
Penyakit autoimun merupakan keadaan kesihatan yang boleh memberi kesan serius apabila sistem imun badan mula menyerang sel dan organ sendiri.
Apa itu autoimun?

Sistem imun berfungsi melindungi tubuh daripada ancaman luar seperti virus, bakteria dan kulat. Namun bagi pesakit autoimun, sistem imun gagal mengenal pasti sel badan sendiri dan menghasilkan antibodi yang menyerangnya.
Menurut Pakar Perunding Perubatan Hospital Columbia Asia Puchong, Dr. Muhammad Shahruddin, keadaan ini berlaku apabila sistem imun tidak dapat membezakan antara tisu badan sendiri dan bahan asing.
Pada peringkat awal, penyakit autoimun sukar dikenal pasti kerana simptomnya tidak spesifik. Antara tanda yang sering berlaku termasuk keletihan melampau, badan lemah, sakit otot, demam berpanjangan, sakit dan bengkak sendi, kesukaran bergerak serta keguguran rambut.
Simptom lain termasuk ruam kulit, sensitif terhadap cahaya matahari, perubahan berat badan, kebas tangan dan kaki, kekeringan mata atau mulut serta masalah memberi tumpuan.
Jenis penyakit autoimun?

Terdapat lebih 80 jenis penyakit autoimun yang dikenal pasti oleh pakar. Antara yang sering didengar ialah Systemic Lupus Erythematosus (SLE) iaitu penyakit autoimun kronik apabila antibodi menyerang pelbagai tisu dan organ badan. Gejalanya berbeza mengikut individu kerana ia boleh melibatkan banyak bahagian tubuh.
Kemudian Psoriasis yang menyerang kulit apabila pertumbuhan sel kulit berlaku terlalu cepat sehingga menyebabkan tompokan merah, bersisik dan meradang. Selain itu, penyakit Tiroid berlaku apabila antibodi menyerang kelenjar tiroid. Antara jenisnya ialah Grave’s Disease yang menyebabkan hormon tiroid berlebihan dan Hashimoto Disease yang menyebabkan hormon tiroid rendah.
Seterusnya, Rheumatoid Arthritis (RA) menyebabkan keradangan pada sendi sehingga menyebabkan sakit, bengkak dan kekakuan, terutama pada waktu pagi. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kerosakan sendi.
Manakala Celiac Disease menyerang usus kecil akibat tindak balas terhadap gluten dan boleh menyebabkan masalah penyerapan nutrisi, sakit perut serta penurunan berat badan.
Multiple Sclerosis (MS) melibatkan sistem saraf apabila sistem imun menyerang otak, saraf tunjang dan saraf optik, menyebabkan gangguan seperti masalah penglihatan, kelemahan anggota badan dan masalah keseimbangan.
Punca sebenar penyakit autoimun masih belum diketahui sepenuhnya. Namun, beberapa faktor dipercayai meningkatkan risiko termasuk sejarah keluarga, faktor hormon, jangkitan virus atau bakteria, tekanan, pendedahan bahan kimia, tabiat merokok serta kekurangan nutrisi.
Namun, tahap penyakit autoimun bergantung kepada jenis penyakit dan organ yang terlibat. Ada pesakit yang hanya mengalami simptom ringan, namun ada juga yang mengalami komplikasi serius sehingga menjejaskan fungsi organ.
Walaupun belum ada rawatan yang boleh menyembuhkan semua jenis penyakit autoimun sepenuhnya, diagnosis awal dan rawatan berterusan dapat membantu mengawal simptom serta meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Sumber: Columbia Asia







