
Tidak dinafikan, jumlah pengikut di media sosial kini semakin menjadi antara faktor yang mampu membuka peluang seseorang untuk melangkah ke industri hiburan, termasuk dalam bidang lakonan.
Namun, persoalannya, adakah populariti di media sosial sahaja sudah cukup untuk membuktikan seseorang itu mempunyai kualiti sebagai seorang anak seni?
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Sering Ditegur ‘Chubby’, Qistina Khaled Susut 20kg Dalam Setahun – ‘Tak Cucuk Atau Potong Perut Tapi Diet Ekstrem’
Artikel Berkaitan: Qistina Khaled Lebih Berhati-Hati Dengan Kes Jenayah – ‘Tak Kongsi Lokasi, Buat ‘Live’ Hanya Di Rumah’
Pengikut Ramai Boleh Jadi Pelakon, Tapi…
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA minggu ini, pelakon, penyanyi dan model, Qistina Khaled berkongsi pandangannya mengenai trend dalam indsutri hiburan yang melihat profil seseorang berdasarkan jumlah pengikut ramai di media sosial sering diberi peluang menceburi bidang lakonan.
Menurut Qistina, dia tidak melihat jumlah pengikut yang ramai sebagai satu masalah sekiranya seseorang itu mahu mencuba nasib sebagai pelakon, apatah lagi media sosial kini sememangnya menjadi antara faktor yang diberi perhatian dalam industri.
Followers ramai boleh saja jadi pelakon, tak jadi isu. Memang sekarang ramai yang tengok jumlah pengikut di media sosial.
Kualiti & Bakat Lebih Utama
Namun, Qistina menegaskan populariti di alam maya tidak seharusnya dianggap sebagai ukuran mutlak terhadap kualiti atau kemampuan seseorang dalam bidang seni.
Cuma, jangan ingat pengikut ramai dah boleh tentukan kita ada kualiti, tidak. Semuanya berbalik kepada niat seseorang untuk masuk dalam industri itu kenapa.
Baginya, perkara lebih penting adalah tujuan sebenar seseorang memilih untuk berada dalam industri hiburan.
Niat Perlu Betul
Jika hanya mengejar populariti tanpa kesungguhan untuk mengasah bakat dan melakukan pekerjaan dengan baik, Qistina berpendapat perjalanan seseorang itu mungkin sukar untuk bertahan dalam jangka masa panjang.
Kalau niat sekadar untuk mahu jadi terkenal, saya rasa perkara itu tak bagus sebab niat dah salah. Bila niat dah lain, mungkin rezeki dalam industri pun tak akan kekal lama.
Justeru, Qistina percaya jumlah pengikut hanyalah satu kelebihan tambahan, tetapi bakat, disiplin serta kesungguhan terhadap kerjaya tetap perlu menjadi keutamaan.
Yang penting adalah bakat dan niat bekerja itu. Kalau rasa betul-betul nak jadi selebriti, kena buat betul-betul.








