian Metro dan DRB-HICOM ini, para pelajar dapat menghayati nilai murni, pengajaran serta falsafah yang terkandung dalam peribahasa Melayu melalui keindahan seni pantun.

Usaha berkenaan sekali gus diharap dapat menyemarakkan kembali minat golongan muda terhadap warisan budaya yang sarat dengan nilai dan akal budi masyarakat Melayu.

Bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada para pemantun, pertandingan ini turut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM45,850, termasuk ganjaran wang tunai serta Set Studio bernilai RM5,000 buat sekolah yang berjaya mara ke peringkat akhir.

Buat para guru dan pembimbing yang berminat untuk membawa pasukan sekolah menyertai pertandingan ini, pendaftaran dibuka mulai 10 hingga 31 Ogos 2026.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan, orang ramai boleh mengikuti laman digital Harian Metro.