
Anak kepada pelakon, Allahyarham Lydia Ibtisam iaitu Nur Sarah Alisya menitipkan ucapan menyentuh hati buat arwah ibunya menerusi satu hantaran di TikTok.
Ucapan Alisya buat arwah ibu

Menerusi perkongsian tersebut, Sarah Alisya meluahkan penghargaan dan berterima kasih kepada ibunya atas segala pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan.
Mama, saya sayang Mama lebih daripada apa yang mampu saya ungkapkan dengan kata-kata.
Terima kasih untuk setiap pengorbanan, setiap pelukan, setiap nasihat dan setiap detik yang Mama habiskan untuk menyayangi saya.
Sarah Alisya menyifatkan arwah merupakan individu paling berharga dan menjadi sumber inspirasi dalam hidupnya.
Malah, arwah juga banyak menitipkan nasihat dan mengajar tentang nilai kehidupan sehingga membentuk dirinya menjadi insan seperti hari ini.
Mama adalah insan yang paling menjadi inspirasi dalam hidup saya. Tiada siapa yang mampu menggantikan tempat Mama dalam hati saya.
Terima kasih sebab ajar saya banyak perkara tentang kehidupan untuk sentiasa berbuat baik, kuat menghadapi dugaan dan tidak pernah berputus asa. Segala yang saya ada dan siapa saya hari ini adalah kerana Mama.
Ujar Alisya, dia tidak pernah menyangka akan kehilangan ibunya secepat itu, namun berjanji akan terus membawa segala ajaran dan nilai yang telah diberikan oleh Allahyarham dalam hidupnya.
Saya tak pernah terbayang saya perlu mengucapkan selamat tinggal kepada Mama secepat ini.
Hati saya sangat sakit, tapi saya janji akan bawa segala ajaran dan kasih sayang Mama ke mana sahaja saya pergi.
Saya harap saya dapat buat Mama bangga, sama seperti Mama yang sentiasa membuatkan saya bangga memanggil Mama sebagai ibu saya. Saya sangat rindukan Mama.
Dalam kesempatan itu, Sarah Alisya turut menitipkan doa agar Allah SWT menempatkan arwah ibunya dalam kalangan orang beriman.
Saya akan sayang Mama selamanya. Semoga Allah menempatkan Mama di syurga yang tertinggi bersama orang-orang yang beriman.
Sehingga kita bertemu lagi, ketahuilah bahawa Mama akan sentiasa menjadi anugerah terbesar dalam hidup saya.
Saya sayang Mama selamanya. Al-Fatihah.
Terdahulu, Lydia Ibtisam dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di ibu kota pada Khamis.
Terdahulu, Elliza mendedahkan Lydia sebenarnya telah hampir lapan tahun berjuang melawan penyakit autoimun yang semakin serius apabila turut menjejaskan beberapa organ dalam tubuhnya.
Pada Rabu, Elliza memaklumkan Lydia berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan rapi di hospital, selain merayu orang ramai agar terus mendoakan kesembuhan sahabat baiknya itu.
Sumber: TikTok







