Pelakon, Kamal Adli meluahkan rasa simpati dengan nasib sebuah keluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), Temerloh, malam Isnin.

Artikel Berkaitan: POV XTRA: Kamal Adli Belajar Minta Maaf Kepada Diri Sendiri, Akui Mental & Tubuh Dah Penat – ‘Saya Seorang Yang Gagal Sebagai Manusia, Ketua…’

Sempat singgah cafe arwah

Lebih menyentuh perasaan, Kamal, 40, mendedahkan dia sempat berkunjung ke kafe milik mangsa tersebut iaitu Secangkir Cafe di Kuantan, Pahang, minggu lalu.

Laju betul lori itu bawa. Sampai sandwich (hancur) kereta itu. Apa pun alasan pemandu lori itu, aku tak nak terima.

Saya baru saja minggu lepas balik dari Cafe Secangkir milik arwah. Ya Allah, tempatkan mereka dengan orang-orang yang beriman.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam Isnin itu, empat individu dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan.

Salah seorang mangsa yang maut ialah pemilik Secangkir Cafe, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, yang meninggal dunia bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, serta anak lelaki mereka. Tiga beranak itu menaiki sebuah Proton S70 ketika kemalangan berlaku.

Seorang lagi mangsa lelaki yang turut maut dipercayai menaiki sebuah Honda CR-V.

Menurut laporan media, kemalangan itu membabitkan pelbagai jenis kenderaan termasuk bas ekspres, lori tangki, trak pikap, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kereta.