
Foto: Ihsan Polis
Seorang guru wanita dilaporkan meninggal dunia di dalam tandas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau, Jalan Sebuku di Kuching, Sarawak pagi tadi.
Artikel Berkaitan: Penjaga Gol Rebah, Meninggal Dunia Ketika Pertandingan Sepakan Penalti
Meninggal dunia

Memetik laporan Harian Metro, guru tersebut Wong Lee Choo, 55, ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di atas lantai tandas sekolah terbabit.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan kira-kira jam 9.08 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman memaklumkan, pihaknya menerima maklumat insiden itu selepas dihubungi Pusat Perubatan Kecemasan (MECC) Kuching melalui talian MERS 999.
Tidak lama kemudian, anggota dari Balai Polis Bau bergegas ke tempat kejadian.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di atas lantai bilik tandas guru perempuan di sekolah berkenaan.
Beliau turut memberitahu bahawa kali terakhir rakan mangsa melihatnya adalah sekitar jam 8.15 pagi di bilik guru sebelum dia ke tandas.
Seorang guru lain memaklumkan mangsa tidak kelihatan di kelas untuk sesi pengajaran meskipun sudah memasuki jam 8.35 pagi.
Sebaik pintu tandas dibuka, mangsa didapati berada dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri sebelum talian kecemasan dihubungi bagi mendapatkan bantuan perubatan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menemukan sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa tersebut.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut atau Sudden Death Report (SDR). Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sumber: Harian Metro







