Edisi khas segmen #SkoolXTRA mengimbau kembali perjalanan selebriti ketika berada di bangku sekolah, termasuk sisi mereka yang mungkin belum pernah diketahui oleh peminat.

Untuk edisi #SkoolXTRA minggu ini, pelakon Jazmy Juma berkongsi dia mempunyai sisi yang cukup aktif dan ceria ketika berada di bangku sekolah dimana pernah memegang jawatan sebagai ketua kelas, Jazmy juga aktif dalam bidang sukan serta mempunyai kumpulan muziknya sendiri.

Artikel Berkaitan: POV XTRA: Wanita Guna Duit Lelaki Dilabel ‘Kaki Kikis’? Jazmy Juma Anggap Gelaran Itu Tak Adil

Artikel Berkaitan: ‘Tak Profesional, Perhatian Apa Yang Kau Nak?’ – Jazmy Juma Tak Pilih Media Sosial Sebagai Tempat Teguran

Duduk Paling Depan Dalam Kelas

Menurut Jazmy, dia merupakan pelajar yang gemar duduk di barisan hadapan, namun agak banyak bercakap ketika guru masih belum memasuki kelas.

Saya pelajar yang duduk di depan sekali, tetapi saya banyak bercakap. Apabila cikgu masuk, saya akan belajar dan fokus sahaja.

Tetapi kalau cikgu belum masuk, saya akan pergi ke belakang dan merayau-rayau dalam kelas. Saya mungkin separa nakal.

Walaupun mengakui mempunyai sisi nakal, Jazmy tidak pernah berdepan masalah disiplin sehingga dikenakan hukuman oleh guru sepanjang zaman persekolahannya.

Malah, aktor drama Yes! Captain Zul Aaryan itu pernah diberikan kepercayaan untuk menjadi ketua kelas.

Saya tak pernah kena denda. Saya juga pernah jadi ketua kelas.

Minat Sains, Matematik dan Bahasa Melayu

Bercerita mengenai akademik, Jazmy mengakui dia tidak mempunyai satu mata pelajaran kegemaran yang khusus kerana meminati hampir semua subjek yang dipelajarinya.

Saya suka semua mata pelajaran. Saya suka Sains, Matematik dan Bahasa Melayu.

Selain memberikan perhatian terhadap pelajaran, Jazmy turut aktif mewakili sekolah dalam pelbagai aktiviti sukan.

Saya selalu bersukan di sekolah dan masuk pertandingan. Saya bermain ragbi dan bola sepak.

Ada Band Sendiri, Sering Buat Persembahan Muzik

Menariknya, meskipun kini dikenali sebagai seorang pelakon, Jazmy tidak pernah terlibat dalam pementasan teater ketika berada di sekolah.

Sebaliknya, minat seninya ketika itu lebih terarah kepada bidang muzik.

Saya tak pernah masuk teater ketika sekolah. Saya selalu buat persembahan muzik di sekolah.

Saya main gitar, ada band sendiri dan saya menyanyi juga.

Pengalaman membuat persembahan bersama kumpulan muzik itu secara tidak langsung menunjukkan bakat seni sudah mula berkembang dalam dirinya sejak usia remaja.

Kenangan Bersama Rakan Asrama Paling Dirindui

Ditanya mengenai kenangan persekolahan yang paling diingati, Jazmy berkata terlalu banyak pengalaman manis yang dilaluinya, khususnya ketika tinggal di asrama bersama rakan-rakan.

Penglibatannya dalam aktiviti sukan juga memberi peluang kepadanya untuk berkunjung dan menetap di beberapa asrama sekolah lain bagi menyertai pertandingan.

Banyak sangat momen yang saya ingat. Antaranya pengalaman bersama kawan-kawan di sekolah asrama.

Saya aktif bersukan, jadi saya mempunyai banyak pengalaman duduk di asrama-asrama lain.