Dalam kehidupan hari ini, tidak dinafikan ramai yang mudah meletakkan nilai diri berdasarkan penerimaan orang lain, sama ada menerusi pujian, perhatian mahupun pengiktirafan di media sosial.

Namun bagi pelakon Farah Nabilah, kebahagiaan sebenar tidak sepatutnya bergantung kepada sejauh mana seseorang itu diterima atau dipandang tinggi oleh orang sekeliling.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Farah Nabilah Kembali Berlakon Selepas 7 Tahun – ‘Tak Boleh Babak Bersentuhan Dengan Lelaki & Bukan Watak Penyondol’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Jaja Ishak Pertaruh Shahz Jaszle & Farah Nabilah, Yakin ‘Sepenuh Hati Rindu’ Bakal Meledak

Validasi Dari Orang Luar Tidak Membahagiakan

POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.

Menerusi segmen POV XTRA minggu ini, pelakon Farah Nabilah berpandangan terlalu mengejar pujian dan pengiktirafan daripada orang lain bukanlah sesuatu yang mampu memberikan kebahagiaan sebenar dalam kehidupan.

Menurut Farah, seseorang mungkin pada awalnya berasa gembira apabila menerima pujian atau dikenali ramai, namun perasaan tersebut tidak semestinya berkekalan.

Benda yang orang selalu kejar tapi perkara itu tak bagi kebahagiaan pada saya adalah validation daripada orang.

Sebab kalau kita setiap hari nak pujian atau nak orang kenal kita, mula-mula akan rasa bahagia. But deep down, ia sebenarnya tak membahagiakan. Perkara itu akan buat seseorang rasa sunyi.

Tak Perlu Bergantung Pada Orang Lain Untuk Rasa Cukup

Dalam masa sama, Farah turut menitipkan pesanan khusus buat golongan wanita supaya tidak terlalu bergantung kepada penerimaan orang lain untuk menentukan nilai diri sendiri.

Baginya, keyakinan dan kemampuan untuk menikmati kehidupan tanpa sentiasa memerlukan teman atau perhatian orang lain merupakan antara tanda seseorang itu benar-benar selesa dengan dirinya.

Wanita di luar sana, anda tak perlu pun validation daripada mana-mana orang sekalipun. Sebab kalau betul-betul kenal dan yakin dengan diri sendiri, mesti boleh makan seorang diri, tak perlu ada orang.

Bila Kenal Nilai Diri, Kata-Kata Orang Tak Mudah Menggugat

Farah turut percaya apabila seseorang sudah benar-benar menyayangi, menghargai dan mengenali dirinya sendiri, pandangan negatif daripada orang lain tidak lagi mempunyai kuasa besar untuk mempengaruhi emosi mereka.

Kalau betul sayang, hargai dan kenal diri sendiri, kita tak perlu validation daripada orang. Kalau orang cakap apa pun, perkara itu tak akan beri kesan pada diri sendiri.

Dalam era media sosial yang sering menjadikan jumlah tanda suka, komen dan perhatian sebagai kayu ukur penerimaan, pandangan Farah memberi peringatan bahawa keyakinan diri tidak seharusnya dibina sepenuhnya berdasarkan apa yang difikirkan orang lain.

Pada akhirnya, pujian mungkin memberikan kepuasan sementara, tetapi rasa cukup dengan diri sendiri adalah sesuatu yang perlu datang dari dalam.

Dalam perkembangan lain, Farah kini membintangi drama Sepenuh Hati Rindu sebanyak 20 episod yang bakal ditayangkan bermula October ini.

Drama tersebut mengangkat isu kehilangan seseorang serta impaknya terhadap institusi kekeluargaan, di samping memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai situasi yang jarang dibincangkan.

Selain Farah, drama ini turut dibarisi oleh pelakon hebat tanah air seperti Shah Jaszle, Syafie Naswip, Raja Azmi, Lan Siro, Niswah Syuhada dan Ira Ma.