Bekas peserta Dewi Remaja 2025, Sharmaine Alexander tampil bersuara selepas didakwa menjalani suntikan filler pada wajah sehingga penampilannya dikatakan kelihatan lebih berusia daripada usia sebenar.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Cara Bahagi Masa Antara Dewi Remaja, Pelajar Master & Chambering.. Saya Hampir Pindah Alam’ – Sharmaine Alexander

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Gelagat Meerqeen & Sharmaine Alexander Bikin Netizen Senyum, Sempat Beramah Mesra Dengan Keluarga

Jangan tuduh

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Instagram (IG), Sharmaine menepis dakwaan berhubung suntikan filler sekali gus menjelaskan perubahan pada wajah berpunca daripada penyakit kulit psoriasis yang dihidapinya.

Menurut Sharmaine, pengambilan ubat steroid yang diperlukan untuk rawatannya menyebabkan wajahnya boleh kelihatan bengkak daripada hari-hari biasa.

Saya tidak berhutang penjelasan kepada sesiapa, tetapi saya harap perkongsian ini dapat mengingatkan kita bahawa kita tidak pernah tahu apa yang sedang dilalui oleh seseorang. Jadi, berhentilah membuat andaian dan sentiasalah memilih untuk berbuat baik.

Sebenarnya saya menghidap psoriasis dan perlu mengambil ubat steroid. Pada hari-hari tertentu, wajah saya akan kelihatan lebih bengkak kerana itu merupakan salah satu kesan sampingan ubat tersebut.

Bagaimanapun, Sharmaine memaklumkan keadaan penyakit kulitnya kini semakin baik dan berharap orang ramai tidak terlalu cepat membuat andaian terhadap perubahan pada wajahnya.

Alhamdulillah, keadaan psoriasis saya kini semakin baik dan saya bersyukur dengan perkembangan itu.

Inilah sebabnya mengapa pendidikan itu sangat penting. Ia mengajar kita supaya tidak sewenang-wenangnya membuat andaian terhadap rupa paras atau penampilan seseorang.

Tidak semua perubahan pada wajah seseorang berpunca daripada prosedur kosmetik. Ada kalanya ia disebabkan oleh masalah kesihatan atau kesan sampingan ubat yang sedang diambil.

Berbuat baik itu tidak memerlukan apa-apa kos, tetapi satu andaian yang salah mampu melukakan hati seseorang.

Sumber: Instagram @sharmainealexander